Nissan Fairlady 400Z bakal dijana enjin 3.0L V6 Twin Turbo, 400 ps/500 Nm, akan dilancarkan pada 2022?

Nissan Fairlady 400Z bakal dijana enjin 3.0L V6 Twin Turbo, 400 ps/500 Nm, akan dilancarkan pada 2022?

Nissan telah pun menyiarkan teaser generasi baharu kereta sport Fairlady Z ikonik mereka menerusi satu video ditayangkan buat pertama kali pada Mac lalu. Menurut laporan dari Auto Express, model baharu berkenaan akan digelar sebagai 400Z, dan ia bakal diperkenalkan pada penghujung tahun 2022, sempena genap 15-tahun selepas generasi sedia ada Fairlady 370Z Z34 berada dalam pasaran.

Menurut laporan tersebut lagi, 400Z berkenaan akan dihasilkan menggunakan platform FM (asas yang sama seperti Infiniti Q60 Coupé) yang diolah semula. Tidak seperti model generasi Z33 dan Z34 yang hadir dengan enjin NA, model generasi baharu ini akan dibekalkan dengan dua pengecas turbo seperti pada model Z32.

Secara spesifiknya, 400Z akan dijana oleh enjin 3.0 liter V6 turbo berkembar menjana lebih dari 400 hp/500 Nm yang masih diletakkan dalam konfigurasi FR (enjin hadapan pacuan belakang). Kuasa berkenaan dihasilkan sepenuhnya dari kaedah pembakaran dalaman konvensional, tanpa sebarang bantuan sistem hibrid elektrik walaupun Nissan kini sedang beralih ke teknologi elektrifikasi.

Jika apa yang disebutkan ini benar, dengan harga yang betul, sudah pasti 400Z akan memberikan saingan yang cukup sengit dari ‘rakan senegara’ nya iaitu Toyota GR Supra A90.

Portal tersebut turut menyatakan bahawa unit janakuasa serta casis untuk model ini sudah pun ada, dan ia berkemungkinan turut akan menerima model talaan Nismo yang memberikan lebih prestasi. Nissan 400Z ini bakal masuk ke pasaran-pasaran utama termasuk Amerika Utara, China dan Eropah.

Sehingga sekarang, tiada sebarang unit prototaip sebenar muncul di mana Nissan dilihat hanya menguji model tersebut disebalik badan Fairlady 370Z generasi Z34 sedia ada. Tetapi menurut berberapa laporan media sebelum ini, Z generasi baharu berkenaan akan menerima ciri-ciri dari model klasik, di mana mukanya diilhamkan dari model generasi pertama ‘Devil-Z’ Datsun Fairlady S30Z 240Z, manakala lampu belakangnya pula akan menyerupai model 300ZX.

Dakwaan tersebut diperkuatkan dengan video teaser yang disiarkan – bayangan badan kereta sport tersebut nampak jelas dengan elemen 240Z, terutamanya pada bayang badan keseluruhan termasuk bentuk bumbung dan cermin-cermin tingkap, serta logo ‘Z’ pada tiang-C.

Naib presiden Nissan untuk rekaan, Alfonso Albaisa berkata: “Z merupakan kereta yang mendemokratikkan kereta sport pada era 60’an. Kereta sedia ada telah lama berada di rangkaian pengedar, jadi anda boleh bayangkan pereka kini sedang mengusahakannya.”

“Kami tak boleh tinggalkan ini, ia berada dalam jiwa kami. Anda boleh rasanya dalam rekaan-rekaan Nissan yang lain, seperti Ariya baharu; ia bukan sekadar ekonomi bahan api, ia mahu dipandu, untuk yang cintakan pemanduan,” jelasnya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required