Selain dari mengumumkan bahawa semua perniagaannya di seluruh negara kini sudah beroperasi semula, Honda Malaysia (HMSB) mengumumkan bahawa mereka juga sudah merancang untuk melancarkan model-model baharu sebelum berakhirnya tahun ini, sebagai langkah untuk merancakkan semula prestasi jualan bagi tempoh empat bulan terakhir 2021.
“Dalam perancangan kami untuk mendapatkan semula momentum dan menetapkan satu tanda aras baharu dalam pasaran, Honda Malaysia telah membariskan model-model baharu yang menampilkan Teknologi Termaju Generasi Seterusnya Honda yang akan dilancarkan dalam berberapa bulan akan datang,” kata pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia, Madoka Chujo.
“Pelancaran-pelancaran ini akan memberikan rakyat Malaysia lebih banyak pilihan model baharu ketika tempoh pengecualian cukai jualan yang sedang berlangsung, di mana ia telah dilanjutkan sehingga 31 Disember,” tambahnya lagi.
Walau bagaimanapun, Chujo tidak memberikan sebarang petunjuk lebih jelas berkenaan model mana yang akan dilancarkan pada waktu terdekat berkenaan. Buat masa sekarang, ada dua model yang telah dilancarkan di berberapa negara jiran tetapi belum tiba di Malaysia iaitu Honda City Hatchback dan juga Honda Civic generasi ke-11.
Bagi Honda City Hatchback, ia sudahpun dilancarkan di Thailand pada November 2020 dan juga di Indonesia pada Mac lalu. Dalam kedua-dua pasaran berkenaan, City Hatchback masih mengekalkan muka dan juga unit rangkaian kuasa yang sama seperti versi sedan City generasi kelima, serta menggantikan terus tempat Honda Jazz yang kini tidak lagi dijual.
Manakala untuk Civic pula, selepas ia didedahkan pertama kali pada peringkat global April lalu, model berkenaan kemudiannya dilancarkan di Thailand pada 6 Ogos, diikuti dengan pasaran Singapura seminggu selepas itu. Kita mungkin dapat melihat kelibat model generasi ke-11 tersebut pada tahun ini juga selepas presiden dan COO HMSB, Sarly Adle Sarkum memberikan petunjuk dalam satu wawancara majalah pada April lalu.
Untuk Civic, kami menjangkan bahawa ia bakal diprebiu dahulu oleh Honda Malaysia tahun ini, manakala pelancarannya mungkin akan dibuat pada tahun hadapan. Ada kemungkinan besar Honda City Hatchback bakal dilancarkan terlebih dahulu kerana kembar sedannya sudahpun berada dalam bilik pameran selepas dilancarkan Oktober tahun lalu, dan Honda Jazz generasi sedia ada memang sudah sampai masa untuk digantikan.
Walau apa pun, Honda Malaysia boleh saja membuat apa-apa kejutan yang tidak disangka. Anda pula bagaimana? Rasa-rasa model apa yang akan dilancarkan tahun ini? Atau anda sendiri ada model Honda baharu yang diharapkan sampai ke pasaran tempatan dalam masa terdekat?
GALERI: Honda City Hatchback 2021 pasaran Thailand
GALERI: Honda City Hatchback Kaeza Shop, Thailand
GALERI: Honda Civic Generasi ke-11 pasaran Thailand
GALERI: Honda Civic Generasi ke-11 Kaeza Shop, Thailand
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.
honda civic ada akan datang