Buat masa sekarang, model yang dipasarkan oleh Koenigsegg cuma ada tiga sahaja iaitu Regera, Jesko (termasuk varian Absolut) dan Gemera. Tiada model baru yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat, tetapi pengeluar dari Sweden tersebut telah mendedahkan gambaran kemungkinan bagaimana rupanya nanti, secara digital.
Kereta konsep yang anda lihat ini dipanggil sebagai “RAW by Koenigsegg” dan ia direka oleh seorang pelajar rekaan kenderaan, Esa Mustonen sebagai sebahagian daripada tesis ijazah beliau. Bukan sekadar rekaan biasa, ia juga dihasilkan di bawah penyeliaan pengasas Koenigsegg sendiri iaitu Christian von Koenigsegg serta Sasha Selipanov.
Selipanov pula adalah ketua RAW Design House, iaitu sebuah syarikat yang diasaskan pada Oktober 2019 dan menjadi salah satu cabang rasmi jenama Koenigsegg. Tambah menarik lagi, Koenigsegg memberitahu, “kereta konsep ini memberikan gambaran kepada hypercar permulaan masa hadapan yang terletak di bawah jenama sub imaginasi, RAW by Koenigsegg.”
Melihat kepada gambar digital ini, rekaan kereta konsep tersebut nampak berlainan daripada model Koenigsegg biasa, tetapi masih mempunyai elemen seperti cermin hadapan yang bersambung hingga ke tepi, bumbung yang mempunyai dua gelembung serta pintu jenis dihedral synchro-helix.
Menurut Koenigsegg, kereta konsep ini dikuasakan oleh enjin sama seperti Gemera, iaitu unit Freevalve tiga silinder turbo 2.0 liter yang ditala untuk menghasilkan kuasa 700 PS. Berat kenderaan pula dikatakan cuma 700 kg, sekaligus menjadikan nisbah berat dan kuasanya 1:1 seperti Agera. Pada bahagian dalam, tempat duduk pemandu terletak di tengah manakala untuk penumpang terdapat dua lagi tempat duduk di belakang.
Meskipun rekaan digital ini agak menarik untuk dilihat, Koenigsegg masih belum memberikan kata putus ia akan diteruskan untuk pengeluaran dan jenama “RAW by Koenigsegg” itu juga masih belum dipastikan akan menjadi realiti.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.