Porsche 911 GT2 RS Clubsport 25 – kereta lumba keluaran terhad 30 unit sahaja, RM2.6 juta, 691 hp

Porsche 911 GT2 RS Clubsport 25 – kereta lumba keluaran terhad 30 unit sahaja, RM2.6 juta, 691 hp

Ini adalah Porsche 911 GT2 RS Clubsport 25, iaitu kereta lumba keluaran terhad untuk jualan awam, yang dibuat bagi menyambut ulang tahun ke-25 Manthey Racing tahun ini. Hanya 30 unit akan dikeluarkan, dan ia dijual pada harga 525,000 euro (sekitar RM2.6 juta), dengan penghantaran dijangka bermula Januari 2022.

Manthey Racing ditubuhkan pada tahun 1996 dan merupakan antara rakan kongsi penting Porsche dalam dunia perlumbaan. Pada tahun 2013, Porsche telah bergabung dengan pasukan lumba ini dengan mendapatkan 51% pegangan kepentingan di dalamnya, dan baru-baru ini pula, mereka telah bersama mencatat rekod di litar Nurburgring.

Sama seperti 935 yang diperkenalkan pada tahun 2018, model baru ini juga menggunakan 911 GT2 RS generasi 991, versi Clubsport, yang cuma ada 200 unit sahaja. Spesifikasi teknikal utama tidak diubah, dan ia masih lagi menggunakan enjin enam silinder 3.8 liter twin turbo bersama transmisi PDK tujuh kelajuan klac berkembar, mampu menghasilkan 700 PS (691 hp) dan 750 Nm tork untuk dihantar ke roda belakang.

Kelengkapan lain yang sama seperti model keluaran terhad itu adalah termasuk suspensi lumba yang boleh dilaras, sistem pencatat data, Porsche Stability Management (PSM), bahagian dalam yang telah dipersiapkan untuk lumba, serta bahagian badan yang kebanyakannya menggunakan gentian karbon.

Porsche 911 GT2 RS Clubsport 25 – kereta lumba keluaran terhad 30 unit sahaja, RM2.6 juta, 691 hp

Model Clubsport 25 ini kemudiannya dipertingkat lagi dengan ciri seperti kereta lumba 911 GT3 R Manthey, termasuk radiator yang terletak di tengah dan mendapat angin daripada bukaan udara pada bampar yang direka semula. Tetapan ini bukan sahaja dapat memberikan lebih perlindungan apabila ada perlanggaran, tetapi juga memberikan aliran udara lebih baik untuk menjaga suhu enjin pada pelbagai kelajuan.

Melalui konsep ini juga, radiator dapat dialihkan daripada tempat asalnya, iaitu berhampiran lengkung tayar, dan ruang kosong yang terhasil dapat memberikan aliran udara kepada brek hadapan. Hasilnya, suhu brek menjadi lebih stabil pada tempoh yang lebih lama dan mempunyai bukaan untuk mengeluarkan udara panas.

Ciri lain yang menyerlah adalah seperti bahagian bawah badan yang ditutup sepenuhnya serta rekaan lubang atas bonet yang mengalirkan udara ke bumbung seterusnya sayap belakang, dan plet tepi baru. Salur udara NACA kecil berhampiran logo Porsche menyampaikan udara terus ke dalam kabin sementara lampu pula menggunakan unit khas untuk perlumbaan yang mempunyai empat jalur LED.

Penggunaan rim 18 inci dengan offset khas juga menjadikan jarak roda kereta ini lebih lebar berbanding 911 GT2 RS Clubsport biasa, dan ia dipasang dengan arch yang bersesuaian. CLubsport 25 juga mendapat sistem stereng kuasa elektrik dengan nisbah boleh ubah yang sama seperti 935.

Porsche 911 GT2 RS Clubsport 25 – kereta lumba keluaran terhad 30 unit sahaja, RM2.6 juta, 691 hp

Untuk grafik, kereta ini menggunakan kemasan hijau dan kuning, yang memberikan penghormatan kepada corak “Grello” yang digunakan pada kereta lumba 911 GT3 Manthey. Warna ini boleh dilihat pada beberapa bahagian, termasuk bukaan udara hadapan, rim, sirip tepi, fender, penyokong spoiler serta lencana model di belakang.

“Porsche Motorsport dan Manthey telah memenangi banyak perlumbaan dan kejuaraan sejak pasukan ditubuhkan 25 tahun lalu – sebagai contoh, tujuh kali dalam perlumbaan 24 jam di Nurburgring. Sejak tahun 2013, dua syarikat ini telah mewujudkan gabungan yang lebih rapat lagi. Melalui 911 GT2 RS Clubsport 25 keluaran terhad yang istimewa ini pula, kerjasama antara kami pergi ke satu tahap lebih tinggi lagi,” kata pengarah Porsche GT Racing Cars, Matthias Scholz.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required