Menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh Autocar, model baru Nissan Fairlady nanti akan menggunakan nama 400Z apabila memasuki pasaran untuk menggantikan 370Z yang kini sudah berusia lebih 10 tahun. Laporan itu juga menyatakan kemungkinan penggunaan enjin V6 turbo 3.0 liter yang diambil daripada model Infiniti Q50 dan Q60 Red Sport, sementara platform juga dikatakan diambil daripada Infiniti sedia ada.
Satu demi satu persiapan Nissan untuk pengenalan model ini dapat dilihat, dengan pada bulan lalu, mereka diketahui mendaftar logo baru model Z sebagai tanda niaga di Canada. Logo dua dimensi ini membawa semula kepada rekaan model klasik Fairlady sebelum ini dan dikatakan bersesuaian dengan rekaan model baru yang akan lebih banyak menggunakan rekaan ciri warisan model terdahulu.
Selepas versi biasa, ia kemudiannya akan diikuti pula oleh versi berprestasi tinggi, di mana kalau menurut laporan Autoblog, ada kemungkinan penghasilan versi Nismo yang mempunyai kuasa sehingga 500 hp. Walaupun dikata banyak membawa ciri rekaan warisan, Fairlady 400Z dijangka mempunyai ciri teknologi canggih termasuk pada sistem infotainmen dan paparan instrumen.
Sebenarnya, Nissan sudah pernah menghasilkan Fairlady yang menggunakan enjin V6 3.0 liter turbo sebelum ini, tetapi ia sekadar sebuah model konsep yang dibawa ke pameran SEMA. Ia menggunakan enjin VR30DDTT, menggantikan unit enjin NA asal VQ37VHR, mampu menghasilkan kuasa sekitar 400 hp dan dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan serta limited-slip rear differential.
Manurut laporan Autocar lagi, Fairlady 400Z dijangka masih mengekalkan tetapan pacuan roda belakang, dan mungkin lebih laju berbanding model Infiniti yang menggunakan enjin V6 3.0 liter turbo sama kerana ia lebih ringan. Pendedahan Fairlady 400Z dijangka berlaku dalam masa 12 bulan lagi tetapi kerana pandemik Covid-19 sekarang, ia mungkin ditangguh.