Honda City RS e:HEV dilancarkan di Thai – RM113k

Honda City RS e:HEV dilancarkan di Thai – RM113k

Walaupun Honda City RS e:HEV membuat kemunculan sulung global di Malaysia bulan lalu, model dengan unit penjana sports hybrid i-MMD tersebut terlebih dahulu dijual kepada pelanggan di Thailand. Ini kerana ia telah pun dilancarkan sekali dengan City Hatchback semalam, sementara kita di Malaysia hanya menerima model ini pada awal tahun hadapan kerana produksinya di Melaka terpaksa ditangguh akibat Covid-19.

Seperti di Malaysia, City e:HEV ini hanya ditawarkan dalam varian RS di Thailand. Ia dijual pada harga 839,000 baht (RM113,100), atau lebih mahal dari City RS 1.0L VTEC Turbo yang ditawarkan dengan harga 739,000 baht (RM99,700).

Model e:HEV di Thailand ini juga menampilkan unit penjana i-MMD yang sama seperti pasaran Malaysia. Sistem tersebut terdiri dari enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson bersama dua buah motor elektrik, yang membekalkan kuasa 108 PS dan tork maksima 253 Nm.

Berbeza dengan sistem hibrid i-DCD dari City sebelum ini, ia boleh bergerak dengan motor elektrik sepenuhnya sambil enjin petrol hanya mengecas bateri seperti sebuah sistem hibrid range extender atau ‘generator pasar malam’, dan ia turut boleh menggunakan kuasa gabungan antara enjin petrol dan juga motor elektrik untuk memacu roda hadapan untuk kelajuan lebih tinggi.

Jadi kuasa bateri lithium-ion 1.3 kWj untuk sistem hibrid ini akan sentiasa berada dalam tahap optima dan ia tidak akan ‘lemau’ kerana kehabisan caj, serta dapat memberikan jarak perjalanan menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya lebih jauh dari sistem i-DCD.

Malah dengan kuasa tork 253 Nm dari motor elektrik yang boleh dibekalkan terus dari 0 rpm, Honda City RS ini tidak memerlukan kotak gear sebenar dan ia sentiasa akan mula bergerak menggunakan motor elektrik terlebih dahulu. Honda mendakwa penggunaan bahan api pada model ini adalah pada kadar 27.8 km setiap km dalam kitaran NEDC.

Selain dari unit penjana yang berbeza, model e:HEV ini turut menerima berberapa kelengkapan lebih baik lain dari RS Turbo. Antaranya pedal pada roda stereng untuk mengawal regenerative braking, paparan instrumen digital tujuh-inci, brek parkir elektronik bersama brek cakera untuk roda belakang, dan juga liang pendingin hawa untuk kabin belakang (standard untuk semua varian untuk model pasaran Malaysia).

RS e:HEV ini juga satu-satunya varian City yang diberikan sistem bantuan pemanduan Honda Sensing pada pada pasaran Thailand. Ia terdiri dari sistem brek kecemasan automatik (AEB), cruise control adaptif, bantuan kekal tengah lorong, bantuan kekal lorong dan juga bantuan lampu tinggi.

Model ini juga satu-satunya varian City yang diberikan kamera titik buta Honda LaneWatch, berbanding di Malaysia di mana sistem ini turut diberikan pada model varian tertinggi untuk versi petrol sepenuh 1.5 V. Ciri keselamatan lain yang turut dibekalkan termasuk enam beg-udara, sistem brek ABS bersama EBD dan BA serta kawalan kestabilan elektronik.

Selain itu, ciri-ciri untuk RS e:HEV dan RS turbo pasaran Thailand berkenaan adalah sama. Ia hadir dengan rupa lebih garang menampilkan kemasan hitam pada bar gril hadapan dan cermin sisi, serta diberikan gril sarang lebah, lip bampar hadapan kemasan gentian karbon palsu, spoiler but belakang berwarna hitam, diffuser belakang dan juga rim aloi dua-tona 16-inci. Ia juga datang standard dengan lampu hadapan, lampu nyalaan siang dan lampu belakang jenis LED.

Di dalam kabin, model ini diberikan upholsteri gabungan kulit buatan dan sued, jahitan benang merah, set pedal aloi, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin (bersama penghidup kawalan jauh dan pengunci automatik walk away), sistem pendingin hawa zon tunggal, skrin sesentuh infotainmen lapan-inci dengan sokongan Apple Carplay, lapan pembesar suara dan kamera undur.

Model RS e:HEV ini tidak ditawarkan dengan warna Passion Red Pearl di Thailand kerana warna berkenaan lebih sinonim dengan versi RS Turbo. Namun ia hadir dengan pilihan warna unik Obsidian Blue Pearl dan juga merah seakan oren Ignite Red Metallic, disamping pilihan warna Platinum White Pearl, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic dan Crystal Black Pearl yang sama seperti RS e:HEV pasaran Malaysia.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required