Subaru BRZ 2021 diperkenalkan di Jepun – 2.4L boxer NA 235 PS/250 Nm, AT & MT, pelbagai aksesori STI

Subaru BRZ 2021 diperkenalkan di Jepun – 2.4L boxer NA 235 PS/250 Nm,  AT & MT, pelbagai aksesori STI

Serentak dengan pendedahan Toyota GR 86, hari ini Subaru turut memperkenalkan kembar untuk versi kereta sport ringan dua pintu berkenaan, BRZ 2021 untuk pasaran Jepun, selepas kemunculan sulungnya telah dibuat di Amerika Syarikat November tahun lalu.

Di Jepun, BRZ juga akan dijual lebih awal iaitu bermula musim panas ini, berbanding GR 86 yang hanya akan dijual bermula musim luruh nanti. Walau bagaimanapun, kedua-dua pasangan kembar ini akan dipasang di kilang yang sama iaitu di kilang Subaru Gunma, Jepun.

Model JDM ini menampilkan rupa yang sama seperti yang muncul di Amerika Syarikat tahun lalu. Ia diasaskan dari casis generasi sebelumnya, tetapi diolah dengan elemen dari Subaru Global Platform yang baharu. Ini membolehkan ia mencapai ketegaran torsi 50% lebih kuat dari sebelum ini hasil dari sistem cagak casis yang telah diperkuatkan.

Subaru BRZ 2021 diperkenalkan di Jepun – 2.4L boxer NA 235 PS/250 Nm,  AT & MT, pelbagai aksesori STI

Oleh itu, saiz untuk model generasi baharu ini juga tidak banyak berubah dari model sebelumnya. Subaru BRZ 2021 menampilkan dimensi 4,265 mm (+25 mm) panjang, 1,775 mm lebar, 1,310 mm (-10 mm) tinggi, serta jarak roda sejauh 2,575 mm atau 5 mm lebih panjang.

Dari segi rupa, BRZ 2021 menampilkan hampir keseluruhan rupa yang sama dengan GR 86 termasuk lampu dan bampar belakang. Elemen utama yang membezakan antara kedua-duanya adalah bampar dan gril hadapan di mana BRZ menerima gril berbentuk heksagon, berbeza dengan 86 yang diberikan gril ‘Matrix’ dan liang udara hampir seiras dengan GR Yaris.

Perincian lain seperti lampu hadapan dengan bentuk titisan air bersama jalur LED lampu nyalaan siang berbentuk-C bersepadu, liang udara sisi yang memang berfungsi, bumbung “double bubble” dan juga spoiler ekor itik yang bersepadu terus dengan penutup but belakang adalah seiras dengan GR 86.

Subaru BRZ 2021 diperkenalkan di Jepun – 2.4L boxer NA 235 PS/250 Nm,  AT & MT, pelbagai aksesori STI

Bahagian dalaman BRZ 2021 ini juga nampak seiras dengan Toyota GR86. Ia menampilkan papan pemuka, sistem infotainmen, paparan instrumen digital, suis susunan seperti kekunci piano untum sistem pendingin hawa semuanya sama untuk kedua-dua model. Apa yang berbeza cuma logo Subaru pada roda stereng.

Model generasi baharu ini masih tidak diberikan pengecas turbo, sebaliknya dibekalkan enjin Boxer empat silinder NA yang lebih besar. Subaru BRZ dan Toyota GR 86 kedua-duanya dijana oleh enjin petrol 2.4 liter (berbanding hanya 2.0L pada generasi sebelum) berkuasa 235 PS pada takat 7,000 rpm dan juga tork maksima 250 Nm seawal 3,700 rpm (sedikit lebih berkuasa dari BRZ 2022 USDM).

Enjin Subaru dengan kod FA24D berkenaan masih dibekalkan dengan sistem suntikan bahan api D-4S Toyota, yang menampilkan sistem suntikan terus ke dalam kebuk pembakaran dan juga suntikan port. Ia juga dibekalkan dengan sistem injap bervariasi dual Active Valve Control System (DAVCS), dengan empat aci sesondol (dua setiap kepala) yang digerakkan oleh timing chain.

Kuasa dari enjin masih hanya disalurkan hanya ke roda belakang menerusi kotak gear enam-kelajuan dalam pilihan manual atau automatik (diberikan mod Sport).

Dalam pendedahan hari ini, Subaru turut mengumumkan pelbagai aksesori STI untuk BRZ generasi baharu ini. Antara peralatan yang ditawarkan adalah ki badan yang merangkumi spoiler bawah bampar hadapan dan belakang, skirt sisi, lampu LED pada liang udara hadapan, kemasan pada liang udara sisi (dua versi), kemasan bumbung, dan juga trim pada penutup but belakang.

Selain itu, barisan aksesori STI ini juga tampil dengan rim 18-inci dari BBS, spoiler belakang lebih besar diperbuat dari material karbon kering, dan juga dua peralatan prestasi iaitu muffler untuk sistem ekzos dan juga strut bar berprestasi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required