Sedan terbaharu dari Proton iaitu model yang dijangka akan digelar sebagai Proton S50 kini dijumpai sekali lagi diuji di atas jalan raya awam. Imej unit prototaip tersebut diambil oleh pembaca paultan.org, Putra Azran ketika berkeliaran sekitar Subang Jaya, Selangor.
Berdasarkan kedudukan pengelap cermin hadapan, unit prototaip ini adalah versi pemanduan sebelah kanan menandakan ia mungkin adalah prototaip versi akhir sebelum dijelmakan dalam versi produksi sebenar. Malah pada sebelah hadapan juga unit ini sudah diberikan gril signatur infinite weave Proton.
Seperti yang sudah dilaporkan sebelum ini, sedan terbaharu Proton ini diasaskan dari Geely Emgrand pasaran China. Namun berdasarkan kamera monokular pada bahagian atas cermin hadapan dan trade plate yang digunakan pada bahagian hadapan mempunyai lubang empat segi yang mungkin digunakan untuk menguji radar gelombang milimeter, S50 bakal menampilkan spesifikasi lebih canggih kerana ia menerima sistem bantaun termaju (ADAS) berbanding Emgrand yang tidak ditawarkan dengan sistem tersebut.
Dengan kelengkapan-kelengkapan tersebut, berkemungkinan sistem ADAS pada S50 ini akan memberikan pemanduan autonomi Tahap 2 yang memberikan fungsi bukan sahaja brek kecemasan automatik, malah sistem cruise control adaptif dengan bantuan kekal/pengelak keluar lorong.
Selain dari itu, S50 nampaknya mungkin akan menerima rupa yang hampir sama dengan Emgrand termasuk profil sisi dan juga rekaan sebelah belakang.
Namun S50 turut dijangka akan menampilkan unit rangkaian kuasa lebih baik iaitu enjin 1.5 liter tiga silinder turbo dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh kelajuan seperti pada Proton X50, berbanding Emgrand di China yang hanya menerima enjin 1.5 liter NA dengan kotak gear DCT.
Ini kerana setakat ini Proton tidak membayangkan akan menggunakan enjin 1.5L NA dari Geely berkenaan untuk mana-mana model baharu, sebaliknya menyatakan enjin 1.5L Turbo yang kini sudahpun dipasang di Tanjung Malim akan menjadi enjin utama untuk model-model baharunya yang akan dilancarkan pada 2023 dan 2024.
Enjin yang dibangunkan bersama oleh Geely dan Volvo serta dikenali dengan kod dalaman GEP3 tersebut akan menggantikan tugas enjin 1.6 liter Campro Turbo sebelum ini yang telahpun ditamatkan terus pembangunannya. Oleh itu S50 ini dijangka akan menjadi sedan Proton untuk bersaing dalam kelas segmen-C di Malaysia bagi berhadapan dengan Honda Civic dan Toyota Corolla, kerana ia mempunyai enjin yang cukup berkuasa dan juga sistem ADAS yang cukup canggih setaraf dengan saingannya.
Malah saiz Emgrand di China turut hadir dengan saiz yang agak besar berbanding saingan segmen-B, membolehkan ia masuk ke saingan segmen-C, menampilkan dimensi 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,650 mm.
Jika dibandingkan dengan Honda Civic FE, Emgrand hanya hanya 40 mm lebih pendek, dan ia adalah 18 mm lebih lebar. Manakala jarak rodanya pula adalah sama sepenuhnya dengan sedan segmen-C Proton yang sudah tidak lagi ditawarkan iaitu Proton Preve.
Menerusi petunjuk yang didedahkan oleh CEO Proton Dr Li Chunrong pada Mac lalu, Proton S50 ini bakal dilancarkan pada penghujung tahun ini. Dr. Li turut bahawa mengesahkan S50 merupakan model serba baharu dan tidak akan menggantikan mana-mana model yang sedang dijual di bilik pameran Proton buat masa sekarang.
Jadi apa yang diumumkan oleh Dr. Li tersebut menjadi satu lagi petunjuk bahawa S50 bukanlah sedan segmen-B yang akan menggantikan Proton Persona yang kini masih lagi dijual, tetapi sedan segmen-C yang akan menggantikan tempat Proton Preve.
Kami juga menjangkakan S50 turut akan menampilkan harga seperti Preve iaitu harga seperti segmen-B tetapi dengan ciri seperti segmen-B. Preve sebelum ini dijual pada harga bermula RM59,990 sehingga RM72,990 ketika ia dilancarkan pada 2012, manakala Proton Persona dijual pada harga bermula RM47,800 untuk varian 1.6L Standard CVT hingga RM58,300 untuk varian tertinggi 1.6L Premium CVT.
Jadi kami jangkakan varian paling rendah untuk Proton S50 ini kelak mungkin boleh dijual bermula RM60k untuk varian paling asas. Setakat ini apa pendapat anda? Ada yang nak tangguh dulu untuk beli Civic atau Corolla sebab nak tengok dulu apa yang Proton tawarkan pada S50 ini? Mungkin Honda City dan Toyota Vios juga akan ‘terancam’ sekiranya S50 dijual pada harga sedemikian?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.