BMW X7 G07 CKD dipertontonkan di M’sia – xDrive40i Design Pure Excellence, harga jangkaan RM708,800

BMW X7 G07 CKD dipertontonkan di M’sia – xDrive40i Design Pure Excellence, harga jangkaan RM708,800

Hari ini, BMW Group Malaysia telah melancarkan beberapa model baharu untuk pasaran tempatan, termasuklah barisan terkini 4 Series G22, MINI Countryman F60 facelift dan beberapa model BMW Motorrad. Malahan syarikat ini turut mengambil kesempatan mempertontonkan model pemasangan tempatan (CKD) bagi SUV X7 G07 yang pastinya dengan penawaran harga yang lebih rendah dan terdapat beberapa perubahan ciri yang ditampilkan berbanding versi import sepenuhnya (CBU).

Seperti mana versi CBU yang pertama kali dilancarkan di sini pada July 2019, yang ditawarkan dengan varian tunggal xDrive40i Design Pure Excellence dengan harga semasa RM837,457, atas jalan, tanpa insurans dengan 50% pengecualian cukai jualan. Angka tersebut termasuk dengan lanjutan waranti dan pakej penyelenggaran, tetapi tanpanya, X7 berharga RM861,847.

Untuk versi CKD ini, ia masih ditawarkan dengan varian tunggal yang sama, namun buat masa ini harga jangkaanya adalah sekitar RM708,800. Walau bagaimana pun, kena nantikan pengumuman selanjutnya daripada BMW Group Malaysia mengenai ketepatan harga pasarannya kelak.

Walau pun jurang perbezaan harganya agak jauh, namun difahamkan banyak juga ciri yang ada pada model CBU dikekalkan pada versi CKD. Ini termasuklah enjin B58 3.0 liter petrol pengecas turbo enam-silinder sebaris yang boleh menghamburkan kuasa sehingga 340 PS dan tork 420 Nm dari 1,500 hingga 5,200 rpm. Penjana kuasa ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda. Ia membolehkan SUV ini dipecut dari 0-100 km/j dalam hanya 6.1 saat serta mampu mencapai kelajuan maksimum 245 km/j.

BMW X7 G07 CKD dipertontonkan di M’sia – xDrive40i Design Pure Excellence, harga jangkaan RM708,800

Pakej Design Pure Excellence turut didatangkan secara standard, termasuklah beberapa kemasan krom pada bahagian luaran, disertai dengan roda aloi Y-spoke style 753 bicolour 22-inci. Untuk pengendalian yang lebih selesa, SUV seberat 2.3-tan ini turut mengekalkan sistem suspensi udara dua-gandar dengan lima larasan ketinggian berbeza sehingga 80 mm.

Turut diberikan ialah pakej Executive Drive Pro dengan penstabilan anti-olengan aktif – yang pertama diberikan untuk model X – yang bekerjasama dengan Dynamic Damper Control dalam memproses data dari sistem navaigasi dan kamera hadapan. Malah ada satu ciri yang versi CKD peroleh, tetapi tidak pada CBU iaitu Integral Active Steering atau sistem stereng roda-belakang.

Selain itu, ciri yang lebih kurang sama turut diberikan untuk ruang dalaman X7 CKD termasuklah tiga barisan tempat duduk dengan kemasan kulit Vercasca. Malah dalaman kabin turut diberikan kemasan kayuan Fineline Stripe, papan pemuka balutan kulit sintetik Sensatec, paparan utama, tempat duduk dengan aliran udara, kawalan suhu lima-zon, tirai elektrik untuk tingkap belakang dan juga bumbung kaca panorama Sky Lounge.

Lain-lain ciri standard termasuklah lampu utama BMW Laserlight adaptive dengan bantuan lampu tinggi, lampu kabus LED, BMW Display Key, cermin pandang belakang/sisi anti-silau, bukaan tailgate bebas tangan dengan Comfort Access, tirai matahari untuk tingkap sisi pada bahagian belakang larasan elektrik, BMW Connected Package Professional, BMW Live Cockpit Professional dengan panel instrumen digital 12.3-inci, dan Parking Assistant Plus dengan Reversing Assist dan paparan pandangan sekeliling.

BMW X7 G07 CKD dipertontonkan di M’sia – xDrive40i Design Pure Excellence, harga jangkaan RM708,800

Tiada perubahan pada bahagian infotainmen, masih kekal dengan BMW Navigation system Professional dengan skrin sesentuh sentral 12.3-inci dan BMW Operating System 7.0, pengecas tanpa wayar dan kawalan pergerakan. Begitu juga dengan sistem bunyi sekeliling Harmon Kardon dengan 464 watt dan 16-pembesar suara, sementera barisan kedua tempat duduk turut diberikan dua skrin sesentuh 10.2-inci.

Bagi sistem bantuan pemandu dan keselamatan, X7 CKD hanya didatangkan dengan pakej Driving Assistant berbanding Driving Assistant Professional yang ada pada versi CBU. Namun ia masih dilengkapi ciri termasuk amaran pelanggaran hadapan dengan AEB, Amaran Ketibaan Lorong, Amaran Penukaran Lorong dan Kawalan Kelajuan Aktif dengan fungsi stop/go.

Ia juga menampilkan pelindungan pelanggaran sisi aktif, bantuan kawalan lorong dan stereng, Bantuan Menukar Lorong, amaran trafik lintasan hadapan dan belakang, mengelak pelanggaran belakang dan amaran lintas jalan dengan fungsi brek bandar.

BMW X7 G07 CKD dipertontonkan di M’sia – xDrive40i Design Pure Excellence, harga jangkaan RM708,800

Untuk warna luarannya, ia telah dikurangkan dari tujuh ke lima pilhan iaitu Black Sapphire, Sophisto Grey, Phytonic Blue, Mineral White dan rona baharu Manhattan Metallic – Tiada lagi pilihan untuk Artic Grey, Terra Brown dan Vermont Bronze. Bergantung pada pilihan warna, upholstery kulit Vernasca didatangkan sama ada dengan hitam, cognac atau coffee, dengan dua pilihan terakhir itu dipadankan dengan rekaan serba hitam.

X7 xDrive40i Design Pure Excellence turut didatangkan dengan waranti lima-tahun/perbatuan tanpa had dan program penyelenggaraan berjadual percuma bakal diperoleh sekiranya pelanggan membayar harga dengan waranti lajutan dan termasuk dengan pakej penyelenggaran.

Kalau tidak termasuk dengan pakej selepas jualan, ia hanya waranti pengilangan standard selama dua-tahun. Jadi anda boleh memilih untuk menambah waranti lanjutan dengan pakej penyelenggaraan selepas membuat pembelian.

Perkhidmatan lain yang turut didatangkan dengan pemilikan termasuklah talian bebas tol untuk kemalangan dan bantuan tepi jalan, aplikasi mobil BMW Group Loyalty+ dengan kad keistimewaan dan juga BMW Service Online.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required