Nissan GT-R Nismo 2022 – tampil warna Stealth Gray baharu, model SE dengan komponen enjin lebih jitu

Nissan GT-R Nismo 2022 – tampil warna Stealth Gray baharu, model SE dengan komponen enjin lebih jitu

Dah berapa tahun Nissan GT-R R35 berada dalam pasaran? Model ini telah pun dilancarkan di Jepun pada Disember 2007, anda kiralah sendiri berapa lama. Namun tahun demi tahun, ia sentiasa dikemaskini – memperkenalkan, versi terbaharu R35, Nissan GT-R Nismo 2022!

Model ini bakal masuk ke pasaran Jepun pada Oktober nanti bersama versi GT-R Nismo edisi khas. Buat pertama kali, versi lebih hardcore Nismo ini tidak tampil dengan warna putih, sebaliknya ditawarkan dalam warna baharu Nismo Stealth Gray. Menurut Nissan, warna baharu ini sebenarnya diinspirasikan dari permukaan tar litar, iaitu ‘habitat semula jadi’ untuk Nissan GT-R.

Bagi model Nissan GT-R Nismo 2022 edisi khas, ia menampilkan perincian yang diinspirasikan dari model Skyline GT-R R34 V Spec II N1 iaitu penutup bonet hadapan gentian karbon yang hanya dilayangkan lapisan clear-coat. Menurut Nissan, dengan tidak mengenakan cat berwarna, ia mampu mengurangkan berat kereta ini sebanyak 100 gram.

Nissan GT-R Nismo 2022 – tampil warna Stealth Gray baharu, model SE dengan komponen enjin lebih jitu

Selain itu, perincian gentian karbon lain turut dapat dilihat pada bahagian muncung, sisi, liang udara dan juga spoiler belakang Nismo GT-R ini sama seperti versi sebelumnya. Ia juga menerima rim aluminium forged 20-inci dari Rays Engineering dalam kemasan hitam bersama serlahan merah disekelilingnya.

Nismo GT-R 2022 ini juga menjadi model kedua Nissan yang menggunakan logo baharu mereka selepas SUV elektrik Nissan Ariya. Logo berkenaan boleh dilihat pada bahagian belakang dan juga penutup bahagian tengah setiap roda.

Selain dari perincian-perincian yang telah disebutkan ini, ciri-ciri lain termasuk sistem mekanikal adalah masih sama seperti model Nissan GT-R Nismo 2020. Ia termasuk enjin VR38DETT 3.8 liter V6 dengan dua buah pengecas turbo yang sama seperti jentera lumba GT-R GT3, menghasilkan 600 PS dan tork maksima 652 Nm.

Kotak gear klac berkembar automatik enam-kelajuan yang sama juga masih digunakan, bersama sistem pacuan semua roda Attesa ETS. Sistem brek juga tidak berubah, menampilkan cakera karbon seramik paling besar pernah dipadankan pada model prestasi produksi Jepun berdiameter 410 mm di hadapan dan 390 mm di belakang, bersama angkup dari Brembo.

Bagi model GT-R Nismo edisi khas yang hanya akan dibina berdasarkan tempahan, ia menerima komponen-komponen enjin baharu yang berkejituan tinggi serta diimbang semula termasuk gegelang omboh, rod penghubung, aci engkol, roda tenaga, pulley engkol, serta spring injap yang dipasang dengan toleransi lebih ketat, bagi memberikan respon dan juga putaran turbo yang lebih cepat.

Seperti biasa, kesemua enjin R35 GT-R berkenaan dipasang dengan tangan oleh juruteknik-juruteknik ‘takumi’ Nissan. Istimewa untuk versi edisi khas, plat takumi pada enjin berkenaan diberikan warna yang eksklusif.

Sebelum kereta ini berada di bilik pameran, pelanggan-pelanggan di Jepun bakal berpeluang membeli GT-R Nismo 2022 ini di rangkaian restoran makanan segera McDonals dalam bentuk skala lebih kecil. Kereta miniatur tersebut dihasilkan oleh Tomica dan akan dijual menerusi set makanan “Tomica Happy Set” (atau Happy Meal di Malaysia), ditawarkan hanya dalam tempoh terhad bermula 16 April ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required