Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition terjual pada harga RM857k dalam lelongan di UK!

Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition terjual pada harga RM857k dalam lelongan di UK!

Mei lalu, sebuah Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition terjual dalam lelongan dengan harga £100,100 (RM573k) – tidak hairanlah kerana unit tersebut adalah milik Mitsubishi UK yang disimpan dalam keadaan ‘muzium’, dijual kerana Mitsubishi terpaksa menutup perniagaan mereka di UK.

Namun hanya sekitar dua bulan selepas itu, sebuah lagi Lancer Evolution VI TME terjual dengan harga yang luar biasa di UK, iaitu £146,250, atau sekitar RM857k! Unit berkenaan telah dijual oleh Silverstone Auction dalam lelongan yang dibuat pada 1 Julai lalu.

Jadi apa istimewanya unit Evo VI TME ini sehingga ada yang sanggup membelinya dengan harga yang jauh lebih mahal berbanding unit sebelum ini? Menurut Silverstone Auction, unit yang dilelong ini adalah unit pertama dengan nombor siri #001 dari hanya 250 unit Evo VI TME yang dijual secara rasmi, serta salah satu unit dari hanya 50 unit yang hadir dengan warna Passion Red.

Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition terjual pada harga RM857k dalam lelongan di UK!

Menurut Mitsubishi, unit-unit yang hadir dalam warna Passion Red ini bukan sahaja menampilkan warna badan yang sama seperti kereta lumba sebenar Tommi Makinen dalam Kejuaraan Rali Dunia (WRC), malah setiap satunya hadir dengan ‘Special Colour Package’ (SCP) yang hanya diberikan kepada 212 unit Evo VI TME di kilang, iaitu pakej yang terdiri dari jalur badan Ralliart dan juga pembuka pintu berwarna hitam.

Oleh kerana ia adalah unit rasmi yang dibawa dari Jepun oleh Ralliart UK, unit ini menerima pelbagai sentuhan semula untuk disesuaikan di negara berkenaan antaranya meter kelajuan yang ditentu ukur semula, diberikan lapisan underseal pada bawah badan berwarna kelabu, bateri dan alternator untuk iklim sejuk, pengehad bahan api spesifikasi tanpa plumbum, buku servis dan manual khas untuk pasaran UK, serta plak nombor siri istimewa di mana unit ini diberikan nombor #001.

Unit ini juga hanya mencatatkan jarak perbatuan 11,000 batu (17,703 km) oleh dua pemilik sebelum ini, manakala semua ubahsuai kecil yang dibuat pada bahagian luaran dan enjin telah dikembalikan semula ke spesifikasi kilang kecuali sistem ekzos. Semua rekod servis untuk kereta ini juga lengkap diberikan kepada pemilik baru.

Mitsubishi Lancer Evolution VI TME diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1999, dihasilkan sempena kejayaan Tommi Makinen merangkul empat gelaran juara dunia untuk kategori pemandu dalam WRC bersama Lancer Evo. Ia menampilkan berberapa perincian unik berbanding Evo VI biasa antaranya rekaan bampar hadapan, rim Enkei WRC 17-inci, roda stereng Momo, tempat duduk Recaro yang disulam dengan nama Tommi Makinen dan pelbagai lagi.

Ia juga menerima banyak perubahan dari segi mekanikal antaranya suspensi yang ditala semula bagi memberikan respon yang lebih baik pada permukaan tar, stereng lebih cepat, sistem ekzos dan kotak komputer berbeza, pengecas turbo titanium untuk respon enjin lebih baik serta bahagian dalaman transfer case untuk sistem pacuan semua roda yang dipertingkat.

Atas kertas, enjin 4G63 2.0 liter empat silinder pada Evo VI TME berkenaan mampu untuk menjana 280 PS dan tork maksima 373 Nm. Digandingkan dengan hanya kotak gear enam-kelajuan manual serta sistem pacuan semua roda, jentera rali jalan raya ini mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 241 km/j.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required