Skoda akhirnya sudah mempunyai tarikh untuk penampilan pertama model Koshaq. SUV yang dibuat untuk pasaran India ini akan diperkenalkan pada 18 Mac dan demi membangkitkan lagi keghairahannya, beberapa gambar turut disiarkan.
Seperti yang dijangka, Kushaq akan menggunakan banyak inspirasi daripada model konsep Vision IN dan beberapa tanda rekaan akan dikekalkan termasuklah bentuk gril, lampu jenis terpisah, tiga bukaan udara, skid plate yang tebal serta dua garis badan di tepi.
Pada bahagian belakang, anda akan dapat melihat lampu berbentuk L terbalik, tulisan Skoda besar di tengah dan juga skid plate berwarna perak. Sebagai sebuah kenderaan mampu milik, sudah tentu tempat membuka pintunya menggunakan jenis biasa dan bukannya yang tersembunyi seperti model konsep.
Beberapa perincian Kushaq telah didedahkan bulan lalu, termasuk tempat duduk serta roda stereng yang boleh dilaras mengikut tinggi (bukan sesuatu yang biasa bagi India), pilihan sistem pendingin hawa automatik, skrin sesentuh untuk infotainmen, cruise control serta pengelap cermin dan lampu automatik.
Kushaq dibina atas platform MQB AO IN, iaitu satu versi terbaru bagi platform sama yang digunakan oleh model Kamiq dan turut digunakan oleh Volkswagen Taigun. Pilihan enjin yang akan diberi pula terdiri daripada tiga silinder turbo 1.0L dan empat silinder TSI 1.5L. Kuasa akan disampaikan kepada roda hadapan dan pelanggan mempunyai pilihan transmisi DSG tujuh kelajuan, manual enam kelajuan atau automatik biasa.
Pada bahagian keselamatan, Kushaq akan dipasang dengan dua beg udara secara standard dan ia boleh pergi sehingga enam unit bergantung kepada varian. Turut diberitahu akan hadir pada Kushaq adalah ciri seperti Stability Control, Hill Start Assist serta pemerhati tekanan angin tayar.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.