Dulu ada pepatah berbahasa inggeris dalam dunia automotif yang menyebut “Win on Sunday, sell on Monday”. Pepatah ini popular sejak era 60’an hingga penghujung 90’an di mana pengeluar gemar menjadikan perlumbaan sebagai medan pengiklanan untuk menjual kereta – jika kereta berkenaan menang perlumbaan pada hari Ahad, ia akan mudah terjual pada hari Isnin berikutnya.
Walau bagaimanapun, konsep pemasaran seperti ini semakin dilupakan kerana kereta-kereta lumba generasi baharu menampilkan spesifikasi yang tidak sama dengan model yang dijual di bilik pameran. Situasi ini berbeza berbanding era FIA mensyaratkan pengeluar menghasilkan model produksi homologasi istimewa untuk dijual dalam pasaran, menggunakan asas enjin dan kerangka yang sama seperti kereta lumba sebenar.
Namun bagi Mitsubishi, selepas sayap prestasi dan perlumbaannya iaitu Ralliart dihidupkan semula pada 2021 dan mula berlumba semula pada tahun lalu, konsep “Win on Sunday, sell on Monday” kini telah relevan semula – dan ia perlu bagi menyemarakkan kembali semangat peminat jenama tiga berlian berkenaan yang terkenal dengan DNA perlumbaan dalam disiplin rali.
Oleh itu, hujung minggu lalu Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah pun mengadakan acara The Champion Xperience, iaitu acara yang membuka peluang kepada orang ramai bagi merasai kemampuan juara Asia Cross Country Rally (AXCR) 2022, trak pikap Mitsubishi Triton di habitat semula jadinya iaitu laluan off-road!
Acara ini dilangsungkan di Tanamera, Shah Alam pada hujung minggu lalu iaitu bermula 24 hingga 25 Jun 2023. Dua highlight utama yang disediakan untuk pengunjung acara ini iaitu pandu uji sendiri Triton Athelete di laluan off-road yang disediakan, dan kedua peluang merasai sendiri duduk di tempat duduk penumpang hadapan Triton Athelete yang dipandu oleh pemandu rali profesional sebenar di atas laluan Super Stage (SS) rali sebenar.
Penulis berkesempatan menghadiri The Champion Experience ini dan menyertai dua aktiviti utama ini. Bagi pandu uji penganjur telah menyediakan litar off-road pada laluan yang sempit, menurun dan mendaki bukit pada sudut yang curam, dan juga beberapa selekoh yang sangat tajam.
Memandu dalam laluan ini benar-benar menyerlahkan kebolehan Triton yang tidak akan anda rasa ketika memandunya di atas jalan raya. Pertama sekali anda dapat rasakan betapa senyapnya kabin Triton dan suspensi yang dipadankan dapat menyerap hentakan dengan baik ketika dipandu pada permukaan yang lasak dan tidak rata.
Anda juga berpeluang menggunakan sistem bantuan menurun cerun yang dipadankan pada Triton Athlete ini, membolehkan anda menurun bukit yang curam pada laluan yang tidak ditar dengan selamat walaupun tidak mempunyai pengalaman untuk melalui laluan sedemikian.
Manakala pada laluan mendaki, anda dapat merasakan kelebihan enjin 2.4 liter empat silinder DOHC MIVEC turbodiesel berkuasa 181 PS/430 Nm tork yang digandingkan dengan transmisi automatik enam-kelajuan dan sistem pacuan empat roda Super Select 4WD-II.
Anda boleh rasakan betapa mudahnya Triton Athlete ini mendaki bukit curam di atas permukaan tanah merah dengan hanya menggunakan mod 4H pada sistem 4WD, tanpa perlu menggunakan gear 4L. Malah tayar yang digunakan juga masih lagi tayar A/T yang sesuai digunakan setiap hari dan bukan menggunakan tayar M/T yang lebih fokus pada permukaan laluan off-road.
Malah dengan radius pusingan minima 5.9 meter pada Triton Athlete ini membolehkan anda mengambil selekoh yang bukan sahaja tajam, malah sempit yang disediakan dalam laluan off-road yang disediakan.
Selesai dengan aktiviti pandu uji ini, peserta akan dihantar pula ke SS rali yang disediakan. Untuk pengetahuan anda, Tanamera sememangnya antara venue yang dituju oleh pasukan-pasukan rali tempatan untuk membuat persediaan, talaan dan latihan seperti sesi shakedown dan sebagainya.
Jadi SS di Tanamera ini menyajikan SS klasik untuk rali di Malaysia iaitu laluan permukaan batu kerikil berwarna merah serta ‘dihiasi’ pokok-pokok kelapa sawit di sepanjang laluan.
Dua orang pemandu rali disediakan penganjur untuk memberikan pengalaman yang mungkin tidak akan dilupakan untuk peserta – Juara Kejohanan Rali Malaysia (MRC) 2017 dan 2018 Roduwan Rashid, serta pelumba muda yang baru berumur 21 tahun Ibrahim Saladin iaitu anak kepada pemandu rali lagenda negara, Saladin Mazlan.
SS yang disediakan tidaklah panjang, tetapi cukup padat untuk peserta merasa pelbagai aksi rali sebenar termasuk merasai kelajuan yang tidak masuk akal pada laluan sempit, scandinavian flick dan hand brake turn pada selekoh hairpin, dan juga merasa beberapa lompatan.
Untuk pengetahuan anda, Mitsubishi Triton dalam spesifikasi FIA Group T1 yang menang dalam AXCR tahun lalu adalah hampir sama dengan Triton Athlete yang dijual dalam pasaran ini. Jentera rali berkenaan masih menggunakan enjin standard yang sama tanpa sebarang peningkatan kuasa, cuma diberikan kelengkapan keselamatan seperti roll cage dan sebagainya serta suspensi yang lebih sesuai untuk rali rentas negara.
Saya sendiri pernah merasai ‘taxi ride‘ di dalam jentera rali Triton T1 berkenaan di Kanchanaburi, Thailand ketika sesi shakedown pasukan tersebut tahun lalu. Dan secara jujur, pengalaman duduk di tempat duduk penumpang hadapan antara Triton T1 berkenaan dan juga Triton Athlete produksi di atas laluan SS rali memang tidak banyak beza.
Trak pikap tersebut mempamerkan kelincahan dan dinamik pemanduan yang begitu baik walaupun pada permukaan batu kerikil yang tidak mempunyai cengkaman yang kuat seperti di atas tar. Jadi menerusi pengalaman ini, Mitsubishi seolah-olah mahu memberitahu bahawa Triton standard ini sememang cukup bagus untuk perlumbaan rali, dan ia adalah antara faktor untuk mereka memenangi AXCR tahun lalu.
Selain dari dua pengalaman ini, Mitsubishi turut membawa peserta untuk kembali mengenang kejayaan mereka dalam dua rali terulung di dunia iaitu Kejohanan Rali Dunia (WRC) dan juga Rali Dakar. Di luar khemah utama, dua buah jentera dipamerkan untuk tatapan orang ramai iaitu sebuah Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makkinen Edition (turut dikenali sebagai Evo 6.5) dan juga sebuah Mitsubishi Pajero Jr. yang disolek seolah-olah bersedia untuk Rali Dakar.
Sementara dalam khemah berpendingin hawa pula disediakan papan maklumat yang memberikan informasi sejarah dan kejayaan Mitsubishi Ralliart dalam WRC serta Rali Dakar. Beberapa kenderaan juga dipamerkan di dalam khemah tersebut antaranya replika Triton T1 Juara AXCR 2022 dan Mitsubishi Xpander yang diubahsuai seperti jentera rali Xpander AP4.
Pelbagai permainan dan aktiviti untuk seisi keluarga juga disediakan dalam khemah tersebut, bersama ruang bersantai untuk pengunjung menikmati juadah yang disediakan. Malah untuk peserta yang menyertai pandu uji turut diberikan hadiah berupa kemeja-T eksklusif Champion Xperience dan juga pin isian semula Touch ‘n Go eWallet bernilai RM20.
Manakala peserta-peserta pandu uji yang bertuah telah memenangi bag North Face Explore Bardu II menerusi cabutan bertuah yang akan dijalankan.
Acara ini menerima sambutan yang menggalakkan di mana slot-slot yang dibuka untuk orang ramai menyertainya penuh untuk dua hari, malah ada juga yang mencuba nasib datang secara walk-in untuk menyertainya. Mungkin dengan sambutan yang begitu baik dari orang ramai akan mendorong Mitsubishi Motors Malaysia untuk melangsungkan acara yang sama sekali lagi nanti?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.