Proton Motorsport tarik diri pada pusingan ketiga BRC 2021 selepas kemalangan besar di Nicky Grist Stages

Proton Motorsport tarik diri pada pusingan ketiga BRC 2021 selepas kemalangan besar di Nicky Grist Stages

Selepas mengalami kemalangan yang agak dahsyat di pusingan kedua Kejuaraan Rali British (BRC) 2021, Nicky Grist Stages yang berlangsung di Builth Wells, Wales, UK hampir dua minggu lalu, Oliver Mellors dari pasukan Proton Motorsport yang memandu Proton Iriz R5 mengumumkan bahawa dia akan menarik diri buat sementara waktu pada pusingan ketiga nanti.

Menurut Ollie dalam laporan Motorsport News, dia dan pasukannya akan kembali ke BRC pada pusingan keempat nanti iaitu di Trackrod Rally pada 24 hingga 25 September, tetapi sementara itu mereka akan ke Hills Ford Three Shires Stages yang akan berlangsung pada 5 September bagi tujuan menyelesakan diri pada rali permukaan tar.

Mengulas berkenaan kemalangan yang disifatkan paling besar pernah berlaku dalam kariernya itu, Ollie memberitahu ia adalah disebabkan kesilapannya dalam membuat pacenote (nota yang dibaca oleh juruarah) ketika sesi recce, kerana mereka sendiri tidak pasti adakah perlu untuk memecut sepenuhnya atau memperlahankan kereta pada bukit tersebut.

“Saya ragu-ragu sama ada perlu memecut sepenuhnya di situ atau tidak, dan saya terus pecut dan berada di sebelah kanan jalan dan melompat pada sebelah kanan. Kami dah tengok berberapa (video) dari dalam kereta dan pelbagai dan nampaknya mereka tak melompat setinggi ini. Saya rasa ‘ia’ akan okey,” kata Ollie.

“Saya tak angkat kaki dari pendikit, terus tekan habis sepanjang jalan dari mula dengan gear lima kemudian mula melompat, satu lagi salah saya, saya angkat pendikit (masa mula melompat) menyebabkan muncung kereta menjunam dan disebabkan kelajuan lompatan yang agak tinggi ia mula mengangkat bahagian belakang. Dan selepas itu apa yang saya nampak adalah permukaan tanah dan terasa lambat betul nak mendarat,” jelas Ollie lagi.

Menerusi video yang dirakam oleh Sideways Media, muncung Iriz R5 tersebut terlalu menjunam dan kemudian mendarat dengan tayar hadapan sebelah kiri terlebih dahulu yang mencecah permukaan tanah. Ini menyebabkan kereta tersebut bergolek dan kemudian berpusing di udara berberapa kali menyebabkan kerosakan yang teruk termasuk pintu hadapan sebelah kanan tercabut.

Ollie tidak mengalami sebarang kecederaan, namun juruarahnya, Max Freeman dilaporkan patah pergelangan kaki dan terpaksa bermalam di hospital. Selepas berlakunya kemalangan berkenaan, kereta tersebut terus dibawa ke Mellors Elliot Motorsport (MEM, firma yang mengendalikan Proton Motorsport di UK dan membangunkan Iriz R5 serta Satria Neo S2000 sebelum ini) untuk dileraikan dan dipindahkan ke kerangka baharu.

“Semuanya nampak boleh diperbaiki semula selain dari panel-panel. Enjin nampak ok, transmisi nampak ok, semua penyerap hentak dan semuanya masih baik. Depan kiri sudah hancur jadi ia perlukan panel depan kiri yang baru, tetapi selain dari itu boleh diselamatkan. Rollcage menerima impak yang kuat tetapi ia telah berfungsi seperti yang diharap, ia hanya bengkok pada satu bahagian,” jelas pelumba berumur 26 tahun berkenaan.

Menurut Ollie lagi, pasukannya mengambil keputusan untuk tidak menyertai pusingan ketiga BRC iaitu di Grampian Forrest Rally pada 14 Ogos nanti adalah kerana mereka tidak mahu terburu-buru bagi membuat persiapan.

“Kejuaraan ini bagi kami adalah sangat penting jadi rancangan saya adalah untuk tidak menyertai Grampian, dan sertai Three Shires Stages dan selepas itu saya akan mencuba kembali di Trackrod kerana ia merupakan peluang terbaik saya untuk memberikan keputusan terbaik. Kami akan mula dari situ dan ambil keputusan apa yang akan kami lakukan,” katanya lagi.

Proton Motorsport tarik diri pada pusingan ketiga BRC 2021 selepas kemalangan besar di Nicky Grist Stages

Ollie Mellors masih belum berpeluang untuk menyerlahkan prestasi terbaiknya untuk BRC musim ini. Ketika pusingan pertama Neil Howard Stages yang belangsung di Oulton Park Race Circuit 31 Mei lalu, Ollie hanya mengutip 4 mata dengan menghabiskan perlumbaan berkenaan di tempat ke-8 kerana kecederaan kaki yang di alami sebelum perlumbaan.

Ollie dan MEM mula bertanding dalam BRC dengan Satria Neo S2000 pada musim 2016, dan kemudian menarik diri pada musim berikutnya. Dengan jentera Iriz R5 yang lebih kompetitif siap dibangunkan, Proton Motorsport mula kembali ke BRC pada tahun lalu, tetapi kejohanan tersebut hanya sempat berlangsung dalam satu pusingan sebelum dibatalkan kerana pandemik Covid-19.

Dalam satu-satunya pusingan BRC musim 2020 iaitu di Cambrian Rally, Oliver Mellors berjaya menamatkan pelumbaan di tempat keempat dan mengutip 14-mata, diikuti seorang lagi pelumba muda yang baru berpeluang berlumba dalam kategori tertinggi dengan memandu Iriz R5, James William merangkul tempat kelima.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required