Toyota Veloz 2022 – tempahan di Malaysia sudah dibuka, RM95k, ada Apple CarPlay tanpa wayar

Toyota Veloz 2022 – tempahan di Malaysia sudah dibuka, RM95k, ada Apple CarPlay tanpa wayar

Selepas Perodua mengumumkan Perodua Alza 2022 sudah boleh ditempah semalam, hari ini giliran UMW Toyota Motors pula membuat pengumuman bahawa kembar kepada MPV tujuh-tempat duduk tersebut tetapi dalam versi lebih premium iaitu Toyota Veloz 2022 kini secara rasmi juga sudah boleh ditempah!

Toyota Veloz 2022 ini bakal menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh Toyota Avanza generasi sebelum ini dan akan dijual pada pasaran Malaysia hanya dalam satu varian iaitu 1.5 A/T, yang hadir terus dalam versi pemasangan tempatan (CKD), dengan harga anggaran atas jalan tanpa insuran RM95,000.

Harga tersebut juga adalah termasuk cukai jualan (SST) yang diberikan oleh kerajaan. Namun seperti yang diumumkan oleh kementerian kewangan sebelum ini, insentif pengecualian SST akan diberikan oleh pembeli yang menempah kereta mereka sehingga 30 Jun 2022 dan menerima serta mendaftarkan kereta tersebut sebelum 1 April 2023.

Jadi berbanding Alza 2022 yang dijual antara RM62,000 hingga RM75,000, Toyota Veloz 2022 adalah RM20,000 lebih mahal berbanding MPV dengan lencana Perodua tersebut, walaupun kedua-duanya diasaskan dari platform dan kerangka yang sama.

Toyota Veloz 2022 – tempahan di Malaysia sudah dibuka, RM95k, ada Apple CarPlay tanpa wayar

Antara perincian yang telah disahkan untuk Veloz 2022 pasaran Malaysia ini termasuk lampu hadapan LED bersama lampu nyalaan siang LED dan lampu isyarat membelok jenis sequential, rim aloi 17-inci dengan tayar 205/50R17, rel bumbung, sistem pendingin hawa automatik dan pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, brek parkir elektrik (EPB) bersama fungsi brake auto hold.

Untuk keselamatan, Toyota Veloz 2022 ini datang dengan pakej sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense (TSS), tetapi UMWT masih belum memperincikan fungsi-fungsi dalam pakej TSS untuk Veloz pasaran Malaysia ini. Namun ia mungkin seiras dengan sistem Perodua Smart Drive Assist (PSDA) pada Alza varian tertinggi, menampilkan fungsi seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Kawalan Kekal Lorong (LKC), Pemantau Titik Buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

Sama seperti Perodua Alza D27A 2022 dan juga Daihatsu Xenia serta Toyota Avanza 2022, Veloz generasi baharu ini diasaskan dari platform Daihatsu Global Architecture (DNGA) pacuan roda hadapan yang jauh lebih modem berbanding casis ladder frame pacuan roda belakang Avanza generasi sebelumnya.

Ia dijana oleh enjin petrol 2NR-VE 1.5 liter empat silinder NA bersama padanan kotak gear D-CVT automatik. UMWT masih belum menyatakan angka kuasa untuk enjin berkenaan, namun untuk model pasaran Indonesia enjin tersebut menghasilkan 106 PS pada 6,000 rpm dan 137 Nm pada 4,200 rpm. Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, UMWT juga mengesahkan bahawa kotak gear CVT pada Veloz 2022 pasaran Malaysia ini turut menampilkan nisbah maya tujuh-kelajuan.

Toyota Veloz 2022 – tempahan di Malaysia sudah dibuka, RM95k, ada Apple CarPlay tanpa wayar

Toyota Veloz 2022 pasaran Indonesia

Pengumuman hari ini turut disertakan dengan imej teaser untuk Veloz 2022 pasaran Malaysia. Imej berkenaan menunjukkan bahagian muka Veloz tersebut yang kelihatan seiras dengan model pasaran Indonesia. Ia datang dengan gril hadapan hexagonal dengan mesh bentuk Y.

Rekaan lampu hadapan Veloz ini juga berbeza dari Avanza dan Alza, menampilkan lampu nyalaan siang LED bina-dalam. Kluster lampu utama tersebut turut menampilkan jalur krom pada bahagian ‘kening’ yang bersambung dengan kerangka gril serta tiang-A. Veloz turut diberikan rupa seakan SUV dengan menampilkan skid plate pada bawah bampar dan dilengkapi dengan rel bumbung.

Dijangka bahagian lain pada Veloz pasaran Malaysia ini akan seiras dengan model pasaran Indonesia, termasuk lampu belakang yang direka merentangi sepenuhnya pintu tailgate dengan logo Toyota di tengah, serta turut diberikan skid plate pada bahagian bawah bampar belakang.

Saiz badannya juga seharusnya sama dengan model pasaran Indonesia yang menampilkan dimensi 4,395 mm panjang dan 1,730 mm lebar, bersama jarak antara roda sejauh 2,750 mm (+95 mm). Berbanding Avanza sebelum ini, Veloz adalah 205 mm lebih panjang, 70 mm lebih lebar, dengan jarak roda 95 mm lebih jauh.

Toyota Veloz 2022 pasaran Indonesia

Lima warna badan ditawarkan untuk Veloz 2022 pasaran Malaysia ini termasuk dua warna dua-tona menampilkan bumbung hitam iaitu Silver Metallic dan Blue Metallic. Warna dua-tona ini adalah ditawarkan secara eksklusif untuk pasaran Malaysia, namun ia memerlukan bayaran tambahan berjumlah RM1,300. Tiga warna selebihnya iaitu White Metallic, Bluish Black dan Red Metallic datang diberikan bumbung yang dicat dengan warna badan.

Pada bahagian dalaman, Veloz dilihat lebih premium dari Avanza 2022 dengan menampilkan perapi-perapi tambahan berwarna perak pada bahagian seperti roda stereng, liang penghembus hawa dingin tengah dan juga “rel” pada konsol tengah, serta diberikan lampu suasana bina dalam yang turut boleh dilihat pada panel pintu.

Veloz juga hadir dengan papan pemuka yang sedikit berbeza dari Avanza, dengan tambahan jahitan palsu padanya. Model pasaran Malaysia ini juga dilengkapi dengan skrin infotainmen sembilan-inci ‘berdiri sendiri’ yang turut disertakan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required