Honda Civic sedan 2022 – versi produksi terdedah lagi

Honda Civic sedan 2022 – versi produksi terdedah lagi

Selepas dua kali dilihat di China tanpa sebarang pelekat penyamaran, kini sekali lagi rupa Honda Civic sedan generasi ke-11 terdedah kepada umum. Imej kali ini disiarkan menerusi forum Civic11Forum, dan Civic 2022 berkenaan terdedah dalam dua warna badan; Lunar Silver dan Platinum White.

Seperti yang sudah diketahui, Honda Civic generasi terbaharu dalam versi produksi sebenar ini tampil dengan rupa hampir sepenuhnya sama dengan Civic Prototype yang telah didedahkan secara rasmi pada November tahun lalu. Ia tidak lagi menyerlahkan rekaan yang agresif seperti Civic FC sedia ada, sebaliknya nampak lebih matang seperti Accord.

Muka Civic ini masih diberikan gril signatur Solid Wing Honda, tetapi ia dihasilkan lebih nipis bersama jalur-jalur melintang dalam kemasan hitam. Ia digandingkan dengan lampu depan yang juga lebih tirus, bersama jalur LED lampu nyalaan siang berbentuk-L. Model produksi ini dibezakan dengan pemadanan lampu kabus pada kemasan berbentuk-C pada bampar hadapan.

Honda Civic sedan 2022 – versi produksi terdedah lagi

Bahagian profil sisi Civic ini antara elemen yang membuatkan ia nampak seakan Honda Accord generasi sedia ada, tetapi dalam skala lebih kecil. Bukan sahaja bentuk, malah perincian seperti rekaan bentuk lengkuk pada tiang-C serta pintu penutup lubang tangki bahan api juga menampilkan rupa yang sama seperti Accord.

But belakang Civic generasi baharu ini dihasilkan dengan bentuk lentik seperti diberikan spoiler ekor itik – juga satu lagi rekaan yang disalin dari Accord. Lampu ‘sepit ketam’ pada FC hilang terus, dan digantikan dengan lampu lebih melintang lurus, bersama grafik jalur LED berbentuk-L, membuatkan ia seakan sebuah kereta rekaan jenama Eropah.

Namun bagi model produksi ini, tiada dua muncung tip ekzos yang kelihatan seperti pada versi prototaip. Satu lagi perkara yang jelas pada imej kali ini adalah rekaan rim aloi yang digunakan, yang juga nampak lebih ringkas dari rekaan pada Civic FC.

Honda Civic sedan 2022 – versi produksi terdedah lagi

Walau bagaimanapun, sehingga kini imej untuk bahagian kabin Civic 2022 masih belum bocor. Namun ia mungkin turut akan menampilkan rekaan yang hampir serupa seperti yang didedahkan pada Civic Prototype – ia direka ringkas, tiada elemen seperti kapal angkasa pada Civic FC, dan ia hanya menampilkan satu panel panjang dengan elemen gril sarang lebah merentangi papan pemuka tersebut, yang menyembunyikan liang pendingin hawa.

Skrin infotainmen tidak lagi ‘ditanam’ papan pemuka, sebalikya diletakkan seakan berdiri sendiri di bahagian paling atas. Suis larasan fizikal untuk sistem pendingin hawa pula diletakkan di tingkat bawah papan pemuka ini.

Rekaan yang ringkas ini nampaknya membolehkan Honda memberikan ruang storan lebih besar pada panel tengah yang bersambung dengan konsol gear, di mana ia turut menempatkan dua pemegang cawan serta suis brek parkir elektronik. Model generasi baharu ini turut menerima paparan meter digital, bersama roda stereng baharu dengan jejari pukul tiga dan sembilan yang lebih nipis dan tegak.

Honda Civic generasi ke-11 ini dijangka akan mula dijual di Amerika Syarikat lewat musim luruh tahun ini, dan ia akan diikuti pasaran China selepas itu.

GALERI:Honda Civic Prototype

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required