PANDU UJI: Toyota Corolla 1.8G 2022 – sedan yang masih relevan, sedap dipandu dan sesuai untuk wanita

PANDU UJI: Toyota Corolla 1.8G 2022 – sedan yang masih relevan, sedap dipandu dan sesuai untuk wanita

Sejak hampir sedekad ini, kebanyakan rakyat Malaysia terutamanya golongan wanita lebih cenderung memilih kenderaan utitili sukan atau SUV. Malahan kecenderungan ini menambahkan langkah syarikat pengeluar kenderaan untuk lebih giat mengeluarkan model SUV memandangkan permintaannya yang kian memberangsangkan.

Walau bagaimana pun, ini tidak bermakna model sedan makin kurang mendapat sambutan, cuma kini ia seakan bukan lagi pilihan utama. Jualan beberapa model sedan di pasaran masih lagi relevan, walau mungkin ada yang tidak sekencang SUV. Antara pengeluar kenderaan yang mempunyai model sedan yang masih relevan di pasaran tempatan termasuklah Toyota menerusi model Corolla generasi ke-12.

Seperti mana yang pernah dilaporkan sebelum ini, namanya telah berubah. Corolla merupakan satu nama yang sangat dikenali diperingkat global. UMW Toyota (UMWT) juga telah menggugurkan penjenamaan Altis dari material pemasaran model ini; sebuah nama yang digunakan untuk kereta segmen-C berkenaan di pasaran Asia Tenggara sejak generasi kesembilan lagi. Namun, lencana Altis masih akan dikekalkan pada kereta in.

Sebelum saya bercerita lebih mendalam mengenai sedan ini, untuk pengetahuan anda, ulasan pandu uji ini adalah atas permintaan khas daripada UMWT yang inginkan pendapat atau perspektif daripada seorang pemandu wanita untuk pemandu wanita yang lain. Tetapi kaum lelaki pun boleh membacanya, manalah tahu ada di kalangan anda yang ingin mencari-cari kereta baharu untuk si isteri.

PANDU UJI: Toyota Corolla 1.8G 2022 – sedan yang masih relevan, sedap dipandu dan sesuai untuk wanita

Untuk sesi pandu uji ini, kami diberikan unit 1.8G iaitu varian teringgi bagi barisan Corolla untuk pasaran tempatan (selepas varian 1.8E). Kebanyakan pemandu wanita lebih memilih gaya dan imej yang diperaga bagi sebuah kenderaan berbanding prestasi. Ini hakikatnya yang perlu diperakui. Melihat akan gaya Corolla 2022 ini, ia masih kekal dengan imej yang sporty dan ciri kemodenannya memang terserlah, malah telah menyingkirkan sentuhan ‘old skool’ seperti yang dipamerkan pada generasi sebelumnya. Corolla 2022 ini nampak lebih moden, tidaklah bersifat futuristik, tetapi masih sedap mata memandang.

Untuk model 2022 ini, imej luarannya masih mirip dengan apa yang dipersembahkan menerusi barisan Corolla 2019. Ciri yang ditampilkan termasuk lampu utama LED projektor dengan auto high beam yang lebih tirus dengan muncung gril hadapannya yang lebih seksi.

Digandingkan pula dengan lampu nyalaan siang LED dan rim pelbagai-jejari 17-inci yang dibaluti tayar profil tayar 225/45. Bahagian belakangnya juga sedikit seksi dengan kedudukan sedikit tinggi bagi lampu LED kombinasi dengan kemasan krom melintang. Perkataan Altis masih tertera di bawah perkataan Corolla walau pun UMWT mahu ia lebih dikenali sebagai Corolla sahaja di Malaysia.

PANDU UJI: Toyota Corolla 1.8G 2022 – sedan yang masih relevan, sedap dipandu dan sesuai untuk wanita

Menjengah bahagian kabinnya, tiada ciri futuristik diberikan. Ia masih kekal ringkas dan segala item kawalan mudah untuk dicapai serta dikendalikan. Sifat elegan dan sedikit sofistikated diberikan untuk bentangan dalamannya.

Sebagai varian spesifikasi penuh, model 1.8G ini menerima ciri kelengkapan tambahan termasuk
paparan instrumen Optitron, paparan pelbagai informasi TFT tujuh-inci (hanya 4.2-inci untuk varian E), sistem pendingin hawa dua-zon, tempat duduk balutan kulit (hanya fabrik pada varian E) dan pelindung matahari belakang. Selain itu, ia turut diberikan monitor pandangan panaromik 3D dan juga kamera perakam digital hadapan dan belakang.

Untuk hiburan, 1.8G ini turut diberikan skrin sesentuh infotaimen sembilan-inci dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto serta enam-pembesar suara. Bagi menambahkan kemudahan kepada pemandu dan penumpangnya, model ini turut diberikan pad pengecas tanpa wayar untuk mengecas telefon pintar.

PANDU UJI: Toyota Corolla 1.8G 2022 – sedan yang masih relevan, sedap dipandu dan sesuai untuk wanita

Corolla generasi ke-12 ini menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) GA-C dan sedan ini berukuran 4,630 mm panjang, 1,780 mm lebar dan 1,435 mm tinggi dengan jarak roda pula 2,700 mm. Jika ada pemandu wanita yang takut-takut untuk mengendalikan sedan ini kerana berpendapat ia bersaiz besar dan panjang, tolong singkirkan perasaan itu. Yakin boleh! Ia senang dikendalikan walau pun ketika membuat pusingan-U atau pun ingin memarkirnya. Maklum balas sterengnya memang cukup responsif, jadi jangan khuatir soal mengendalikannya.

Saya cuma berketinggian 150 cm, tetapi untuk mengendalikan sedan seperti Corolla ini, tidaklah menyulitkan. Kalau pandangan mata tidak begitu memuaskan untuk melihat cermin hadapan, naikkan saja tempat duduk pemandu, laraskan mengikut keselesaan anda. Anda juga tidak perlu gigih memulas stereng sewaktu ingin membuat pusingan-U atau pun mahu memarkir secara sisi (side parking) atau mengundurkannya. Electric power steering (EPS) sangat membantu, kawalan sterengnya tidak membebankan.

Untuk Corolla 2022 ini, tiada sebarang perubahan pada spesifikasi mekanikalnya. Ia masih dijana oleh enjin petrol 1.8 liter NA empat-silinder berkuasa 139 PS pada takat 6,400 rpm dan tork maksima 172 Nm pada takat 4,000 rpm. Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear CVT automatik dengan tujuh-kelajuan maya bagi memacu roda hadapan.

PANDU UJI: Toyota Corolla 1.8G 2022 – sedan yang masih relevan, sedap dipandu dan sesuai untuk wanita

Prestasi enjinnya boleh disifatkan berskala sederhana. Ia bukanlah enjin yang sporty seperti mana penampilannya. Sesuailah dengan sifat feminin pemandu wanita yang mungkin ‘takut’ mengendalikan jentera yang memiliki prestasi dan pengendalian yang mungkin boleh dilabelkan sebagai ‘liar’.

Kuasa yang terhasil pada enjinnya sekadar mencukupi untuk memberikan kelajuan yang diingini, tanpa begitu memerlukan kerahan tenaganya. Apatah lagi dengan gandingan transmisi CVT yang lebih bersifat keselesaan. Model 1.8G ini juga diberikan pedal penukar gear pada roda stereng untuk pengendalian yang lebih menyeronokkan. Malahan dengan pilihan sama ada Eco atau pun Sport, anda boleh menentukan mod pemanduan mengikut mood anda tika itu.

Toyota memang terkenal dengan model kenderaan yang memiliki tahap NVH yang agak bagus. Anda akan berasa kurang mendengar bunyi bising dari luar hasil seretan tayar mahu pun deruman enjin atau angin. Sekali gus menghasilkan keselesaan yang lebih optimum dalam pemanduan.

Untuk memantapkan lagi pengendaliannya, Corolla generasi ke-12 ini telah pun diberikan suspensi belakang jenis double wishbone berbanding torsion beam pada model terdahulu. Dan suspensi hadapan pula dari MacPherson dan kedua-dua bahagian dipasang dengan stabiliser. Jadi, ia mengurangkan rasa olengan atau hentakan yang ketara apabila merentasi permukaan jalan yang tidak rata, berlubang, bumpy dan tidaklah rasa pening bila ‘melayan’ selekoh.

Selain imej luaran yang menarik, ciri yang lebih penting yang harus diambil kira bagi seorang pemandu ialah kelengkapan keselamatan yang diberikan. Untuk Corolla pasaran Malaysia ini, ia masih dibekalkan dengan tujuh-beg udara, sistem brek ABS bersama EBD dan BA, traction control, kawalan kestabilan, bantuan mula mendaki, lampu isyarat berhenti kecemasan, sistem amaran tekanan tayar, pengingat pemakaian tali keledar untuk penumpang hadapan dan belakang, cagak tempat duduk ISOFIX, serta penderia parkir hadapan dan belakang.

Model 1.8 G pula diberikan sistem tambahan seperti sistem pra-pelanggaran (PCS), amaran keluar lorong (LDA) dengan bantuan sterteng dan pengesan lorong, dynamic radar cruise control, lampu tinggi automatik dan pemantau titik buta.

Sebagai contoh, LDA berfungsi untuk melatih lebih ramai pemandu menggunakan lampu penunjuk arah dan melihat kepada cermin sisi sebelum menukar lorong kerana jika tidak berbuat demikian, bunyi amaran dan berat tambahan pada stereng akan dapat dirasa. Walau bagaimanapun, ciri ini masih boleh ditutup menggunakan butang pada sebelah kanan roda stereng.

Selain itu, Adaptive Cruise Control pula memudahkan pengendalian dan masih dapat memberi keyakinan kepada pemandu. Hanya dengan menekan dua butang pada bahagian kiri stereng, ia sudah aktif dan anda boleh memilih tiga tahap jarak dengan kereta di hadapan. Di mana anda boleh menetapkan kelajuan yang diingini, sebagai contoh 110 km/j di lorong tengah dan biarkan sahaja kereta bergerak sendiri tanpa menekan pedal minyak atau brek.

Semasa anda meluncur pada kelajuan tersebut, jika ada kereta yang lebih perlahan di depan, sistem ini akan memperlahankan kenderaan secara sendiri dan mengikut kelajuan kereta tersebut. Yang menariknya juga, ia tidak membrek secara mengejut (melainkan jika perlu) dan kelajuan turun secara sekata, sekali gus menghasilkan rasa selesa. Apabila kereta di hadapan sudah meningkatkan kelajuan atau tiada lagi di depan, sistem ini akan membawa kenderaan anda kepada kelajuan yang telah ditetapkan awal tadi secara sendiri.

Corolla 1.8G ditawarkan pada harga RM141,888 yang turut diberikan waranti pengeluar selama lima tahun, tanpa had perbatuan. Dengan segala kelengkapannya, harga ini dilihat berbaloi dan hampir menyamai harga pesaing terdekatnya, Honda Civic 2022 (untuk varian RS yang berharga RM144,350, manakala varian lebih bawah iaitu E dan V pula antara RM126k-RM138k) dan Mazda 3 sedan yang berharga bermula RM138,660.

Walau bagaimana pun, kalau dipilih daripada segi imej luaran dan dalaman, mungkin Civic dan Mazda 3 lebih menonjol. Dan dari jika dari segi populariti, nampak gayanya Corolla dan Mazda 3 sukar untuk menandingi Civic. Tetapi jika dibandingkan keselesaan pemanduan antara ketiga-tiga model tersebut, Corolla boleh dikatakan menjuarai carta segman yang sama dengannya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required