Seminggu dua kebelakangan ni banyak kita dengar pasal Perodua Myvi facelift kan? Ada spyshot, tak kurang juga banyak teaser rasmi dari Perodua sendiri. Nah, ini dia berita terbaru – Perodua sudah mengesahkan bahawa Myvi facelift 2022 bakal dilancarkan secara rasmi 18 November ini!
Bagi mereka yang mahu menonton pelancaran tersebut, ia bakal disiarkan secara langsung menerusi media sosial rasmi Perodua termasuk Facebook dan Youtube, dan ia akan bermula pada pukul 9 malam Khamis nanti.
Model kemaskini ini telah pun dibuka tempahannya bermula minggu lalu. Menerusi pengumuman rasmi, versi tingkat taraf ini akan dijual pada harga bermula dari RM45,700 hingga RM58,800. Angka-angka yang disebut berkenaan adalah harga atas jalan tanpa insuran, termasuk pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2022.
Kali ini sistem bantuan keselamatan pemanduan Advance Safety Assist sekali lagi diberikan peningkatan berbanding kemaskini pada tahun 2020 – ia kini menerima sistem penuh Perodua Smart Drive Assist (PSDA) sama seperti Perodua Ativa. Menurut Perodua, sistem PSDA berkenaan menawarkan “keselamatan pintar” memebolehkan pemandu “sentiasa peka dengan bantuan pemanduan sekeliling yang mengesan halangan”.
Perodua menyatakan bahawa sistem PSDA akan diberikan kepada semua varian dengan enjin 1.5L, serta salah satu varian 1.3 G. Belum dinyatakan sistem-sistem yang bakal dihimpunkan pada pakej PSDA Myvi berkenaan, namun pada Ativa ia terdiri dari sistem Amaran Keluar Lorong, Pengelak Keluar Lorong, Adaptive Cruise Control, Kawalan Kekal Lorong dan Pemantau Titik Buta.
Ativa juga menerima sistem lain seperti Bantuan Parkir (penderia hadapan/belakang, kamera undur, amaran lintasan trafik belakang) dan juga Bantuan Lampu Hadapan (lampu tinggi automatik atau adaptif, bergantung pada varian. Adakah Myvi juga akan menerima kesemua perincian dari Ativa ini? Sama-sama kita tunggu.
Manakala perincian-perician lain telah pun didedahkan sedikit demi sedikit menerusi pelbagai teaser yang disiarkan. Dalam set teaser minggu lalu, Myvi facelift ini dilihat menerima papan meter baharu dengan skrin MID berwarna di tengah, roda stereng sama dengan Ativa bersama butang PWR, cruise control adaptif.
Gambar teaser bahagian dalaman Myvi facelift ini dilihat masih menggunakan papan pemuka yang sama tetapi diberikan pelbagai perincian yang tidak ada pada model sebelumnya. Antaranya adalah kemasan merah di sekeliling liang pendingin hawa, serta perumah besar untuk kamera stereo pada bahagian atas cermin hadapan bersama kamera perakam digital di sebelahnya.
Manakala dua lagi teaser yang disiarkan hari ini menunjukkan bahawa Myvi facelift turut menerima sistem lampu tinggi automatik, serlahan-serlahan merah pada bahagian kabin termasuk pada tempat duduk dan juga rekaan baharu pada bampar hadapan dan belakang.
Perodua masih belum mengesahkan sama ada benar atau tidak Myvi akan beralih menggunakan kotak gear CVT berbanding transmisi 4AT pada versi asal. Walau bagaimanapun dalam pengumuman sebelum ini, Perodua memberikan petunjuk bahawa transmisi tersebut telah ditukar dengan mendakwa bahawa Myvi facelift menampilkan penggunaan bahan api lebih baik, di mana ia kini mampu mencapai sehingga 22.2 km/l (diuji pada varian 1.3L) dari 21.1 km setiap liter sebelum ini.
Myvi facelift 2022 ini juga turut akan diperkenalkan dalam warna baharu iaitu Cranberry Red khas untuk varian AV, bersama warna lain termasuk Ivory White, Glittering Silver, Lava Red (tidak ditawarkan untuk AV), Granite Grey dan Electric Blue.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.