Toyota GR86 hanya akan dijual 2 tahun di Eropah, sebelum ‘dibunuh’ oleh undang-undang keselamatan

Toyota GR86 hanya akan dijual 2 tahun di Eropah, sebelum ‘dibunuh’ oleh undang-undang keselamatan

Model generasi baharu Toyota GR86 (model generasi sebelum ini dikenali sebagai GT86 di Eropah), sudahpun dilancarkan di Amerika Syarikat dan juga di Jepun. Dan baru-baru ini, kereta sport coupe dua pintu pacuan belakang berkenaan telahpun diperkenalkan pula pada pasaran Eropah.

Walau bagaimanapun, hayat GR86 ini dalam pasaran Eropah kelak tidak akan lama kerana ia bakal tidak relevan lagi dengan undang-undang keselamatan di benua berkenaan pada masa terdekat, lapor Autocar.

Portal berkenaan memetik ucapan CEO Toyota Eropah, Matt Harrison di forum tahunan Kenshiki Toyota bahawa pelanggan yang berminat untuk memiliki GR86 perlu segera menempahnya, kerana model berkenaan tidak lagi akan mematuhi undang-undang keselamatan Eropah dalam masa dua tahun lagi jika tidak dilakukan kejuruteraan semula yang besar.

Toyota GR86 hanya akan dijual 2 tahun di Eropah, sebelum ‘dibunuh’ oleh undang-undang keselamatan

“Kami telahpun menerima angkan permintaan yang semakin meningkat dari pelanggan yang berpotensi – termasuk masuk mereka yang percaya GR86 mungkin yang terakhir seumpamanya. Dan sekurang-kurangnya untuk Eropah, ia mungkin benar,” kata Harrison.

Walaupun ia adalah model generasi baharu, Toyota GR86 ini sebenarnya diasaskan dari platform sama dari GT86/Subaru BRZ generasi sebelum ini tetapi diolah dengan elemen dari Subaru Global Platform yang baharu. Ini membolehkan ia mencapai ketegaran torsi 50% lebih kuat dari sebelum ini hasil dari sistem cagak casis yang telah diperkuatkan.

Manakala kerangka asal GT86/BRZ yang didedahkan pada tahun 2012 tersebut pula sebenarnya dihasilkan dari kerangka Subaru Impreza yang diubahsuai. Jadi tidak hairanlah mengapa ia bakal ‘dibunuh’ oleh undang-undang keselamatan Eropah yang diketahui sangat ketat dari tahun ke tahun.

Toyota GR86 hanya akan dijual 2 tahun di Eropah, sebelum ‘dibunuh’ oleh undang-undang keselamatan

“Kami rasakan bahawa kereta ini adalah sangat baik dan jadi ia diperlukan untuk imej Toyota di Eropah, dan kami mempunyai satu kumpulan pelanggan yang kecil tetapi sangat ghairah diluar sana yang mencari kereta seperti GR86,” kata naib presiden senior Toyota Eropah, Tom Faux kepada Autocar.

“Akhirnya, kami ambil keputusan bahawa adalah mustahak untuk menawarkan kereta ini, dan kemudian kami perlu hentikan [jualan] kereta ini, kerana ia tidak akan menepati undang-undang baharu pada masa akan datang. Tetapi untuk dua tahun ini kami masih memberikan peluang untuk pelanggan-pelanggan yang penuh semangat bagi mendapatkannya,” tambahnya lagi.

GR86 yang disifatkan akan menjadi “yang terakhir seumpanya” memberikan petunjuk bahawa Toyota tidak akan membangunkan model sports baharu pacuan belakang lain yang mampu milik serta dijana tanpa sebarang bentuk teknologi elekrifikasi selepas ini, tulis portal berkenaan dalam laporan tersebut.

Model generasi baharu Toyota GR86 ini masih tidak diberikan pengecas turbo, sebaliknya dibekalkan enjin Boxer empat silinder NA yang lebih besar. Toyota GR 86 dan Subaru BRZ kedua-duanya dijana oleh enjin petrol 2.4 liter (berbanding hanya 2.0L pada generasi sebelum) dengan model pasaran Eropah ini menghasilkan kuasa 234 hp pada takat 7,000 rpm dan juga tork maksima 250 Nm seawal 3,700 rpm.

Enjin dengan kod FA24D berkenaan masih dibekalkan dengan sistem suntikan bahan api D-4S Toyota, yang menampilkan sistem suntikan terus ke dalam kebuk pembakaran dan juga suntikan port. Ia juga dibekalkan dengan sistem injap bervariasi dual Active Valve Control System (DAVCS), dengan empat aci sesondol (dua setiap kepala) yang digerakkan oleh timing chain.

Kuasa dari enjin masih hanya disalurkan hanya ke roda belakang menerusi kotak gear enam-kelajuan dalam pilihan manual atau automatik. Ini membolehkan GR 86 dalam versi manual mampu untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.3 saat, atau 1.1 saat lebih pantas dari Toyota GT86 generasi sebelum ini dan mencapai kelajuan maksima 226 km/j. Model automatik pula melakukan pecutan yang sama dalam masa 6.9 saat dan mencatatkan kelajuan maksima 216 km/j.

GALERI: Toyota GR86 pasaran Eropah

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required