Macam biasa, bab modifikasi, Thailand memang pantas betul buat kerja. Honda Civic generasi ke-11 ini telah terlebih dahulu mula dijual di Amerika Syarikat pada bulan Jun, namun belum tular lagi gambar unit yang sudah diubahsuai. Tetapi hanya selepas kira-kira tiga minggu dilancarkan di Thailand, nah, dah ada Civic 2022 yang sudah siap menerima sentuhan semula!

Civic yang anda lihat ini adalah hasil ubahsuai dari Kaeza Shop Thailand, dan set imej ini dipetik oleh Capsnap. Ia diasaskan dari varian paling sporty ditawarkan di Thailand iaitu Civic RS, jadi hanya sentuhan minimal diberikan bagi memberikan rupa yang jauh lebih garang dari imej ‘ayah-ayah’ pada Civic generasi terbaharu ini.

Jadi Kaeza Shop bermula dengan perkara asas yang biasanya dibuat terlebih dahulu oleh ‘mat-mat kereta’ di seluruh dunia iaitu dengan merendahkan badan kereta ini untuk lebih rapat dengan permukaan bumi. Untuk itu, set suspensi asal telah dibuka dan digantikan dengan penyerap hentak boleh laras Best*i bersama spring RSR Ti2000 yang dilaras agar satu jari pun tidak lepas untuk masuk ke ruang antara tayar dan fender.

Rim aloi 17-inci asal Civic RS juga sudah tidak lagi digunakan dan digantikan dengan rim aloi forged 18-inci dari Rays, bersama tayar Toyo Proxes R1R bersaiz 225/40ZR18. Juga boleh dilihat disebalik rim sebelah hadapan adalah cakera brek yang sudah ditukar kepada cakera yang ditebuk bersama angkup Brembo yang lebih besar.

Gril hadapan, spoiler belakang berwarna hitam dan juga bampar belakang dengan diffuser yang menempatkan ruang untuk dua corong ekzos pada Civic ini adalah ciri-ciri standard dari kilang untuk varian RS di Thailand. Walau bagaimanapun, Kaeza telah menukar sistem ekzos asal kepada sistem dari ProDrager yang menampilkan sepasang muffler yang kelihatan lebih agresif.

Ruang enjin Civic ini masih kelihatan standard, dan penambahan yang dapat dilihat hanyalah sebatang sturt bar. Di Thailand, Civic generasi baharu ini hanya ditawarkan dengan satu pilihan enjin iaitu 1.5 liter VTEC Turbo empat-silinder. Walaupun masih sama dengan generasi FC sebelumnya, enjin berkenaan sebenarnya sudah ditala bagi mendapatkan 178 PS tork maksima 240 Nm, atau 5 PS dan 20 Nm lebih berkuasa dari model sebelum ini.

Dalam kabin dapat dilihat tempat duduk hadapan telah ditukar dengan sepasang tempat duduk bucket Recaro ASM SR-7. Lain-lain perincian nampaknya masih lagi standard dan tidak disentuh, termasuk plastik pembalut pada pelindung cahaya yang masih belum dibuka.

Pada awal pengenalan Civic ini, ramai yang mengatakan bahawa ia tidak cukup sporty kerana kelihatan lebih minimalis dan tidak lagi hadir dengan imej robot Gundam seperti pada Civic FC. Tapi lepas lihat unit yang telah diusik oleh Kaeza Shop ini bagaimana pula pandangan anda?