Tidak banyak yang diketahui setakat ini berkenaan pengganti baru Nissan 370Z, tetapi logo baru untuk syarikat dan model Z telah beredar. Menurut Motor Trend, logo baru Z telah difailkan sebagai tanda niaga di Canada manakala logo baru syarikat pula didaftar di United Kingdom, Peru, Uruguay, Chile dan Argentina.
Logo baru Nissan yang dilihat ini mempunyai rekaan dua dimensi, sama seperti pendekatan yang diambil oleh Volkswagen dan BMW baru-baru ini, dan ia sebenarnya telah ditunjukkan lebih awal melalui kereta konsep Ariya, dengan diletakkan pada gril hadapannya. Meskipun mempunyai bentuk sama, logo itu walaubagaimanapun diletakkan atas lencana tiga dimensi.
Sementara itu bagi logo model Z baru pula, ia mengikut gaya yang digunakan pada model Z terdahulu seperti 240Z, 260Z dan 280Z. Ia dianggap bersesuaian kerana model baru Z nanti dilapor bakal mempunyai gaya ‘inspirasi warisan’, tetapi dengan enjin yang lebih moden – mungkin V6 3.0 liter twin turbo.
Enjin ini sekarang diguna pada Infiniti Q50 dan Q60 Red Sport dan dipadankan bersama transmisi automatik sembilan kelajuan. Model baru Z nanti mungkin mempunyai pilihan manual dan automatik. Sebelum ini juga Nissan Motorsport pernah memasang enjin V6 3.0 liter biturbo pada Fairlady 370Z, tetapi sebagai satu projek khas untuk pameran SEMA.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.