Tesla Model S — review jangka panjang selepas tiga tahun; pengalaman penggunaan EV di Malaysia

Tesla Model S — review jangka panjang selepas tiga tahun; pengalaman penggunaan EV di Malaysia

Kenderaan elektrik adalah masa depan. Di Malaysia juga, makin banyak model diperkenalkan. Nissan, Renault, BMW, MINI dan Porsche misalnya ada penawaran EV di sini, dan bakal diikuti nanti oleh Mercedes-Benz, Hyundai dan Volvo. Ada juga pengimport persendirian yang menawarkan Tesla dan Polestar.

Ramai yang ingin tahu tentang EV, tentang pengalaman pemilikannya dari segenap sudut. Jarang pertanyaan seperti ini diajukan untuk sebuah kereta dengan enjin pembakaran dalam, melainkan itu memang kereta yang benar-benar istimewa. Tak lupa, ramai juga yang bertanya tentang prasarana pengecas untuk EV.

Kali ini kami ingin beri perhatian kepada pengalaman sebenar sebagai pengguna EV selama tiga tahun, seperti yang dilalui oleh bos Driven, Harvinder Singh. Harapannya, banyak persoalan yang akan terjawab dengan cara ini.

Antara awal tahun 2017 dan 2019, kami antara yang terawal di Malaysia yang mempunyai sebuah Tesla Model S 90D tahun 2016. Ia digunakan secara harian, diguna bergilir antara Harve dan Paul Tan. Kereta dalam warna Obsidian Black ini adalah dari program pajakan oleh GreenTech Malaysia yang dilancarkan pada 2016. Ia 90D dengan bateri 90 kWh dan dua motor, satu pada setiap gandarnya.

Tesla Model S — review jangka panjang selepas tiga tahun; pengalaman penggunaan EV di Malaysia

Ketika itu, “D” dalam namanya merujuk kepada varian dwi-motor AWD, sementara “P” di depannya pula merujuk kepada prestasi lebih tinggi. Model 90D yang kami gunakan adalah versi paling tinggi bukan-P ketika itu. Kini Tesla menggunakan skim nama yang lebih ringkas — Standard Range, Long Range dan Performance.

Motornya menampilkan teknologi jenis induction, berbeza dariada jenis permanent-magnet synchronous yang digunakan pada Porsche Taycan dan Tesla yang lebih baru seperti Model 3 dan varian Plaid untuk Model S kini.

Dua motor ini menyediakan pacuan semua roda, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat, dengan laju maksimum 250 km/j. Output kuasa pula ialah 423 PS dan 660 Nm tork. Ia mempunyai pek bateri 400-volt dan pengecasan semula menggunakan pengecas Type 2 dengan 11 kW AC memerlukan sembilan jam untuk penuh.

Type 2 ialah soket yang digunakan secara meluas di Eropah dan Asia. Model S boleh juga dicas menggunakan pengecas isi rumah 2.4 kW, tetapi ini memerlukan 24 jam. Tesla ini boleh juga menggunakan pengecas DC 120 kW, memberikan 360 km jarak dari masa cas 42 minit.

Tesla Model S — review jangka panjang selepas tiga tahun; pengalaman penggunaan EV di Malaysia

Spesifikasi lain termasuk 450 km jarak, rim 19-inci, suspensi udara dan ciri keselamatan legkap seperti AEB, bantuan titik buta, kawalan kestabilan, penapis udara HEPA dan banyak lagi. Model S kami turut dilengkapi ciri Autopilot; ini akan dijelaskan kemudian.

Ia juga memiliki ciri larasan suspensi berdasarkan GPS, yang bermaksud jika anda menetapkan lokasi di mana anda ingin kereta ini lebih tinggi, misalnya di laluan berbonggol, kereta ini akan dinaikkan suspensinya secara automatik di lokasi sama, dilain waktu nanti. Ini menarik, kerana kereta ini kedudukannya agak rendah berbanding kereta saiz sama — hanya pada tahun 2021 Taycan turut memerima ciri ini.

Dari segi rupa, kami merasakan Model S ini antara sedan yang paling cantik rekaannya — nampak kemas dengan siluet aerodinamik. Bahagian depannya dengan “gril” minimalis dan lampu menawan. Bagaimanapun, ini hanya untuk versi facelift. Pemegang pintu yang tersorok juga menjadi daya penarik. Kalau ada pun rungutan, itu berkaitan jarak regang pada pintu dan but belakang, yang boleh menyakitkan mata mereka yang sensitif.

Di dalam, rekaan nampak minimalis, dengan paparan konsol tengah sebenar 17-inci menanti pemandu. Unit kami ini mengenakan kemasan warna hitam dengan pelapik bumbung dari material Alcantara serta kemasan kayu Dark Ash. Suasananya nyaman dan cantik dipandang. Skrin di tengah itu pula adalah “pintu” utama untuk sistem pada Model S ini — semuanya dikawal dari sana.

Tesla Model S — review jangka panjang selepas tiga tahun; pengalaman penggunaan EV di Malaysia

Prestasi skrin sentuhnya juga baik, rasa seperti iPad biasa. Ia tepat dan pantas, tanpa masalah lengahan. Butang digital juga dalam saiz yang betul, dan aturan skrin juga boleh dilaras mengikut selera. Melalui sistem ini jugalah kemaskini perisian dilakukan, sama macam anda mengemaskini telefon. Kereta akan menerima makluman melalui sambungan Internet (disediakan oleh kad SIM atau WiFi) dan kami biasanya jadualkan kemaskininya satu malam.

Keesokan paginya, ciri baru yang lebih baik dan terkini sedia untuk anda gunakan. Kemaskini yang diberikan Tesla adalah lebih komprehensif berbanding kemaskini untuk kereta biasa. Selalunya ia akan rasa seperti pengalaman dengan kereta baru berbanding sebelumnya.

Sistem ini bagaimanapun tidak mempunyai Apple CarPlay atau Android Auto, tetapi ada Spotify tersedia. Tunjuk arah menggunakan Google Maps. Turut ada ialah aplikasi mudah alih Tesla yang membolehkan kawalan jarak jauh bagi ciri asas seperti tetapan pendingin hawa dan paparan lokasi GPS masa nyata.

Ia sama seperti aplikasi BMW, tetapi dengan dua perbezaan utama. Pertama, ketika anda menghantarkan arahan dengan aplikasi tersebut, kereta menerimanya dalam masa tiga saat (untuk BMW/MINI, 20 saat). Kedua, pendingin hawanya memang berfungsi bila diaktifkan dari jauh, bukan sekadar blower sahaja. Kluster instrumen bertindak sebagai lanjutan paparan bagi skrin tengah. Selain daripada semua maklumat pemanduan, ia juga memaparkan versi digital kereta dan persekitaran trafiknya.

Ruang barangan ada banyak, termasuk dua pemegang cawan dan satu yang lebih kecil di konsol tengah, diikuti dengan kompartmen yang cukup besar untuk menempatkan beg tangan mini. Glove box juga ada, tetapi tiada ruang tambahan pada pintu. Penumpang belakang ada dua pemegang cawan yang terletak di perehat tangan tengah.

Aspek ergonomiknya agak baik, menepati standard Mercedes-Benz E-Class atau BMW 5-Series. Tiada terowong pada lantainya menjadi satu kelebihan tersendiri. Di ruang belakang, keselesaannya tidak mengecewakan, walaupun individu yang tinggi mungkin akan sedikit terganggu dengan garis bumbung rendahnya. Ruang barangan di belakang agak luas, dengan kapasiti menjadi 1,795 liter dengan kerusi belakang direbah. Dan jangan lupa ada tambahan ruang 150 liter di dalam ruang bonet depannya.

Keseluruhannya, ruang dalaman memiliki imej futuristik dan dalam masa sama, praktikal. Keselesaan juga tidak mengecawakan. Cuma aspek penyudah kemasan sahaja yang mungkin perlu diperbaiki. Sebagai contoh, pemegang pintu di dalam rasanya agak longgar.

Tentang pemanduan, satu cas penuh akan memberikan anda 450 km jarak perjalanan; kami dapat menggunakan kereta ini dalam empat hari tanpa perlu mengecasnya. Rutin harian termasuklah 30 km jarak ke pejabat. Di antaranya pula hanyalah berkungjung ke tempat makan, serta beberapa temujanji mesyuarat di sekitar Lembah Klang, ada juga ke Sepang.

Antara perubahan tabiat yang dapat diperhatikan ketika memandu Tesla ini adalah kami jadi lebih prihatin dengan perancangan perjalanan. Dengan jarak yang masih berbaki misalnya, kami lebih peka terhadap perjalanan yang bakal dilakukan; jika di Lembah Klang, ia tidak pernah merisaukan. Hanya perlu tahun baki jarak dan destinasi sahaja.

Bagaimana dengan “jarak sebenar”? Jawapannya, percaya kepada angka yang terpampang di skrin, kerana ia biasanya sangat dekat dengan jarak sebenar. Jika sistem memaparkan 100 km, jarak sebenar juga tidak lari jauh. Sudah tentu, semua ini juga bergantung dengan cara pemanduan dan keadaan trafik. Jika memandu dengan santai dan hemah pada pendikit, maka jaraknya mungkin tidak lari jauh, tetapi jika kuat menekan pendikit, maka jarak akan susut lebih cepat.

Pernah juga dicuba perjalanan ke Melaka untuk melihat prestasi jarak Tesla ini. Dari Shah Alam, jarak 441 km tertera dan tiba di Melaka dengan baki jarak 300 km di skrin. Jarak yang digunakan agak sama dengan jarak sebenar, dengan kelajuan purata sekitar 100 km/j dan berhemat menekan pendikit, tentunya. Dalam tempoh tiga hari, kami gunakan 90 km jarak di Melaka, dan kereta tidak dicas langsung dalam tempoh itu. Ketika tiba semula di rumah, jarak masih berbaki 65 km.

Bagi pengecasan, kami menggunakan pengecas rumah yang datang sekali dengannya, dan mengecas kereta satu malam bagi tempoh setiap tiga atau empat hari sekali. Untuk rutin kami, langsung tidak diperlukan pengecas awam. Namun, bagi Paul yang tidak mempunyai pengecas di rumah, dia perlu bergantung kepada pengecas awam dan soket rumah biasa yang hanya boleh menyediakan maksimum 2.4 kW.

Bagaimanapun, untuk menggunakan pengecas awam ada cabarannya tersendiri. Pertama, kita ada pemandu bukan-EV yang menggunakan ruang itu untuk parkir kereta mereka, dan ada juga pemandu plug-in hybrid yang membiarkan kereta mereka di situ walaupun lama selepas bateri penuh. Situasi seperti ini harapnya akan segera berubah. Selain itu, kami juga pernah menggunakan pengecas DC 50 kW oleh ABB di Sunway; pengecas pantas itu memberikan kami jarak 240 km dalam masa satu jam.

Jadi, berdasarkan jarak yang ditawarkan oleh EV hari ini (selain MINI Electric, hampir semua memberikan 250 km), serta pembeli diberikan pengecas rumah, serta rangakian pengecas di Malaysia yang kian berkembang (lebih 300 ketika ini), adalah sangat sesuai untuk memiliki EV.

Bagi pengalaman pemanduannya, Model S sebuah kereta yang pantas. 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat jarang ditemukan pada kenderaan yang besar. Namun, disebabkan teknologi ketika itu (motor induction), Model S ini akan “semput” jika anda melakukan ujian pecutan berterusan — sitausi ini sudah di atasi hari ini. Tetapi, siapa yang perlu memecut berulang kali seperti itu dalam keadaan sebenar?

Model S sangat selesa. Dalam bandar, ia mampu menggalas tanggungjawab itu dengan baik, terutama pada permukaan jalan yang tak menentu. Tetapi, bila dipandu lebih laju terutamanya di selekoh, anda akan sedar yang ia bukanlah kereta untuk tujuan memberi kepuasan memandu seperti itu. Ia agak melambung rasanya dalam kelajuan tinggi, dan maklum balas stereng tidak begitu tepat. Ini mungkin berbeza dengan Model S Plaid terkini, yang diuji pengendaliannya di Nurburgring dan Laguna Seca.

Tentang ciri Autopilot pada Model S ini, ia masih dalam mod beta. Ia sepatutnya boleh memandu sendiri dari lokasi A ke B, dengan bantuan sensor keliling kereta. Bagaimanapun unit kami ini — unit rasmi dari Hong Kong yang dibawa masuk oleh Greentech — Autopilot telah dinyah-aktif dan kami tidak dapat mencubanya.

Satu kali, kami dapat mengaktifkan fungsi stereng automatik ketika melakukan talaan semula selamat ketika memandu (kereta ini masih memandu secara normal) dan ia berkesan seperti yang didakwa. Walaupun penjenamaan Autopilot ini kedengaran maju, Tesla sebenarnya masih menggunakan sistem autonomous Tahap 2, sama seperti pengeluar utama yang lain.

Selepas tiga tahun, Model S kami mencatatkan penggunaan 54,120 km. Ini menarik, kerana ia sekali pun tidak perlu diservis, bahkan tidak untuk pad brek baru dan suspensi. Tanpa banyak peralatan bergerak, ia menjadi satu pengalaman penjagaan sifar yang di luar jangkaan. Bagi pelapik brek, sistem janaan semula tenaganya membantu mengurangkan kehausan.

Keseluruhannya, kami hanya ada dua masalah dengan kereta ini. DRL LED-nya perlu diganti, dan pemegang pintu bahagian luar sebelah pemandu gagal untuk keluar, yang menyebabkan kami perlu masuk dari sebelah penumpang untuk tempoh seminggu sementara menunggu alat gantinya.

Tesla Model S — review jangka panjang selepas tiga tahun; pengalaman penggunaan EV di Malaysia

Tentang hayat bateri. Sama seperti telefon, hayat bateri akan menyusut selari peredaran masa. Ketika awal menggunakan kereta ini, satu cas penuh akan memberikan 450 km jarak (seperti dipaparkan pada skrin). Di hujung tempoh tiga tahun ini pula, sistem hanya menunjukkan 420 km jarak untuk satu cas penuh. Pengurangan 30 km dalam tempoh tiga tahun, purata 2.5% setahun. Agak boleh diterima.

Kesimpulannya, memandu EV adalah pengalaman serba baru dengan banyak perkara positif. Jika anda bekerja dan tinggal di Lembah Klang dan ada pengecas di rumah, ini memang menyenangkan. Ya, memandu dari Johor ke Perlis mungkin tidaklah semudah kereta biasa, tetapi masih boleh dilakukan jika anda tukar pendekatan.

Anda boleh menggunakan aplikasi seperti Plug Share untuk mengetahui lokasi pengecas. Jika mengambil kira usaha kerajaan dan swasta seperti program Porsche Asia Pacific-Shell, yang akan menambah 12 lagi pengecas di sepanjang Lebuhraya PLUS, menggunakan EV akan jadi lebih mudah.

Akhir sekali, adakah Tesla Model S sebuah EV yang baik? Ya. Kenderaan Tesla seperti Model S, Model 3 dan Model X kini boleh diperoleh daripada pengimport persendirian, dan anda boleh memilii Model 3 SR pada harga serendah RM390k.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required