Di Amerika Syarikat, Dodge Durango telah diberikan pembaharuan bagi model tahun 2021 dan ia menyaksikan pengenalan varian baru SRT Hellcat. Daripada nama ini anda sepatutnya sudah tahu ia adalah satu versi prestasi dan bukan setakat itu, ia sekarang adalah SUV produksi paling berkuasa di dunia.

Enjin yang digunakan pada Durango SRT Hellcat adalah unit HEMI V8 6.2 liter supercharge yang mampu menghasilkan kuasa 710 hp dan 875 Nm tork. Bagi jumlah tork, ia sama seperti Jeep Grand Cherokee Trackhawk, tetapi jumlah kuasanya 3 hp lebih tinggi untuk merampas takhta daripada SUV tersebut.

Kalau dibandingkan dengan pesaing Jerman pula, kuasa yang ditawarkan oleh Dodge turut mengalahkan BMW X5 M Competition (617 hp dan 750 Nm), Mercedes-AMG GLE 63 S 4Matic+ (603 hp dan 850 Nm) serta Porsche Cayenne Turbo (542 hp dan 770 Nm). Jumlah kuasa Cayenne Turbo S E-Hybrid adalah hampir, iaitu 671 hp dan 900 Nm.

Untuk mencapai jumlah kuasa setinggi itu, Dodge Durango SRT Hellcat menggunakan supercharger 2.38 liter dengan rotor twin-screw yang mampu berpusing sehingga 14,600 rpm dan memberikan tekanan boost sehingga 11.6 psi. Bagi memastikan sistem ini dapat bertahan, sistem penyejuk bersepadu dipasang pada supercharger tersebut dan ia terdiri daripada pam air, coolant reservoir serta penukar haba untuk mengekalkan suhu ruang kemasukan udara di bawah 60 darjah celsius.

Enjin ini juga dipertingkat dengan bahagian dalam yang diperkuat (crankshaft, connecting rod dan piston), penyerap crankshaft talaan khas yang telah diuji sehingga 13,000 rpm, penyuntik minyak untuk menyejukkan piston, head aluminium, injap ekzos penyejukan sodium serta injap intake hollow-stem. SUV ini juga dipasang dengan skup untuk menyampaikan udara kepada throttle body 92 mm serta dua pam minyak high-flow dengan tekanan boleh ubah.

Dari enjin, kuasa disampaikan kepada roda melalui transmisi automatik TorqueFlite 8HP95 lapan kelajuan yang sama seperti Trackhawk, sistem pacuan semua roda serta tayar Pirelli Scorpion Zero 295/45 (juga boleh didapati dengan tayar Pirelli P-Zero).

Untuk aspek prestasi, Durango SRT Hellcat boleh memecut 0-96 km/j (0-60 bsj) dalam masa cuma 3.5 saat, melengkapkan pecutan suku batu dalam masa 11.5 saat dan mencapai laju maksimum 290 km/j. Dodge juga memberitahu SUV ini boleh melengkapkan satu pusingan 3.4 km dengan masa 1.5 saat lebih pantas berbanding Durango SRT 392 2020, atau bersamaan dengan jarak sembilan buah kereta selepas satu pusingan.

Selain kuasa, model ini juga dipasang dengan suspensi dipertingkat, yang lebih responsif dengan penambahan kawalan rebound 20% dan tapak atas penyerap belakang 18% lebih keras. Syarikat ini juga mendakwa Durango SRT Hellcat lebih responsif apabila menyerang selekoh dan kurang understeer serta olengan badan.

Pada bahagian brek, ia dipasang dengan unit prestasi tinggi Brembo yang terdiri daripada cakera 400 mm dan angkup enam piston di hadapan, manakala di belakang menggunakan cakera 350 mm dan angkup empat piston. Masa yang dicatat untuk memberhentikan kenderaan dari 96 km/j dikatakan cuma 35 meter.

Sekiranya diperhatikan, Durango SRT Hellcat tidak mempunyai lampu kabus di hadapan kerana bahagian itu telah digunakan sebagai laluan udara untuk menyejukkan enjin. Bahagian hadapan juga dipasang dengan splitter, rim menggunakan unit 20 inci dan di belakang terdapat spoiler yang mampu menghasilkan daya tolakan ke bawah sebanyak 181 kg pada kelajuan maksimum.

Model facelift ini juga menyaksikan penggunaan gril yang mirip seperti model Charger, dipadankan bersama lampu utama yang lebih nipis dan lampu belakang LED. Pada bahagian dalam pula, perubahannya termasuk pada bahagian ruang konsol tengah yang lebih besar dan bahagian tengah papan pemuka yang diubah untuk menempatkan skrin sesentuh 10.1 inci untuk sistem infotainmen Uconnect 5.

Varian lain bagi Durango iaitu SXT, GT, Citadel, R/T dan SRT 392 turut menyaksikan beberapa perubahan. Varian R/T dengan pakej Tow N Go dan SRT 392 mempunyai kemampuan menunda terbaik dalam kelasnya iaitu sehingga 3,946 kg. Pakej Tow N Go didatangkan dengan barangan standard SRT Hellcat seperti bampar, kemasan fender, rim 20 inci, brek Brembo, suspensi adaptif serta LSD.

Untuk enjin pula, SRT 392 menggunakan unit HEMI V8 6.4 liter 475 hp dan 637 Nm tork manakala R/T dan Citadel pula menggunakan unit HEMI V8 5.7 liter 360 hp dan 529 Nm. Citadel juga mendapat pilihan enjin V6 Pentastar 3.6 liter 295 hp dan 352 Nm sama seperti varian SXT dan GT. Transmisi standard adalah unit automatik lapan kelajuan dan pemilik boleh memilih sama ada mahukan pacuan roda belakang atau semua roda.

Ciri keselamatan penuh diberikan pada SUV ini termasuk Adaptive Cruise Control, Blind-Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Detection, Forward Collision Warning dengan brek aktif, Advanced Brake Assist dan Lane Departure Warning LaneSense dengan Lane Keep Assist.

GALERI: Dodge Durango SRT Hellcat 2021

GALERI: Dodge Durango R/T Tow N Go 2021

GALERI: Dodge Durango Citadel 2021