SPYSHOT: Proton X90 dikesan sedang ‘panjat Genting’

SPYSHOT: Proton X90 dikesan sedang ‘panjat Genting’

Sudah menjadi kebiasaan, apabila satu-satu model baharu akan dilancarkan oleh Proton pada masa hadapan, unit ujiannya pasti akan kelihatan ‘merayau’ di sekitar semenanjung Malaysia untuk diuji, sebagai salah satu proses pembangunannya.

Begitu juga dengan SUV tujuh-tempat duduk Geely Haoyue yang dikhabarkan akan dijelmakan Proton X90 – selepas unit ujiannya dikesan pertama kali berhampiran dengan kilang Proton di Hicom, Shah Alam pada Mei tahun lalu, prototaip model tersebut kini kelihatan lebih kerap diuji di atas jalan raya awam.

Terbaharu, pembaca paultan.org Akid Basarom mengirimkan kepada kami satu set gambar Proton X90 tersebut sedang diuji di sekitar jalan berbukit di Genting Highland. Kali ini, unit prototaip X90 berkenaan tampil dengan pelekat penyamaran yang berbeza dari unit ujian sebelum ini, namun nombor trade plate yang digunakan dilihat sama seperti unit prototaip Proton Saga yang pernah dilihat diuji sebelum ini.

Tiada sebarang petunjuk rasmi diberikan oleh Proton berkenaan spesifikasi X90 pasaran Malaysia kelak. Di China, Geely Haoyue ditawarkan dalam versi lima- atau tujuh-tempat duduk. Namun ia hanya ditawarkan satu pilihan unit rangkaian kuasa iaitu enjin 1.8 liter empat-silinder turbo berkuasa 181 hp dan tork maksima 300 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan, sama seperti Proton X70 sedia ada.

SPYSHOT: Proton X90 dikesan sedang ‘panjat Genting’

Model ini juga telah dilancarkan di Filipina, dijual dengan nama Geely Okavango. Berbanding Haoyue di China, Okavango diberikan enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder yang digandingkan bersama sistem hibrid ringkas 48-volt. Ia menghasilkan kuasa keseluruhan 190 PS dan tork maksima 300 Nm, dan dipindahkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan.

Apa yang menarik, unit rangkaian kuasa hibrid ringkas berkenaan telah pun dipamerkan di Galeri Inspirasi, iaitu ruang istimewa di Pusat Kecemerlangan Proton (ibu pejabat jenama berkenaan) di Subang, yang memaparkan pelbagai informasi dari segi warisan sejarah, teknologi sedia ada dan juga hala tuju mereka selepas ini.

Proton menamakan unit rangkaian kuasa berkenaan sebagai 1.5L TGDi dengan sistem stater generator pacuan tali sawat (Belt-Driven Starter Generator atau BSG). Menurut maklumat yang diberikan Proton, unit 1.5L TGDi dengan BSG tersebut menghasilkan kuasa yang sama seperti enjin 1.5L TGDi yang ada pada Proton X50 Flagship buat masa sekarang.

Jadi tidak mustahil, Proton X90 ini mungkin model pertama Proton yang akan dijana oleh unit rangkaian kuasa hibrid. Dengan jumlah ujian yang dilihat semakin kerap ini juga, mungkin tarikh pelancaran SUV yang lebih besar dari X70 ini sudah semakin dekat.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required