Honda Malaysia (HMSB) telah memperkenalkan dua warna baru untuk CR-V facelift generasi kelima, iaitu Ignite Red Metallic dan Meteoroid Gray Metallic, bagi menggantikan Passion Red Pearl dan Modern Steel Metallic sebelum ini.
Keputusan untuk memperkenalkan dua warna baru tersebut pada CR-V dibuat selepas mendapati ia menerima sambutan yang baik oleh pengguna apabila digunakan pada beberapa model lain. Sebagai makluman, CR-V mencatat 12% daripada keseluruhan jualan HMSB dari bulan Januari hingga Julai tahun ini.
“Ignite Red Metallic dan Meteoroid Gray Metallic mendapat penerimaan pasaran yang baik sejak ia diperkenalkan pada model seperti City, City Hatchback, Civic, BR-V dan HR-V, sementara Accord juga ditawarkan dalam warna Meteoroid Gray Metallic,” kata MD dan CEO HMSB, Hironobu Yoshimura.
“Kedua-dua warna ini adalah pilihan yang popular bagi model-model tersebut, dengan Ignite Red Metallic menyumbang kepada purata 18% daripada jualan setiap lima model tersebut, manakala Meteoroid Gray Metallic pula menyumbang purata 24% daripada jualan bagi setiap enam model termasuk Accord. Kami yakin dua warna baru ini dapat menyerlahkan lagi penampilan CR-V,” tambah beliau.
Dilancar pada November 2020, CR-V facelift ditawarkan dalam tiga varian iaitu 2.0 2WD (RM146,900), yang dipacu oleh enjin petrol empat silinder NA 2.0 liter SOHC i-VTEC berkuasa 154 PS (152 hp) dan 189 Nm, serta 1.5 TC-P 2WD (RM165,800) dan 1.5 TC-P 4WD (RM171,400) yang menggunakan enjin empat silinder turbo 1.5 liter DOHC VTEC Turbo berkuasa 193 PS (190 hp) dan 243 Nm.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.