Harga Nissan Leaf seluruh dunia dibandingkan – Singapura paling mahal RM589k; M’sia tempat ke-11

Harga Nissan Leaf seluruh dunia dibandingkan – Singapura paling mahal RM589k; M’sia tempat ke-11

Bila bercakap hal harga kereta, umum mengetahui kos pemilikan untuk mobiliti ini bukanlah murah di Malaysia. Nak beli Honda City di Malaysia ini pun harganya dah sama macam Volkswagen Golf di Australia, apatah lagi harga kereta elektrik penuh (EV) kan?

Tapi betul ke harga kereta di Malaysia adalah yang paling mahal dalam dunia? Baru-baru ini, laman perbandingan insuran dari Britain iaitu Compare The Market telah menghimpunkan Indeks Global EV untuk harga, menggunakan Nissan Leaf sebagai tanda aras. Jadi kalau ada yang nak komplen pasal jangan banding ikut matawang, kena ambil kira gaji dan sebagainya, boleh ajukan ke laman British tersebut kerana kami hanya mengupas dapatan yang mereka kumpulkan.

Indeks tersebut membandingkan harga Nissan Leaf generasi kedua ini di 53 pasaran berbeza termasuk di Asia, Oceania, Eropah, serta Amerika Utara dan Selatan. Boleh dilihat pada carta yang ditunjukkan, Nissan Leaf paling mahal di dunia dijual di negara jiran kita iaitu Singapura.

Harga Nissan Leaf seluruh dunia dibandingkan – Singapura paling mahal RM589k; M’sia tempat ke-11

Di seberang tambak, Leaf dijual pada harga S$190,800 (RM588,600 atau £104,530) kerana duti eksais dan juga sijil pemilikan kenderaan (CoE) yang mahal. Argentina di tempat kedua, dan tangga ketiga pula milik satu lagi negara jiran kita iaitu Thailand – EV Nissan berkenaan dijual pada harga 1,990,000 baht (RM249,000 atau £43,682).

Tempat keempat pula adalah Filipina dengan harga 2,798,000 pesos (RM236,100 atau £40,133). Satu lagi negara ASEAN yang tersenarai dalam carta 10-teratas ini adalah Indonesia di mana Nissan Leaf dijual pada harga 679 juta rupiah (RM199,400 atau £33,271).

Manakala negara yang paling murah untuk memiliki Nissan Leaf adalah di Sepanyol, di mana ia dijual pada harga €21,000 (RM99,800 atau £17,733). Ini kerana kerajaan Sepanyol ini sedang memberikan rebat kereta elektrik sebanyak €7,000 (RM33,300), namun untuk mendapatkan rebat tersebut ia mesti ditukar beli dengan kereta yang berusia lebih tujuh tahun untuk diskrap.

Jadi di mana Malaysia? Menurut indeks tersebut, Malaysia berada di kedudukan ke-11 dengan Nissan Leaf yang dijual pada harga RM181,263 (US$43,679) termasuk insentif potongan cukai jualan. Walaupun dilihat jauh lebih murah dari Thailand, harga Leaf di Malaysia masih lagi tinggi berbanding harga purata global yang dihitung pada paras £29,296 (RM163,000).

Harga Nissan Leaf seluruh dunia dibandingkan – Singapura paling mahal RM589k; M’sia tempat ke-11

Ada dua faktor menyebabkan Nissan Leaf ini masih mahal berbanding harga purata tersebut. Pertama kerana Leaf buat masa sekarang masih dikenakan duti import sebanyak 30% dan juga duti eksais sebanyak 10%. Selepas ini, harga Nissan Leaf tersebut mungkin lebih rendah selari dengan cadangan kerajaan ketika pembentangan Bajet 2022 untuk memansuhkan duti bagi kereta elektrik bermula tahun hadapan sehingga 2023.

Namun dari segi penawaran kelengkapan, Leaf pasaran Malaysia ini juga dilihat agak munasabah. Di Jepun misalnya, Leaf dijual pada harga kelima paling rendah iaitu bermula 3,326,400 yen (RM123,300 atau £21,262), tetapi harga tersebut adalah untuk model paling asas yang hanya diberikan rim besi, tempat duduk fabrik serta langsung tiada radio. Varian satu tangga lebih tinggi di Jepun dijual pada harga 3,825,000 yen (RM141,800) yang akan menempatkan ia ditangga ke-33 paling mahal dalam carta ini.

Manakala Nissan Leaf pasaran Malaysia pula hanya ditawarkan dalam satu varian, dilengkapi perincian standard seperti rim 17-inci (paling besar dilengkapkan pada Leaf secara global), tempat duduk balutan kulit, sistem infotainmen dengan skrin lima-inci, serta pilihan warna dua tona premium tanpa tambahan kos. Malah, setiap pembelian Leaf di Malaysia juga adalah sekali dengan pengecas wallbox 6.6 kW, di mana pada pasaran lain kelengkapan tersebut perlu dibeli berasingan.

GALERI:Nissan Leaf pasaran Malaysia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required