Nissan 400Z – rupa sebenar versi produksi bocor!

Nissan 400Z – rupa sebenar versi produksi bocor!

Nissan belum lagi mengumumkan tarikh sebenar pendedahan versi produksi kereta sport Z generasi baharu mereka, yang dijangka akan digelar 400Z. Namun, tiba-tiba tular gambar kereta sport berkenaan di laman-laman sosial dan ia mendedahkan rupa sebenar tanpa sebarang pelekat penyamaran!

Berdasarkan imej-imej yang tular tersebut (disiarkan oleh laman instagram NissanArabia), benarlah seperti apa yang dikatakan oleh Presiden Nissan Makoto Uchida bahawa model produksi ini akan menampilkan rupa yang sangat hampir dengan model prototaip Nissan Z Proto yang telah didedahkan pada September tahun lalu.

Sekali tengok, rupa model produksi ini adalah sama sepenuhnya seperti Z Proto, termasuk rekaan rim yang digunakan. Tetapi jika lebih diteliti, dapat diperhatikan bahawa model produksi sebenar ini diberikan reflektor berwarna merah pada bahagian sisi bampar belakang, serta diberikan spoiler ekor itik bagi memberikan lebih aura dari model klasik Datsun Fairlady Z generasi pertama (S30Z) khususnya dari versi ‘homologation special’ 240ZG.

Nissan 400Z – rupa sebenar versi produksi bocor!

Pada asasnya, hampir kesemua bahagian pada model generasi baharu ini dihasilkan berdasarkan rupa pada 240Z. Pertama sekali pada mukanya – ia diberikan bonet hadapan yang panjang bersama bonjol tengah berbentuk-V, dan juga dua lagi bonjol sisi yang masing-masing berhubung terus dengan lampu hadapan yang direka seakan lampu 240ZG yang menampilkan pelindung lutsinar diluarnya. Manakala dua jalur LED lengkung di atas dan bawah membayangkan lampu bulat pada model klasik tersebut.

Sekali tengok, bampar hadapan Nissan Z generasi baharu ini juga menampilkan gril hadapan yang sama seperti S30Z, malah ia turut diinspirasikan dari 240Z yang menggunakan spoiler hadapan tambahan seperti watak anime/manga Wangan Midnight, ‘Devil-Z’.

Pada bahagian sisi, garis badan Nissan 400Z ini tidak boleh dinafikan bahawa ia sama seperti 240Z. Ia tampil dengan bumbung yang curam kebelakang dan juga tingkap cermin sisi belakang yang bersaiz kecil. Untuk menambah imej retro model ini, ia turut diberikan satu jalur kemasan krom sepanjang atas tingkap terus ke sisi pintu hatch belakang, bersama logo Z yang diletakkan pada panel sisi belakang tersebut.

Nissan 400Z – rupa sebenar versi produksi bocor!

Bahagian dalaman Nissan 400Z produksi ini juga nama sama seperti Z Proto termasuk papan pemuka, meter ‘tiga beradik’ di tengah (juga diinspirasi dari 240Z), panel paparan instrumen digital, roda stereng tiga jejari dengan logo Z dan juga skrin infotainmen pada konsol tengah.

Brek tangan manual juga masih lagi ada, cuma yang berbeza model yang bocor ini adalah dari versi kotak gear automatik dengan tombol gear pendek berbentuk petak, manakala Z Proto didedahkan dalam versi kotak gear manual.

Tiada sebarang perincian khusus diumumkan berkenaan sistem mekanikal Nissan 400Z ini. Namun ketika pendedahan Z Proto, Nissan mengesahkan bahawa model generasi baharu ini akan dijana oleh enjin V6 Twin Turbo seperti 300ZX, dan ia juga ditawarkan dengan pilihan kotak gear manual enam-kelajuan, serta memacu hanya roda belakang.

Menerusi pelbagai laporan media sebelum ini, 400Z akan dihasilkan menggunakan platform FM (asas yang sama seperti Infiniti Q60 Coupé) yang diolah semula, dan oleh itu ia mungkin akan dijana oleh enjin VR30DDTT 3.0 liter V6 turbo. Manakala dalam permainan video simulator pemanduan Project Cars 3, spesifikasi Nissan Z Proto tersebut mencatatkan bahawa enjin berkenaan menghasilkan kuasa 450 PS, dengan berat badan hanya 1,475 kg.

Apa pun, kita tunggu sahaja pengumuman rasmi dari Nissan bagi mengetahui spesifikasi sebenar Nissan 400Z ini. Dan dengan terdedahnya gambar terbaharu ini, kemunculan rasminya mungkin akan dibuat tidak lama lagi.

GALERI: Nissan Z Proto

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required