Proton sasar jual 150k kenderaan pada 2022 – CEO

Proton sasar jual 150k kenderaan pada 2022 – CEO

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong menyatakan bahawa syarikatnya mensasarkan untuk menjual sebanyak 150,000 unit kenderaan untuk tahun 2022. Kenyataan itu dibuat menerusi hantaran di laman Facebook miliknya baru-baru ini.

Dengan sasaran tersebut, Proton nampaknya perlu menjual lebih dari 30% berbanding jumlah jualan keseluruhannya sepanjang 2021 dengan catatan sebanyak 114,708 unit kenderaan termasuk 3,108 unit yang dieksport.

Proton sebelum ini dilihat menunjukkan prestasi jualan yang lemah dengan mencatatkan jualan tahunan hanya 64,744 unit untuk tahun 2018. Namun hasil kerjasama strategik dengan Zhejiang Geely Holding Group Co., Ltd yang ditandatangani pada Mei 2017 mula menampakkan hasil pada 2019 di mana Proton mula mencatatkan jualan tahunan melebihi 100,000 unit.

Proton juga berjaya mencatatkan pertumbuhan jualan sebanyak 4.5% pada 2021 berbanding jualan 2020 walaupun perlu berhadapan dengan pelbagai masalah produksi seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga musibah banjir yang melanda pada Disember lalu yang menjejaskan produksi model-model SUVnya di Tanjung Malim.

Bagi mencapai sasaran jualan 150,000 unit tahun ini, Proton mungkin akan bergantung kepada SUV tujuh tempat duduk yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. SUV tersebut akan diasaskan dari Geely Haoyue/Okavango dan mungkin akan digelar sebagai Proton X90. Unit prototaip SUV tersebut dilihat kerap diuji dijalan raya awam baru-baru ini, menandakan tarikh pelancarannya yang semakin hampir.

Proton juga turut dilihat menguji versi kemaskini untuk sedan paling mampu miliknya iaitu Saga yang dijangka akan dilancarkan tahun ini. Selain dari menerima sedikit penyegaran dari segi rupa, Saga 2022 tersebut turut dilihat menampilkan sistem kemasukan tanpa kunci. Jualan Proton tahun ini juga bakal dipacu dengan model facelift Iriz dan Persona yang telah pun dilancarkan pada Ogos tahun lalu.

Jenama automotif tempatan itu juga kini dilihat semakin serius dengan pasaran-pasaran eksport, dengan secara sedikit demi sedikit mula menunjukkan pertumbuhan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Proton sebelum ini juga telah pun mengumumkan bahawa mereka akan kembali ke pasaran Thailand dan Indonesia.

Li juga sebelum ini ada menyatakan bahawa dia mahu Proton menjadi nombor satu di Malaysia terlebih dahulu yang sekian lama dipertahankan oleh Perodua, sebelum masuk semula ke dua pasaran automotif terbesar di Asia Tenggara berkenaan.

Baru-baru ini juga Proton telah mengumumkan bahawa mereka telah pun menandatangani perjanjian untuk menjual barisan model-model elektrik jenama smart menerusi Proton Edar, bukan sahaja di Malaysia malah untuk pasaran Thailand. Model-model terkini smart masih lagi akan direka oleh Mercedes-Benz, namun ia dibangunkan dengan teknologi Geely menggunakan platform SEA jenama China tersebut, serta akan dikilangkan oleh fasiliti Geely di China.

Langkah untuk menjual smart menerusi Proton Edar ini bukan sahaja akan membantu Proton bersedia untuk menjual kereta elektrik, malah dengan jaringan pengedar smart yang akan diwujudkan di Thailand, ia turut akan memudahkan Proton menjual keretanya di negara berkenaan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required