Nampak gayanya usaha Proton yang berazam mahu merampas kedudukan nombor 1 Perodua harus dilipat ganda lagi kerana Perodua masih ke hadapan dengan rekod jualan yang lebih memberangsangkan.

Jika Proton mencatatkan jualan sebanyak 13,216 unit untuk bulan Julai, Perodua pula telah mendaftarkan sejumlah 23,203 unit pada bulan yang sama. Malah jumlah tersebut mengatasi Jun sebagai bulan jualan tertinggi setakat tahun ini sebanyak 9.2%, dan meningkatkan jumlah jualannya setakat tahun ini (YTD) kepada 97,373 unit.

Perodua turut menganggarkan penguasaan pasaran Julai dan YTD masing-masing sebanyak 40% dan 42%. Di mana model Myvi, Axia dan Bezza, telah menduduki tiga tempat teratas dari segi jualan YTD di Malaysia dengan masing-masing sebanyak 29,313, 28,107 dan 25,416 unit dijual.

“Perodua Myvi, kenderaan terlaris di Malaysia setiap tahun sejak 2006, baru-baru ini telah dinaiktaraf dengan sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 2.0 terkini. Ia kekal menjadi antara kenderaan dengan ciri keselamatan canggih yang paling mampu milik di negara ini.

“Sejak kembali beroperasi selepas penutupan selama dua bulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jualan kami telah membangkit kembali dengan cepat, didorong pengecualian cukai jualan oleh pihak kerajaan yang akan berlangsung sehingga akhir tahun.

“Sekiranya perkembangan ini berterusan, jumlah jualan yang menggalakkan ini akan membolehkan kami membantu eko-sistem pembekal dan pengedar automotif pada masa yang sukar ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) pula menganggarkan bahawa jumlah keseluruhan industri (TIV) sekurang-kurangnya 500,000 unit diperlukan tahun ini untuk memastikan kelangsungan eko-sistem automotif.

Semua model semasa Perodua mempunyai kandungan komponen tempatan lebih 90% dan disebabkan skala ekonominya, alat ganti servis ditawarkan pada harga yang berpatutan dan mudah didapati, memberikan para pelanggannya ketenangan minda yang menyeluruh.

Dato’ Zainal menambah bahawa Perodua mengamalkan konsep Simple, Slim and Compact dalam semua operasinya, merangkumi interaksi dengan semua pihak berkepentingan, di samping sentiasa mengutamakan insan.