VIDEO: Honda HR-V pasaran Indonesia – 1.5L NA dan 1.5L VTEC Turbo, bermula RM105k hingga RM147k

Seperti yang telah kami laporkan minggu lalu, Honda HR-V 2022 sudah pun dilancarkan di Indonesia, selepas model berkenaan dilancarkan di Thailand pada November tahun lalu. Dan apa yang istimewa, Indonesia merupakan negara pertama di dunia menerima HR-V generasi ketiga dengan enjin 1.5L VTEC Turbo. Tak puas tengok gambar-gambar rasmi yang disiarkan tempoh hari? Ini dia video rasmi telah pun ditayangkan di YouTube.

Enjin turbo berkenaan diberikan pada varian paling tinggi dan paling berkuasa dalam pasaran negara tersebut iaitu HR-V RS, menjana 177 PS dan tork maksima 240 Nm. Untuk pengetahuan anda, HR-V RS turut ditawarkan di Thailand, namun ia hadir sebagai varian hibrid e:HEV dengan unit rangkaian kuasa i-MMD.

Unit penggerak hibrid untuk HR-V RS pasaran Thai tersebut menampilkan enjin 1.5 liter kitaran Atkinson i-VTEC berkuasa 105 PS/127 Nm yang dalam kebanyakkan masa hanya mengecas bateri lithium-ion, bersama motor elektrik berkuasa 131 PS/253 Nm untuk memacu roda hadapan.

Bagi tiga lagi varian lebih rendah di Indonesia iaitu HR-V S, HR-V E dan HR-V SE, ia tampil dengan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC tanpa turbo, menghasilkan 121 PS dan tork maksima 145 Nm – sama seperti unit penjana pada Honda City. Ini bukanlah konfigurasi yang pelik kerana HR-V generasi kedua juga ditawarkan dengan enjin 1.5L NA di Indonesia. Walau bagaimanapun, kedua-dua enjin turbo dan NA digandingkan hanya dengan pilihan kotak gear CVT automatik.

Untuk penampilan, kesemua model yang dijana enjin NA diberikan gril hadapan dengan jalur melintang, sementara versi RS dengan enjin turbo pula meneriman gril dengan elemen pin krom. HR-V RS juga tampil dengan kit badan lebih garang serta kemasan-kemasan hitam yang lebih banyak.

Dari segi kelengkapan pula, model asas HR-V S datang dengan perincian standard termasuk sistem bantuan pemanduan Honda Sensing, lampu hadapan LED penuh dan rim aloi 17-inci, paparan pelbagai info 4.2-inci pada panel meter, sistem infotaimen Display Audio dengan skrin sesentuh tujuh-inci serta bersama empat pembesar suara, kunci automatik walk away.

Sistem keselamatan lain yang juga diberikan standard untuk semua varian termasuk pengingat pemakaian tali pinggang belakang, bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, bantuan kestabilan kenderaan, sistem brek ABS dengan EBD dan BA, brek parkir elektrik bersama fungsi brake hold.

Untuk varian satu tangga lebih tinggi iaitu HR-V E menerima penambahan kit seperti penghidup enjin kawalan jauh, kemasan bampar hadapan dan perumah lampu kabus yang diwarnakan, pedal penukar gear dan cermin sisi auto-lipat bersama lampu isyarat membelok, upholsteri gabungan kulit dan fabrik, tempat duduk Combi, sebahagian balutan kulit pada roda stereng dan tombol gear balutan kulit. Manakala untuk penumpang belakang, model ini diberikan liang penghembus penghawa dingin, perehat tangan tengah dengan pemegang cawan serta port kuasa khas.

VIDEO: Honda HR-V pasaran Indonesia – 1.5L NA dan 1.5L VTEC Turbo, bermula RM105k hingga RM147k

Manakala varian tertinggi untuk enjin 1.5L NA iaitu HR-V E SE masih diberikan kelengkapan-kelengkapan sama dari versi E biasa, tetapi menerima perincian tingkat taraf seperti lampu isyarat membelok jenis sequential, bumbung panaromik, lampu kabus LED serta rim aloi 18-inci.

Dalam kabin, HR-V E SE diberikan perumah suis tingkap piano black, lampu bacaan LED, manakala untuk sistem infotainmen ia diberikan skrin sesentuh kapasitif lapan-inci. Model ini juga diberikan sistem kamera titik buta Honda LaneWatch serta kamera undur pandangan pelbagai sudut.

Akhir sekali untuk HR-V Turbo RS, ia hadir dua tip ekzos yang diserlahkan pada bampar belakang – identiti khusus untuk model-model Honda yang dijana enjin 1.5L VTEC Turbo. Untuk kabin, HR-V RS Turbo ini datang dengan upholsteri kulit hitam dengan serlahan jahitan benang merah, panel-panel sentuhan lembut pada pintu dan juga roda stereng yang dibalut sepenuhnya dengan kulit.

Pemandu pula diberikan paparan instrumen digital dengan skrin TFT tujuh-inci, serta mod pemanduan Sport, Normal dan Econ. Sistem infotainmen untuk HR-V RS ini pula ditambah dengan dua unit tweeter. Perincian tingkat taraf lain yang turut diberikan termasuk pintu tailgate belakang dengan fungsi bukaan tanpa sentuh serta boleh ditutup secara automatik secara walk away. Manakala untuk keselamatan, model ini menerima beg udara paling banyak iaitu enam-unit.

Untuk warna, rona Ignite Red Metallic 2-Tone hanya ditawarkan untuk HR-V RS, dan Sand Khaki Pearl 2-Tone hanya untuk HR-V RS, E dan E SE. Manakala warna Crystal Black Pearl, Platinum White Pearl, Lunar Silver Metallic dan Meteoroid Grey Metallic ditawarkan untuk semua varian.

Bagi harga pula, HR-V pasaran Indonesia ini dijual bermula 355.9 juta rupiah (RM104,738) untuk varian S, 379.9 juta rupiah (RM111,798) untuk varian E, diikuti 399.9 juta rupiah (RM117,701) bagi model E SE. Manakala varian tertinggi HR-V Turbo RS dijual pada harga 499.9 juta rupiah (RM147,070).

Selepas Thailand dan Indonesia, Malaysia turut akan menerima HR-V generasi ketiga ini tak lama lagi – unit prototaip SUV segmen-B tersebut sudahpun kelihatan di uji di Malaysia baru-baru ini.

Petunjuk yang diberikan oleh Honda Malaysia juga membayangkan bahawa model ini adalah salah sebuah model baharu yang akan dilancarkan tahun ini selain BR-V generasi kedua. Ia juga dibayangkan mungkin akan menerima enjin 1.5L VTEC Turbo dan juga versi hibrid e:HEV, berdasarkan komitmen yang telah diumumkan oleh Honda Malaysia baru-baru ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required