Nissan Motor Thailand dilaporkan membuat pengumuman kepada semua jaringan pengedarnya pada 31 Ogos lalu menerusi satu surat bahawa produksi dan pengedaran untuk model Nissan Sylphy, Teana dan X-trail akan dihentikan bermula 1 September 2020.

Menurut akhbar Bangkok Post, syarikat berkenaan sedang merancang untuk hanya fokus kepada model-model kereta subkompak, MPV kecil, kenderaan perdagangan, dan juga kenderaan dengan teknologi elektrik bagi pasaran negara tersebut.

Surat yang diedarkan itu turut menyebut bahawa pengedar-pengedar dinasihatkan untuk menghentikan kempen-kempen publisiti, serta “menghapuskan” material-material yang digunakan untuk promosi Nissan Sylphy, Teana dan juga X-Trail apabila stok-stok akhir tiga model berkenaan habis kelak.

Walau bagaimanapun, untuk pemilik-pemilik sedia ada bagi model-model yang akan dihentikan penjualannya ini tidak perlu risau tentang servis selepas jualan atau bekalan alat ganti kerana perkhidmatan tersebut akan diteruskan.

Nissan Motor Thailand masih belum membuat pengumuman ini pada khalayak umum. Jurucakap syarikat tersebut berkata “kami tidak mahu komen berkenaan strategi produk kami,” dan menambah bahawa penawaran untuk produk-produk lain yang tidak dinyatakan akan diteruskan bagi memenuhi kehendak konsumer.

Presiden Institut Automotif Thailand, Pisit Rangsaritwutikul menyatakan bahawa perubahan pada barisan produksi di kalangan pengeluar kenderaan ketika kemelesetan ekonomi – ditambah dengan pandemik – adalah normal. Mereka perlu menyesuaikan diri mereka dalam pasaran dalam setiap negara.

“Saya tak terkejut dengan laporan berita itu. Syarikat induk tentu sudah menimbangkan secara cermat model kereta mana yang akan diproduksi bagi memuaskan pengguna dalam negara-negara berbeza,” kata Rangsaritwutikul. Beliau turut berkata bahawa pasaran Thailand mempunyai potensi untuk kereta elektrik, dan ia kemungkinan besar syarikat-syarikat berkenaan nampak peluang untuk halatuju perniagaan baharu ini.

Dalam kes ini – Nissan Kicks e-Power facelift, SUV segmen-B elektrik dengan sistem range extender, telah membuat pendedahan sulung peringkat globalnya di Thailand Mei lalu, dan negara tersebut menjadi negara kedua dalam dunia untuk memproduksi sistem penjana e-Power Nissan berkenaan.

Nissan tekad untuk menghasilkan kereta hibrid dan elektrik di Thailand dalam tempoh jangka masa panjang, dan telah mendapat sokongan dari Lembaga Pelaburan negara berkenaan menerusi program insentif, kata menteri industri Thailand, Suriya Jungrungreangkit.

Semua langkah yang dibuat ini adalah usaha untuk memulihkan kembali syarikat berkenaan, setelah merudum sejak skandal melibatkan bekas pengerusinya, Carlos Ghosn terdedah pada 2018. Mac lalu, Nissan menutup satu daripada dua fasiliti produksinya di Indonesia, dan mengumumkan bahawa mereka akan menyusun semula skala produksi sekurang-kurangnya pada tujuh fasiliti lain di seluruh dunia.

Buat masa sekarang, satu-satunya pusat produksi Nissan di Asia Tenggara adalah di Thailand. Selain menutup kilang-kilang, Nissan juga bercadang untuk menghentikan 20,000 tenaga kerjanya, atau sekitar 15% dari jumlah keseluruhan staf mereka di seluruh dunia yang berjumlah 139,000 orang.

Selepas ini, Nissan akan memperkukuhkan model-model utama mereka termasuk merancang untuk melancarkan 12 model baharu dalam tempoh 18-bulan. Model generasi seterusnya kereta sport Nissan Fairlady Z yang dikhabarkan akan digelar sebagai 400Z adalah sebahagian dari perancangan ini di mana versi prototaip yang diberi nama sebagai Nissan Z Proto akan didedahkan pada 15 September ini.