Mitsubishi dedahkan rupa SUV kompak baru sebelum pelancaran Ogos 2023 – saiz macam HR-V, 1.5L, CVT

Mitsubishi dedahkan rupa SUV kompak baru sebelum pelancaran Ogos 2023 – saiz macam HR-V, 1.5L, CVT

Sebelum kemunculan sulung globalnya yang bakal berlangsung di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023 pada 10 Ogos nanti, Mitsubishi hari ini telah pun mendedahkan rupa luaran untuk SUV kompak baharunya yang direka khas untuk pasaran ASEAN.

Nama sebenar untuk model ini masih lagi belum diumumkan, namun Mitsubishi telah pun memperincikan saiznya – ia dibina dengan dimensi 4,390 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,660 mm tinggi. Mitsubishi turut mengesahkan bahawa ia akan dijana oleh enjin NA 1.5 liter bersama kotak gear CVT dan hanya memacu roda hadapan.

Oleh itu SUV baharu dari Mitsubishi ini mempunyai saiz dalam kelas segmen-B penuh seperti Honda HR-V dan Proton X50, tetapi ia dijana oleh unit rangkaian kuasa seperti model SUV segmen-B aras mula seperti Perodua Ativa dan Honda WR-V.

Bagi memudahkan anda membayangkan saiznya, SUV Mitsubishi ini adalah 5 mm lebih panjang dan 70 mm lebih tinggi, tetapi 20 mm kurang lebar berbanding Honda HR-V. Bagi unit rangkaian kuasa pula ia mungkin berkongsi enjin dan kotak gear bersama MPV segmen-B Mitsubishi Xpander. Enjin 1.5 liter MIVEC berkenaan menghasilkan kuasa 105 PS/141 Nm, 7 PS/1 Nm lebih berkuasa dari Ativa dan 17 PS/4 Nm kurang dari WR-V.

Ia juga mempunyai kelegaan setinggi 222 mm, jauh lebih tinggi dari Ativa, WR-V, HR-V dan juga X50, dan sama sepenuhnya seperti Xpander. Jadi boleh dibayangkan SUV ini mempunyai kebolehan merentasi laluan off-road yang lebih baik, malah Mitsubishi sebelum ini juga telah mendedah bahawa ia akan diberikan mod pemanduan Wet, Mud dan Gravel serta fungsi Active Yaw Controller (AYC).

Mitsubishi dedahkan rupa SUV kompak baru sebelum pelancaran Ogos 2023 – saiz macam HR-V, 1.5L, CVT

Untuk rupa luaran, pendedahan kali ini mengesahkan bahawa SUV kompak baharu ini merupakan model produksi bagi Mitsubishi XFC Concept yang didedahkan di Vietnam Motor Show tahun lalu. Pada bahagian muka Dynamic Shield versi produksi XFC ini masih menerima gril hadapan berbentuk trapezoid, serta lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk-L.

Jalur LED sebelah bawah DRL tersebut dijadikan lampu utama yang agak nipis, dan gabungan kedua-dua lampu itu menghasilkan rekaan berbentuk-T. Ia turut datang dengan kemasan berwarna perak yang agak besar pada bahagian berkenaan. Rekaan skid plate pada sebelah bawah bampar XFC juga diberikan pada versi produksi, dan ia lebih menonjol tetapi tiada jalur LED disekeliling liang udara.

Segala perincian sebelah sisi XFC juga dilihat dijelmakan hampir sepenuhnya pada prototaip produksi sebenar ini. Ia termasuk rekaan ruang roda dibentuk seakan flare, garis badan yang direka membentuk seakan ‘otot-otot’ pada bahagian pintu belakang bersama garis cermin tingkap belakang ternaik ke atas, elemen sarang lebah pada panel sebelah bawah pintu, cermin tingkap suku belakang yang direka tajam, dan juga rekaan tiang-D yang memberikan rupa bumbung seakan terapung.

Di belakang, lampu kombinasi berbentuk-T yang mencerminkan rekaan pada sebelah muka juga dijelmakan pada versi produksi ini. Rekaan pada cermin belakang dan juga spoiler juga nampak sama, namun lampu brek menegak pada versi konsep diubah menjadi mendatar seperti biasa.

Mitsubishi juga mengesahkan bagi varian tertinggi SUV ini akan menerima set roda yang dilengkapi rim 18-inci bagi memberikan rupa yang benar-benar gagah, serta diberikan tayar yang mampu menangani laluan lebih lasak.

“Pada model serba baharu ini, kami telah mengembangkan lagi reka bentuk untuk memenuhi keperluan pasaran SUV kompak, yang telah berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Seiji Watanabe, pengurus besar reka bentuk Mitsubishi Motors.

“Selain ciri keteguhan dan keperkasaan Mitsubishi Motors, kami telah mengejar reka bentuk yang lebih bergaya, bertenaga dan tersendiri berbanding sebelum ini. Pada Gaikindo Indonesia International Auto Show yang akan datang, kami berharap lebih ramai pelanggan akan tahu apa yang Mitsubishi Motors tawarkan dan berempati dengan reka bentuk kami melalui SUV kompak serba baharu ini,” tambahnya lagi.

Tiada lagi imej bahagian dalaman didedahkan kali ini. Tetapi sebelum ini Mitsubishi telah mengesahkan bahawa ia akan dilengkapi sistem bunyi yang dihasilkan oleh Yamaha. Ini merupakan kerjasama pertama antara Mitsubishi dan juga pengeluar alat muzik serta kelengkapan audio dari Jepun tersebut.

Model ini disahkan juga akan dipasang di kilang Mitsubishi Motors Krama Yudha Indonesia yang terletak di Bekasi, Jawa Barat. Tempahannya di pasaran tersebut telah pun dibuka pada Jun lalu, dan pelanggan bakal menerima kereta mereka bermula November 2023.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required