Setelah diprebiu pada Ogos lalu, akhirnya Honda City generasi kelima dilancarkan secara rasmi ke pasaran Malaysia semalam. Anda mungkin dah tahu spesifikasi untuk setiap varian model-model ini, namun ada berberapa perkara yang tidak akan anda ketahui menerusi mana-mana brosur, dan maklumat-maklumat tersebut kami perolehi menerusi satu pembentangan khas ketika pelancarannya.

1. Ia masih menggunakan platform, enjin dan kotak gear dari City generasi ke-empat

Tidak seperti model-model sebelum ini di mana City merupakan versi sedan dari Jazz/Fit generasi yang sama dengannya, model generasi kelima ini pula masih menggunakan platform dari City generasi keempat, dan ia tiada kaitan dengan Honda Jazz/Fit generasi baharu di Jepun dan Eropah.

Sebab itu, City yang dibangunkan di Thailand ini masih mengekalkan jarak rodanya iaitu 2,600 mm. Walau bagaimanapun ada perubahan untuk dimensi lain dibuat di mana ia kini 111 mm lebih panjang (4,553 mm), 54 mm lebih lebar (1,748 mm) dan 10 mm lebih rendah (1,467 mm) berbanding sebelumnya.

Untuk enjin pula, walaupun masih menggunakan enjin dari siri L15 1.5 liter NA, kepala selinder SOHC i-VTEC dari versi sebelum ini telah ditukar dengan kepala silinder DOHC i-VTEC. Ini membolehkan ia menghasilkan kuasa 121 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,300 rpm, atau 1 PS lebih berkuasa dari sebelumnya. Ia juga masih dipadankan dengan kotak gear CVT yang sama dengan model generasi keempat.

2. Brek belakang model RS menggunakan cakera, versi petrol masih menggunakan drum

Honda City 2020 ini ditawarkan dalam empat varian di Malaysia di mana tiga varian pertama (S, E dan V) dijana oleh enjin petrol sepenuhnya, manakala varian tertinggi RS e:HEV menerima janaan hibrid petrol elektrik Intelligent-Multi Mode Drive (i-MMD). Antara perbezaan lain dua versi penjana ini adalah model petrol masih diberikan brek dram di belakang dan model hibrid pula hadir dengan brek cakera.

Menurut Honda Malaysia, sistem brek dram di belakang masih lagi boleh menampung kereta dengan berat seperti Honda City ini. Tetapi mengapa model hibrid diberikan brek cakera? Ini kerana model RS turut menawarkan sistem brek parkir elektrik (EPB) seiring dengan pakej Honda Sensing yang canggih ditawarkan, berbanding hanya brek parkir manual pada model biasa. Sistem brek parkir elektrik ini adalah lebih mudah dipadankan pada sistem cakera berbanding sistem dram.

Honda Malaysia turut menyatakan bahawa sistem dram adalah lebih ringan dari sistem cakera, dan sebab itu ia lebih sesuai untuk model petrol sepenuhnya.

3. Model hibrid RS e:HEV hanya masuk pasaran Malaysia pada Januari 2021

Ketika dilancarkan semalam, harga untuk varian RS e:HEV masih belum diumumkan. Ini bukan kerana harga berkenaan masih belum mendapat kelulusan kerajaan, tetapi kerana kereta tersebut hanya akan berada dalam pasaran tempatan pada Januari 2021.

Kenapa lambat? Untuk pengetahuan anda, Malaysia adalah pasaran pertama di dunia yang menerima Honda City e:HEV ini; Thailand hanya menawarkan enjin VTEC turbo 1.0 liter, manakala India pula ditawarkan dalam versi 1.5 NA dan juga diesel.

Jadi dengan teknologi yang jauh lebih rumit, City Hybrid ini memerlukan masa yang lebih lambat untuk mula diproduksi di kilang mereka di Melaka, ditambah lagi dengan situasi wabak Covid-19 yang melanda dunia, pengenalan model ini dalam pasaran terpaksa di tunda ke tahun hadapan.

4. Model hibrid RS menawarkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya lebih jauh dari sebelum ini

Sistem i-MMD pada Honda City RS ini bukan sahaja tidak sama dengan sistem i-DCD pada City Hybrid sebelum ini, malah ia tidak sama dengan sistem-sistem hibrid pada jenama lain. Jadi anda perlu membuang skeptikal terhadap bagaimana sistem hibrid pada City ini berfungsi.

Sistem tersebut terdiri dari enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson bersama dua buah motor elektrik, yang membekalkan kuasa 108 PS dan tork maksima 253 Nm. Apa yang berbeza, ia boleh bergerak dengan motor elektrik sepenuhnya sambil enjin petrol hanya mengecas bateri seperti sebuah sistem hibrid range extender atau ‘generator pasar malam’, dan ia turut boleh menggunakan kuasa gabungan antara enjin petrol dan juga motor elektrik untuk memacu roda hadapan untuk kelajuan lebih tinggi.

Jadi kuasa bateri lithium-ion 1.3 kWj untuk sistem hibrid ini akan sentiasa berada dalam tahap optima dan ia tidak akan ‘lemau’ kerana kehabisan caj, serta dapat memberikan jarak perjalanan menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya lebih jauh dari sistem i-DCD.

Malah dengan kuasa tork 253 Nm dari motor elektrik yang boleh dibekalkan terus dari 0 rpm, Honda City RS ini tidak memerlukan kotak gear sebenar dan ia sentiasa akan mula bergerak menggunakan motor elektrik terlebih dahulu. Pecutan dari 0-100 km/j pula boleh dibuat dalam masa 9.9 saat, manakala kelajuan maksima pula adalah 173 km/j. Manakala kadar penggunaan bahan apinya pula dicatat serendah 3.77 liter setiap 100 km, atau 26.5 km/l!

5. Suspensi Honda City RS lebih selesa dari City Hybrid sebelumnya

Untuk model generasi keempat, varian Hybrid untuk Honda City yang lebih berkuasa dari City biasa diberikan sistem suspensi yang lebih keras dan sporty. Namun dengan respon yang diberikan oleh pemilik model City Hybrid i-DCD tersebut, Honda Malaysia mengambil keputusan untuk memberikan suspensi yang ditala untuk lebih keselesaan pada model City RS terbaharu ini.

Walau bagaimanapun dengan perbezaan berat yang ketara disebabkan sistem hibrid termasuk bateri (Intelligent Power Unit atau IPU) yang diletakkan di belakang membuatkan model RS ini 111 kg lebih berat dari City Gred V, talaan pada suspensi tetap perlu dibuat semula dan ia unik pada kedua-dua versi penjana.

Jadi ini antara perkara-perkara yang perlu anda tahu tetapi mungkin tidak terdapat dari sumber-sumber lain. Manakala untuk mengetahui perincian lain seperti harga dan perbezaan setiap varian, anda boleh baca satu lagi artikel kami pada PAUTAN INI.

GALERI: Pembentangan produk ketika pelancaran Honda City 2020

GALERI: Honda City 1.5L RS e:HEV 2020

GALERI: Honda City 1.5L V 2020

GALERI: Honda City 1.5L E Modulo 2020