Selain dari SUV Chery Omoda 5 yang disahkan bakal dilancarkan di Malaysia bagi berhadapan terus dengan model seperti Proton X50 dan Honda HR-V, Chery Malaysia turut disahkan bakal membawa sekali SUV tujuh-tempat duduk, Tiggo 8 Pro ke sini sempena kembalinya jenama China tersebut ke pasaran tempatan. Tiggo 8 Pro ini dijangka bakal dilancarkan di Malaysia tak lama lagi.
SUV berkenaan bakal dijana unit rangkaian kuasa yang sama dengan Omoda 5, iaitu enjin 1.6 liter turbo dengan sistem suntikan terus (dari keluarga enjin Kunpeng Chery), menghasilkan 197 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 290 Nm bermula 2,000 hingga 4,400 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan bagi memacu roda hadapan.
Spesifikasi bagi model pasaran tempatan masih belum jelas, namun untuk pasaran lain, Tiggo 8 Pro tampil dengan kelengkapan yang agak baik. Ia diberikan lampu hadapan LED penuh dengan teknologi matrix, lampu nyalaan siang LED berkembar, rim aloi 18-inci, bumbung suria panaromik berkuasa, paparan instrumen digital penuh dengan skrin 12.3-inci, paparan sistem infotainmen dengan skrin 10.25-inci menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, sistem bunyi lapan pembesar suara dari Sony, tray pengecas tanpa wayar, sistem pendingin hawa dua-zon, dan upholsteri dua tona hitam/perang.
Tiggo 8 Pro juga datang dengan sistem bantuan pemanduan termaju yang merangkumi sistem seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, amaran keluar laluan, amaran lintasan trafik belakang, pengenal tanda trafik, amaran buka pintu dan kamera definasi tinggi 360-darjah.
Namun sistem yang dibekalkan ini dilihat sedikit tertinggal berbanding sistem yang ditawarkan pada Proton X50 kerana fungsi AEB tidak disertakan dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, serta tidak diberikan sistem bantuan pengekal tengah lorong.
Menerusi temubual sidang video bersama paultan.org Disember lalu, Chery Malaysia ada menyebut bahawa Tiggo 8 Pro bakal dilancarkan disini tahun ini. Malah Chery turut ada menyatakan bahawa mereka dalam perbincangan dengan rakan kerjasama di Malaysia bagi mewujudkan operasi pemasangan tempatan (CKD) di sini.
Selain Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro, Chery turut merancang untuk memperkenalkan Tiggo 4 Pro dan Tiggo 7 Pro ke Malaysia. Jurucakap jenama tersebut turut menyatakan bahawa mereka juga merancang untuk memperkenalkan kenderaan tenaga baru ke pasaran tempatan dengan model elektrik mikro eQ1. Chery Tiggo 8 Pro Facebook fan page juga telah diwujudkan di laman sosial berkenaan yang boleh anda layari menerusi PAUTAN INI.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.