Nissan Z 2023 – ketua jurutera sahkan ia masih guna asas dari Z34 370Z yang telah dirombak semula

Nissan Z 2023 – ketua jurutera sahkan ia masih guna asas dari Z34 370Z yang telah dirombak semula

Nissan Z 2023 telah pun didedahkan sepenuhnya minggu lalu dan ia nampaknya menerima respon yang cukup baik dari orang ramai. Model tersebut bukan sahaja dilihat begitu menarik kerana menampilkan rupa retro seakan model generasi pertama Datsun 240Z, malah turut dibekalkan dengan kuasa yang lebih besar dari model generasi sebelumnya, serta masih ditawarkan dengan kotak gear manual.

Namun tahukah anda Nissan Z 2023 ini sebenarnya bukan model yang 100% baru kerana ia masih menggunakan kerangka asas badan model 370Z Z34 generasi sebelumnya? Perkara ini disahkan sendiri oleh ketua jurutera untuk Nissan Z baharu ini iaitu Hiroshi Tamura dalam satu temuramah bersama Road&Track.

Platform untuk Z34 pula sebenarnya diasaskan dari platform Z33 350Z, iaitu platform “Front Midship” Nissan yang pertama kali digunakan pada Infiniti G35, muncul pada tahun 2001. Jadi secara asasnya, kerangka yang digunakan ini sudahpun berumur sekitar 20-tahun!

Nissan Z 2023 – ketua jurutera sahkan ia masih guna asas dari Z34 370Z yang telah dirombak semula

Nissan 370Z 50th Anniversary Edition

Menurut Tamura, Nissan Z 2023 ini masih menggunakan kerangka asas Z34 tetapi menerima kejuruteraan semula yang ekstensif bagi menghasilkan kerangka yang jauh lebih kuat. Sistem suspensi hadapan double wishbone juga masih digunakan, namun kali ini ia menampilkan geometri yang telah direka semula bersama sudut caster lebih besar.

Tetapi ia sudah tidak lagi menggunakan sistem stereng kuasa bantuan hidraulik, dan digantikan dengan sistem bantuan elektrik. Model dalam varian Performance pula turut diberikan rim aloi forged 19-inci buatan Rays Engineering dengan lebar 9.5J di hadapan, 10J di belakang bersama tayar Bridgestone S007 yang turut menyumbang kepada karekter pengendalian lebih baik.

Z generasi baharu ini menerima enjin yang sama seperti Infiniti Q50/Nissan Skyline V37 JDM iaitu enjin VR30DDTT 3.0 liter V6 dengan pengecas turbo berkembar, menghasilkan 400 hp dan tork maksima 475 Nm. Berbanding enjin VQ37VHR 3.7 liter V6 tanpa pengecas turbo pada Nissan 370Z Z34 sebelum ini, enjin pada Z 2023 tersebut menghasilkan kuasa 64 hp lebih besar dan tork 30% lebih kuat.

Ia didatangkan standard dengan kotak gear enam-kelajuan manual dan menampilkan opsyen transmisi sembilan-kelajuan automatik. Seperti enam generasi Z sebelum ini, kuasa dari enjin dialirkan sepenuhnya hanya ke roda belakang. Model Performance dengan kotak gear manual pula datang sekali dengan LSD jenis mekanikal pada gandar belakang, Launch Control, Downshift Rev Matching (heel and toe automatik) serta aci pacu dari kotak gear ke gandar belakang yang diperbuat dari komposit gentian karbon.

Tamura yang juga ketua program pembangunan untuk Nissan GT-R berkata, walaupun Nissan Z ini menghasilkan kuasa yang lebih besar, ia bukan dibina untuk disasarkan menjadi jentera paling laju di litar seperti GT-R. Sebaliknya ia adalah jentera yang disifatkan sebagai ‘teman menari’ untuk pemandu serta memberikan lebih banyak ‘interaksi’.

“Ia bukan berkenaan mengejar angka atau kuasa atau pecutan 0-60 bsj. Anda boleh pandunya ke litar, tetapi apa yang lebih penting ialah untuk berseronok dengan ‘berbual’ bersama kereta,” terang Tamura-san.

Tamura juga menegaskan bahawa adalah penting untuk memberikan kotak gear manual sebagai ciri standard pada Nissan Z ini kerana pelanggan benar-benar mahukannya. “Saya nak tengok pelanggan tersenyum. Ini sentiasa menjadi sasaran saya, jadi mengapa tidak kita pertahankan transmisi manual?” katanya lagi.

Walau bagaimanapun, fakta bahawa Nissan Z ini menggunakan kerangka lama bukanlah sesuatu yang tidak bagus. Kita lihat Toyota Supra sebagai contoh, model generasi A80 telahpun dihentikan sepenuhnya pada tahun 2002 selepas ia diperkenalkan pada tahun 1993. Jadi untuk menghasilkan model generasi baharu A90, Toyota sudah tidak ada asas yang sesuai, dan untuk bermula semula dari awal sudah tentu memerlukan dana R&D yang cukup besar.

Penyudahnya, GR Supra A90 terpaksa dihasilkan dengan asas yang sama dengan BMW Z4. Walaupun ia menepati ciri-ciri asas Supra iaitu enjin enam-silinder dengan dua pengecas turbo, Toyota tidak mempunyai kebebasan untuk menghasilkan sebuah model yang benar-benar mirip seperti model konsep Toyota FT-1. Malah sehingga kini, sindiran-sindiran seperti “BMW rebadge”, “Zupra” dan sebagainya masih belum dilupakan.

Berbanding Nissan Z generasi baharu ini, ia bukan sahaja dapat dihasilkan dengan kos yang lebih rendah (harga jualannya pun dijangka akan lebih rendah dari GR Supra), malah ia kekal dengan DNA Nissan sepenuhnya, dan yang paling penting masih lagi ada kotak gear manual dan juga tuil brek tangan untuk dibuat main. Apa lagi nak?


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required