Setelah teaser disiarkan di media sosial, serta gambar-gambar unit protaip diuji telah disebar, Proton akhirnya bakal melancarkan SUV segmen-C X70 di pasaran Pakistan pada Disember ini, diikuti sedan segmen-A Saga pada Januari 2021, lapor portal automotif CarSpirit.pk.
Laporan tersebut turut menyebut bahawa pelancaran model-model Proton di Pakistan berkenaan sepatutnya sudah dibuat pada pertengahan tahun ini, namun rancangan tersebut tertangguh akibat pandemik Covid-19.
Seperti yang disebut dalam laporan-laporan awal, model-model pasaran Pakistan ini agak berlainan dengan model pasaran Malaysia, di mana ia menggunakan enjin dengan kapasiti lebih kecil bagi disesuaikan dengan insentif cukai di negara berkenaan, untuk membolehkan ia dijual pada harga lebih kompetitif.
Untuk X70, Pakistan tidak diberikan model yang dijana oleh enjin 1.8 liter T-GDI berkuasa 181 hp/300 Nm seperti versi di Malaysia, sebaliknya ia dijana enjin 1.5 liter T-GDI tiga-silinder berkuasa 174 hp/255 Nm bersama kotak gear klac berkembar automotik DCT tujuh kelajuan seperti yang berada dalam perut SUV lebih kecil Proton X50 di pasaran kita.
Kami turut meneliti spesifikasi yang disiarkan oleh laman web rasmi Proton Pakistan, dan perincian lanjut boleh dilihat adalah X70 ditawarkan dalam dua varian iaitu Premium 2WD dan Executive AWD.
Bagi Proton Saga pula, walaupun ia dijual dalam versi 1.3 liter, kapasiti enjin untuk pasaran Pakistan ini sebenarnya lebih kecil dari model pasaran kita. Di Malaysia, Saga diberikan enjin S4PE 1.3L VVT dengan kapasiti 1,332 cc – jika enjin ini terus digunakan di Pakistan, ia akan dikenakan cukai lebih tinggi kerana enjin tersebut telah melebihi 1,300 cc.
Jadi untuk pasaran Pakistan, Saga dijana dengan enjin berkapasiti 1,298 cc. Walau bagaimanapun, angka kuasa yang dinyatakan Proton untuk enjin ini adalah sama seperti di Malaysia iaitu 95 PS dan tork maksima 120 Nm. Saga ditawarkan dalam dua varian di Pakistan iaitu Premium AT dan Standard MT.
Proton X70 dan Saga pasaran Pakistan ini akan ditawarkan secara CBU untuk stok permulaan, diambil sepenuhnya dari kilang Proton di Shah Alam dan Tanjung Malim. Namun selepas kilang baharu usahasama Al-Haj Automotive mula beroperasi di negara tersebut pada suku pertama tahun hadapan, kedua-dua model akan dijual sebagai model CKD.
CarSpirit.pk turut menyatakan bahawa Proton adalah antara pengeluar baharu yang masuk ke pasaran Pakistan yang akan dianugerahkan status pelaburan Greenfield di bawah dasar automotif negara tersebut yang akan dimuktamadkan pada Jun 2021.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.