Karnival sambutan ulangtahun ke-38 Proton Saga – tiga generasi berhimpun di Ibu pejabat Proton!

Karnival sambutan ulangtahun ke-38 Proton Saga – tiga generasi berhimpun di Ibu pejabat Proton!

Semalam, 9 Julai 2023 genap Proton Saga berumur 38 tahun selepas unit pertama Saga generasi pertama keluar dari kilangnya di Shah Alam pada 9 Julai 1985. Oleh itu Proton berbesar hati mengadakan karnival istimewa untuk menyambut ulangtahun berkenaan bertempat di Ibu Pejabatnya iaitu Pusat Kecermelangan Proton (CoE) yang terletak bersebelahan dengan kilang asalnya di Hicom Shah Alam.

Acara ini bermula pada pukul 9 pagi dan tamat pada pukul 7 malam. Acara utama untuk karnival ini adalah perhimpunan pemilik-pemilik Saga dari generasi pertama sehingga generasi terkini yang berlangsung dari bermula ia dibuka sehingga penutup.

Pelbagai model Saga dan varian muncul dalam perhimpunan kali ini, dengan pelbagai tema restorasi dan ubahsuai yang ditampilkan. Antara varian-varian menarik yang datang termasuk Proton Saga Knight 1989, Proton Saga Limosin, dan pelbagai lagi.

Pelbagai Saga ‘viral’ juga dilihat hadir ke perhimpunan berkenaan antaranya ‘Saga Pekak’ berwarna yang menerima restorasi penuh seperti baru, replika kereta rali Saga Iswara Group S yang pernah dipandu oleh Karamjit Singh, Saga milik pempengaruh media sosial ‘Kakak Saga’, dan banyak lagi.

Kereta-kereta lumba sebenar Proton Saga juga tampil pada karnival ini, antaranya Proton Saga milik pasukan Proton R3 yang bertanding di perlumbaan Sepang 1000KM, dan beberapa Proton Saga generasi pertama milik pasukan-pasukan persendirian yang bertanding dalam Saga Cup Malaysia Speed Festival (MSF).

Pasukan lumba Proton R3 sendiri juga membuat penampilan pada karnival ini dengan memberikan peluang kepada pengunjung yang hadir merasai sesi ‘Taxi Ride’ menggunakan Proton Saga pada litar ‘gymkhana’ kecil, dipandu oleh dua orang pemandu profesionalnya iaitu James Veerapan dan Farique Hairuman.

Selain itu, pelbagai gerai jualan juga dibuka bukan sahaja menjual pelbagai juadah, malah ada yang menjual cenderamata, permainan, pakaian dan sebagainya bagi memastikan seisi keluarga dapat berseronok di karnival berkenaan. Malah gerai-gerai rasmi dari Proton juga dibuka bagi menjual cenderamata, barangan dan minyak enjin oleh Proton R3 dan juga pelbagai komponen alat ganti yang dijual oleh Pusat Alatganti Proton.

Pengunjung turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah yang disediakan dengan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti bersama keluarga yang disediakan.

Sehingga tahun lalu, sebanyak 1.9 juta Saga telah berjaya dijual oleh Proton. Ia adalah sedan dengan harga mesra rakyat yang cukup baik dalam memberikan keselesaan dan keselamatan untuk pengangkutan harian. Tidak hairanlah jika hampir setiap rakyat Malaysia pasti ada cerita mereka tentang Saga bukan? Di harap karnival seperti ini dapat dibuat setiap tahun untuk lebih mendekatkan rakyat Malaysia dengan Proton.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required