Mclaren 765LT Spider didedah – 765 unit bermula RM1.8 juta, 765 PS/800 Nm, 0-100 km/j 2.8 saat

Mclaren 765LT Spider didedah – 765 unit bermula RM1.8 juta, 765 PS/800 Nm, 0-100 km/j 2.8 saat

Pembuat kereta eksotik British, McLaren telah mendedahkan model baharu McLaren 765LT Spider, iaitu versi bumbung boleh buka dari 765LT Coupe yang telah didedahkan pada Mac lalu. Sama dengan versi bumbung kekalnya, 765LT Spider ini hanya dihasilkan sebanyak 765 unit, dengan harga bermula 310,500 pound (sekitar RM1.8 juta).

Bumbung model Spider ini diperbuat dari gentian karbon dan ia boleh dibuka atau ditutup semula hanya dengan menekan butang pada konsol tengah. Menurut McLaren, proses berkenaan boleh dibuat ketika kereta sedang berjalan pada kelajuan 50 km/j, dan keseluruhan operasi mengambil masa 11 saat.

McLaren turut menambah bahawa mekanisma bumbung tersebut (yang terdiri dari lapan motor elektrik) disifatkan sebagai sistem paling cepat dan paling senyap seumpanya di dunia, di mana penumpang hanya akan mendengar bunyi tidak lebih dari 60 dBA ketika ia beroperasi. Jika dibandingkan dengan 675LT Spider sebelumnya, sistem pada 765LT Spider ini adalah dua kali lebih senyap.

Mclaren 765LT Spider didedah – 765 unit bermula RM1.8 juta, 765 PS/800 Nm, 0-100 km/j 2.8 saat

Bumbung tersebut turut diberikan busa berketumpatan tinggi pada sebelah dalam. Tanpa pengedap tengah yang selalunya merentangi bumbung serta bersama busa istimewa yang diberikan, ini membolehkan penumpang dan pemandu menerima ruang kepala lebih luas, serta lebih senyap.

Menurut McLaren lagi, dengan bumbung lebih panjang juga membolehkan puncak tiang-A dibawa 80 mm lebih kehadapan bagi memberikan rasa ruang yang lebih baik, serta membolehkan pergerakan keluar dan masuk ke kabin lebih mudah dengan bukaan pintu lebih luas.

Bumbung model Spider ini juga memainkan peranan penting pada struktur keseluruhan kereta ini kerana ia menghasilkan kerangka gentian karbon penuh apabila ditutup.

Mclaren 765LT Spider didedah – 765 unit bermula RM1.8 juta, 765 PS/800 Nm, 0-100 km/j 2.8 saat

Dengan kejuruteraan monocoque gentian karbon MonoCage II-S, kereta ini tidak memerlukan sebarang pendakap tambahan bagi memastikan struktur badannya sama kuat dan keras seperti model coupe. Hasilnya, tambahan komponen untuk sistem bumbung boleh buka hanya menyebabkan model 765LT Spider hanya 49 kg lebih berat dari versi coupe, serta 80 kg lebih ringan berbanding 720S Spider.

Sekiranya pemandu mahu mendengar bunyi enjin V8 M840T 4.0 liter bersama dua pengecas turbo yang terletak di belakangnya dengan lebih jelas, tingkap belakang boleh diturunkan semata-mata untuk tujuan berkenaan. Enjin tersebut menghasilkan jumlah kuasa yang sama seperti 765LT coupe iaitu 765 PS (755 hp) pada takat 7,500 rpm dan tork maksima 800 Nm pada takat 5,500 rpm.

Kuasa hanya dihantar ke roda belakang menerusi transmisi Sequential Shift Gearbox (SSG) tujuh-kelajuan, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 330 km/j – juga sama seperti coupe walaupun badannya sedikit lebih berat.

Pakej lain yang dipadankan pada model Spider ini juga sama seperti coupe termasuk penyerap hentak adaptif, Proactive Chassis Control II (PCC II), tayar Pirelli P Zero Trofeo R, rim forged 20-inci, serta brek karbon seramik dengan angkup aluminium forged enam-omboh di hadapan dan empat omboh di belakang.

Badan gentian karbon versi Spider ini juga sama dengan coupe bersama kit aerodinamik terdiri dari splitter hadapan, skirt sisi dan juga spoiler belakang aktif. Komponen-komponen ringan lain seperti sistem ekzos titanium dengan empat tip dan bateri lithium-ion turut dibawa ke model bumbung boleh buka ini.

Juga sama seperti coupe, 765LT Spider ini adalah jentera pemanduan serius tanpa karpet, tanpa sistem pendingin hawa dan juga tanpa sistem audio bagi memastikan ia dihasilkan seringan yang boleh, namun pembeli masih boleh memadankan dua sistem berkenaan tanpa sebarang kos.

Kabin model ini turut diberikan dengan tempat duduk gentian karbon, roda stereng, papan pemuka dan panel pintu yang dibalut dengan Alcantara. Tiada poket pintu diberikan sebaliknya diganti dengan jaring untuk anda menyimpan barang, manakala banyak struktur utama lain dibina dengan gentian karbon termasuk terowong tengah.

McLaren turut menawarkan ciri opsyen yang boleh ditambah seperti Clubsport Pack untuk spesifikasi lebih fokus untuk litar, LT Black Pack untuk rupa lebih agresif, tempat duduk yang sama seperti McLaren Senna, pengangkat gandar hadapan, serta apa sahaja ubahsuai custom lain yang dijalankan oleh McLaren Special Operation yang membolehkan 765LT Spider anda berbeza dengan orang lain.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required