Lexus NX 2022 didedah – generasi kedua dirombak sepenuhnya, dapat enjin hibrid, PHEV dan 2.4 Turbo

Lexus NX 2022 didedah – generasi kedua dirombak sepenuhnya, dapat enjin hibrid, PHEV dan 2.4 Turbo

Sejak dilancarkan pada tahun 2014, Lexus NX telah menjadi pilihan alternatif untuk bersaing dengan model SUV mewah seperti Audi Q5 dan BMW X3. Kini, model yang lebih kecil daripada RX, tetapi lebih besar daripada NX ini telah diperbaharui sepenuhnya, dengan pengenalan model generasi kedua.

Ia dibina atas platform baru, Toyota New Global Architecture (TNGA) versi GA-K, yang menjadikan badannya sedikit lebih besar, dengan ukuran 4,660 mm panjang (+20 mm), 1,865 mm lebar (+20 mm) dan jarak roda 2,690 mm (+30 mm). Jika anda nampak NX baru ini lebih tegap, ia juga adalah kerana jarak antara roda kiri dan kanan lebih lebar, dan datang terus dengan rim standard 20 inci.

Menurut Lexus, pereka NX baru kali ini mendekati konsep “bucu yang lebih lembut serta bentuk lebih organik”. Ia boleh dilihat dari luar, di mana NX baru ini tidak banyak bucu atau bentuk tajam seperti model sebelumnya.

Lexus NX 2022 didedah – generasi kedua dirombak sepenuhnya, dapat enjin hibrid, PHEV dan 2.4 Turbo

Tiada satu pun bahagian yang sama seperti model generasi pertama, dan antara yang boleh dilihat jelas adalah lampu hadapannya tidak lagi menggunakan elemen berasingan untuk unit utama dan DRL, lampu belakang menggunakan pencahayaan berbentuk L, kemasan gril baru, bukaan udara lebih besar pada bucu bampar serta tulisan LEXUS penuh di but belakang, tanpa logo L seperti sebelum ini.

Untuk enjin, perubahan paling utama adalah penawaran versi plug-in hybrid – pertama bagi Lexus – dan ia menyertai pilihan lain iaitu hibrid, 2.4L Turbo dan 2.5L NA. Sistem pacuan juga ada pilihan FWD dan AWD/e-Four.

Model versi PHEV dipanggil sebagai NX 450h+, di mana ia menggunakan gabungan enjin empat silinder 2.5 liter bersama motor elektrik di hadapan dan belakang yang mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 18.1 kWh. Pada RAV4 Prime, yang menggunakan penggerak sama, ia boleh menghasilkan kuasa keseluruhan 302 hp, dengan jarak gerak elektrik penuh 75 km.

Lexus NX 2022 didedah – generasi kedua dirombak sepenuhnya, dapat enjin hibrid, PHEV dan 2.4 Turbo

Apabila menggunakan kapasiti mengecas maksimum, iaitu 240V, NX PHEV boleh dicas penuh dalam masa 2.5 jam, dengan menggunakan pengecas 6.6 kW (pilihan tambahan). Jika menggunakan pengecas standard, ia akan mengambil masa 4.5 jam.

Versi hibrid biasa pula dipanggil sebagai NX 350h. Versi ini menggunakan enjin petrol A25A-FXS yang sama, iaitu 2.5L HEV, dengan pilihan AWD e-Four yang menggunakan motor di belakang (ada juga pilihan FWD). Sistem e-Four ini mempunyai pengagihan kuasa hadapan dan belakang boleh ubah dari 100:0 hinggalah 20:80. Kuasa keseluruhan yang mampu dihasilkan adalah 239 hp – 20% lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Pergi pula kepada enjin pembakaran dalaman biasa, tanpa bantuan elektrik, paling menarik adalah NX 350, yang menggunakan unit 2.4 liter turbo dengan kuasa anggaran 275 hp/430 Nm. Ia dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan Direct Shift, untuk menghantar kuasa kepada semua roda melalui sistem AWD yang dikawal secara elektronik.

Lexus NX 2022 didedah – generasi kedua dirombak sepenuhnya, dapat enjin hibrid, PHEV dan 2.4 Turbo

Akhir sekali, NX 250, yang menggunakan enjin NA 2.5L A25A-FKS bersama padanan kotak gear automatik lapan kelajuan Direct Shift dan kuasa maksimum 204 hp/247 Nm. Ini adalah enjin yang sama seperti Toyota RAV4 serta Lexus ES 250 yang berada dalam pasaran Malaysia sekarang, dan pada NX baru, ia didatangkan bersama pilihan pacuan AWD atau FWD.

Kelengkapan suspensi masih lagi sama seperti sebelum ini, tetapi telah ditala semula untuk menadi lebih tegap dan memberikan respon stereng lebih responsif. Seperti biasa, pek F Sport datang secara standard dengan Adaptive Variable Suspension (AVS)

Lexus juga buat pertama kalinya telah memperkenalkan variable steering rack gear melalui NX baru, kecuali versi PHEV. Ia dikatakan dapat meningkatkan stabiliti pada kelajuan tinggi, serta maklum balas membelok lebih cepat, sebagai tambahan kepada kawalan kelajuan rendah yang lebih mudah.

Lexus NX 2022 didedah – generasi kedua dirombak sepenuhnya, dapat enjin hibrid, PHEV dan 2.4 Turbo

Pelbagai barangan telah ditukar dan ditambah untuk menjadikan kabin NX baru lebih senyap, sementara pada versi 2.4L Turbo pula terdapat Active Noise Control/Engine Sound Enhancement untuk menghasilkan bunyi lebih sporty.

Jika perubahan rekaan luar dikatakan lebih lembut, bahagian dalam pula melibatkan perubahan yang lebih radikal. Lexus menggunakan konsep tazuna, dan mahu memberikan hubungan yang lebih baik antara pemandu dan kereta.

Di bahagian tengah papan pemuka terdapat skrin sesentuh sebesar 14.0 inci (enam inci lebih besar daripada sebelum ini dan ada juga versi 9.8 inci) dan tiada lagi pad sesentuh Remote Touch Controller untuk mengawal sistem infotainmen di konsol tengah.

Lexus NX 2022 didedah – generasi kedua dirombak sepenuhnya, dapat enjin hibrid, PHEV dan 2.4 Turbo

Di hadapan pemandu terdapat paparan head-up display (HUD) 10 inci, yang boleh dikawal menggunakan pad sesentuh Touch Tracer Operation di stereng. HUD ini menawarkan tiga mod untuk pilihan pemandu dan setiap satunya mempunyai paparan serta informasi yang berlainan. Perubahan lain yang diberi adalah seperti sistem kawalan infotainmen, roda stereng, tombol gear serta lampu suasana 64 warna.

Bagi kemasan dan tema warna dalam, pilihan yang disediakan adalah pelbagai, tetapi Lexus mahu mengetengahkan balutan kulit putih/hitam dengan benang oren yang dipanggil sebagai “Black & Rich Cream”. Ada juga pilihan kemasan “3D Cutting Black” yang menampilkan corak geometrik unik.

Satu lagi bahagian yang diambil penting oleh Lexus adalah sistem bunyi Lexus Premium Sound System yang disediakan pada NX baru terdiri daripada 10 pembesar suara serta kotak subwoofer kapasiti tinggi, tetapi pelanggan juga boleh menaik taraf kepada Mark Levinson Premium Surround Sound System yang mempunyai 17 pembesar suara dan juga subwoofer.

Sekarang, pakej Lexus Safety System+ pada NX telah dipertingkat dengan jarak pengesan lebih luas dan ia termasuklah untuk sistem Pre-Crash Safety, Radar Cruise Control (dengan fungsi All-Speed Follow), Lane Departure Alert, Lane Tracing Assist, Road Sign Assist dan Proactive Driving Assist.

Fungsi PCS, atau Autonomous Emergency Braking (AEB) pada NX baru juga telah dipertingkat, dengan antaranya dapat mengelak perlanggaran di simpang, ada kereta mendekati waktu membelok ke kanan dan sekiranya ada pejalan kaki atau penunggang basikal waktu mahu membelok.

Turut dipertingkat adalah prestasi mengesan selekoh waktu menggunakan cruise control. Kini ia dapat memperlahankan kenderaan lebih awal mengikut saiz selekoh dan menurut Lexus, fungsi kawalan kelajuannya kini lebih menyerupai seperti tindak balas pemandu biasa.

GALERI: Lexus NX 2022

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required