Kia Carens 2022 dilancar di Indonesia – MPV gaya SUV dengan tiga baris tempat duduk, enjin 1.5L NA, 1.4T

Kia Carens 2022 dilancar di Indonesia – MPV gaya SUV dengan tiga baris tempat duduk, enjin 1.5L NA, 1.4T

Selepas diperkenalkan pertama kali kepada dunia Disember tahun lalu di India, Kia Carens generasi keempat kini memasuki pula pasaran Indonesia. Dibina atas platform Seltos yang dipanjangkan, Carens ini dibuat untuk pasaran membangun dan menyediakan tiga baris tempat duduk.

Pada Carens generasi sebelum ini yang dikenali sebagai Rondo atau Citra, ia mempunyai rekaan lebih seperti MPV, sementara model terbaru ini pula mendapat sentuhan SUV seperti Honda BR-V, Toyota Veloz dan Mitsubishi Xpander. Saiz juga agak hampir, dengan Carens mencatat panjang 4,540 mm, lebar 1,800 mm, tinggi 1,700 mm dan jarak roda 2,780 mm.

Dengan itu, Carens bersaing dalam segmen premium MPV di Indonesia, dan ditawarkan dalam dua varian. Pilihan paling asas dipanggil sebagai 1.5 MPI – Premiere, dijual pada harga 389 juta rupiah (RM117,440) sementara varian di atasnya adalah 1.4T – Premiere, dijual pada harga 449 juta rupiah (RM135,554).

Untuk pengetahuan anda, harga permulaan Carens adalah agak tinggi berbanding varian tertinggi pesaingnya. Sebagai contoh, BR-V Prestige dengan Honda Sensing dijual pada harga IDR348.6 juta (RM105,185), Veloz Q CVT Type IDR309.1 juta (RM93,267) dan Xpander Ultimate CVT IDR307.1 juta (RM92,663).

Kia Carens 2022 dilancar di Indonesia – MPV gaya SUV dengan tiga baris tempat duduk, enjin 1.5L NA, 1.4Tff

Melalui harga yang lebih tinggi ini, pemilik dapat menikmati suspensi yang lebih canggih pada Carens, di mana ia dilengkapi dengan tetapan MacPherson di hadapan dan multi-link di belakang, sementara pesaingnya semua menggunakan torsion beam.

Semua varian datang secara standard dengan rim aloi 16 inci yang dibalut tayar 205/65, lampu utama LED, DRL LED, lampu kabus LED, lampu belakang LED, cermin sisi boleh lipat secara elektronik serta bumbung suria yang boleh dibuka.

Di dalam, kenderaan ini mendapat tempat duduk berliang, balutan kulit tiruan, lampu suasana, penghadang cahaya matahari di baris kedua, panel instrumen TFT LCD 4.2 inci, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan inci (dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay), sistem bunyi Bose lapan pembesar suara, pendingin hawa automatik serta pengecas Qi tanpa wayar.

Varian 1.5 MPI – Premiere datang dengan tujuh tempat duduk (2-3-2), sementara varian di atasnya mendapat tempat duduk jenis kapten di baris kedua, menjadikannya sebagai kenderaan enam tempat duduk (2-2-2). Turut disediakan adalah meja boleh lipat untuk penumpang baris kedua.

Berkenaan keselamatan, enam beg udara diberikan secara standard, bersama pelbagai sistem pasif termasuk ESC, ABS, EBD, Brake Assist, Hill Start Assist, Downhill Brake Control, pemerhati tekanan angin tayar serta pengesan jarak hadapan dan belakang. Kelengkapan lain adalah seperti sistem masuk tanpa kunci, pemula enjin jarak jauh serta cruise control.

Untuk enjin, 1.5 MPI – Premiere mendapat enjin empat silinder NA 1.5 liter Gamma II berkuasa 115 PS pada 6,300 rpm dan tork 144 Nm pada 4,500 rpm, dan ia menggerakkan roda hadapan melalui transmisi CVT yang dipanggil sebagai Intelligent Variable Transmission (IVT).

Sementara itu, 1.4T – Premiere pula dipacu oleh enjin empat silinder 1.4 liter turbo Kappa yang mampu menghasilkan 140 PS pada 6,000 rpm dan 242 Nm pada antara 1,500 hingga 3,200 rpm. Kuasa masih dihantar ke roda hadapan, tetapi melalui transmisi klac berkembar tujuh kelajuan. Kedua-dua varian juga mempunyai tiga mod pemanduan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required