Mitsubishi akan guna platform Nissan untuk semua model yang dibangunkan bagi pasaran Jepun

Mitsubishi akan guna platform Nissan untuk semua model yang dibangunkan bagi pasaran Jepun

Nampaknya selepas ini tiada lagi model-model yang “betul-betul Mitsubishi” dibangunkan di Jepun untuk pasaran negara berkenaan – menurut laporan Nikkei Asia, jenama tiga berlian berkenaan merancang untuk menghentikan semua pembangunan platform untuk pasaran negara asalnya itu, dan model-model baharunya selepas ini akan diasaskan dari platform yang dibangunkan oleh Nissan.

Mitsubishi kini telah menjadi sebahagian dari Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi selepas sebahagian besar kepentingan dalam jenama tersebut diambil alih oleh Nissan pada tahun 2016.

Laporan Nikkei berkenaan menyebut bahawa empat dari lapan platform sedia ada dari Mitsubishi akan digugurkan menjelang tahun 2026 kelak. Empat platform yang tinggal nanti adalah terdiri dari dua platform yang dibangunkan sendiri di pasaran paling pentingnya iaitu Asia Tenggara, dan juga dua lagi platform yang akan disadur dari Nissan.

Mitsubishi akan guna platform Nissan untuk semua model yang dibangunkan bagi pasaran Jepun

Laporan tersebut juga turut menyebut bahawa Mitsubishi merupakan jenama pertama di Jepun yang menghentikan sepenuhnya pembangunan platform bagi digunakan pada kereta penumpang pasaran domestik. Selepas 2026, Mitsubishi hanya menghasilkan rekaan luaran dan dalaman serta unit rangkaian kuasa bagi model-model pasaran Jepun.

Sejak 2019, Mitsubishi dan Nissan telah berkongsi 40% platform mereka, dan selepas ini kerjasama antara kedua-dua jenama tersebut dijangka akan lebih rapat. Antara produk Mitsubishi yang telah direalisasikan dalam kerjasama ini adalah SUV Outlander 2022, yang diasaskan dari platform Nissan X-Trail generasi baharu, serta turut berkongsi enjin yang sama.

Buat masa sekarang, dua model yang dibangunkan sendiri oleh Mitsubishi di Asia Tenggara adalah MPV Xpander dan juga trak pikap Mitsubishi Triton. Pada Mac lalu, Mitsubishi turut mengumumkan akan menghasilkan dua model rebadge yang diasaskan dari model Renault yang akan dijual di pasaran Eropah.

Mitsubishi akan guna platform Nissan untuk semua model yang dibangunkan bagi pasaran Jepun

Mitsubishi Airtrek EV 2022 pasaran China

Julai lalu, Mitsubishi telah mendedahkan SUV Airtrek generasi baharu yang dijana elektrik sepenuhnya, khas untuk pasaran China. Model berkenaan sebenarnya adalah model rebadge dari SUV EV buatan China, GAC Aion V, dihasilkan oleh GAC Mitsubishi Motors (GMMC), iaitu syarikat kerjasama antara Mitsubishi dan Guangzhou Automobile Group (GAC).

Mitsubishi Motors telah mengalami kerugian dalam dua tahun fiskal kebelakangan ini, dan terpaksa menghentikan model-model yang tidak mendatangkan keuntungan terdiri dari kesemua model-model sedannya pada 2016 termasuk Lancer, serta SUV Pajero pada Julai lalu.

Jenama tersebut kini mempunyai dana R&D berjumlah 99 bilion yen untuk tahun fiskal berakhir Mac 2022, atau 30% kurang dari tahun fiskal 2019. Bajet untuk dana berkenaan dijangka akan kekal sekitat 100 bilion yen, lapor Nikkei lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required