Toyota IMV 0 – model produksi mungkin dijual bermula RM47k di Thai pada 2025; diberi nama Hilux Champ?

Toyota IMV 0 – model produksi mungkin dijual bermula RM47k di Thai pada 2025; diberi nama Hilux Champ?

Tahun lalu Toyota telah mendedahkan model konsep IMV 0 ketika sambutan ke-60 tahun Toyota Motor Thailand’s (TMT) pada Disember tahun lalu dan ia didedahkan sendiri oleh presidennya ketika itu iaitu Akio Toyoda. Trak pikap konsep modular pelbagai guna itu disahkan bakal muncul dalam versi produksi sebenar, dijangka akan dilancarkan untuk pasaran ASEAN menjelang 2024 atau 2025.

Ia selepas itu muncul lagi dipamerkan di beberapa negara, dikenali dengan pelbagai nama. Ia tampil di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023 pada Ogos lalu dengan nama Rangga Concept, kemudian didedahkan pula ketika sambutan ulang tahun ke-35 Toyota Motor Philippines dengan nama Tamaraw Concept.

Dan yang terakhir, model konsep IMV 0 ini turut dibawa ke Japan Mobility Show di Tokyo bulan lalu, di mana presiden dan CEO baharu Toyota, Koji Sato mengumumkan bahawa trak pikap itu akan dilancarkan pada pasaran Asia tidak lama lagi.

Toyota IMV 0 – model produksi mungkin dijual bermula RM47k di Thai pada 2025; diberi nama Hilux Champ?

Menurut laporan Motortrend dan Road & Track yang sudahpun berpeluang mencuba trak pikap tersebut, model produksi IMV 0 ini mungkin akan digelar sebagai Hilux Champ, dan bakal dilancarkan terlebih dahulu di Thailand, iaitu tempat ia dibangunkan.

Laporan-laporan itu turut menyebut model ini akan dijual lebih murah dari Toyota Hilux iaitu sekitar USD10,000 (RM47,000) sebagai sebuah trak pikap mampu milik untuk pelbagai kegunaan.

IMV 0 ini menampilkan jarak roda yang sama dengan Hilux, berkemungkinan ia menggunakan kerangka ladder frame yang sama. Namun dengan dimensi panjang 5,300 mm, lebar 1,785 mm dan tinggi 1,740 mm, ia adalah 25 mm lebih pendek, sekitar 235-270 mm lebih lebar dan sekitar 50-75 mm lebih rendah berbanding Hilux.

Trak pikap lebih murah ini juga kelak hanya akan hadir dalam versi single cab, tanpa pilihan versi double-cab. Namun apa yang isitmewa, bahagian belakangnya direka dengan flatbed yang sangat modular, membolehkan ia diubahsuai menjadi pelbagai jenis tugas.

Toyota telah mendemonstasikan aspek berkenaan dengan menghasilkan pelbagai bed belakang untuk IMV 0 ini, antaranya sebagai kenderaan kargo, kenderaan servis kecemasan, camper dan overlander, trak makanan dan kafe bergerak, kenderaan sokongan perlumbaan dan kenderaan pengecas EV bergerak.

Menurut laporan Motortrend, bagi membolehkan IMV 0/Hilux Champ ini dijual pada harga yang rendah, secara standard ia akan dijual dengan flatbed belakang tanpa penghadang sisi, tiada brek ABS dan beg udara, namun ia akan ditawarkan sebagai opsyen kepada pelanggan.

Kemasan bahagian kabin pula akan menggunakan material-material seperti plastik dan getah, dan ia turut akan menampilkan tangkai pusing bagi membuka dan menutup cermin tingkap secara manual tanpa bantuan motor elektrik.

Pada bahagian mekanikal pula, IMV 0 ini akan menerima komponen seperti lengan kawalan, spring gegelung hadapan dan spring dedaun di belakang dari Hilux, dan ia boleh diubahsuai untuk mendapatkan kadar berat dengan muatan yang lebih tinggi.

Versi produksi Toyota IMV 0 ini dijangka akan menerima pilihan unit rangkaian kuasa petrol dan diesel yang juga dikongsi dari Hilux. Jadi bagi versi petrol ia mungkin dijana oleh enjin 1TR-FE 2.0 liter empat silinder berkuasa 141 PS dan tork maksima 185 Nm, digandingkan dengan kotak gear lima-kelajuan manual.

Bagi versi diesel pula, ia mungkin akan menerima enjin turbodiesel 2GD-FTV 2.4 liter empat silinder berkuasa 150 PS/400 Nm, bersama pilihan sistem pacuan empat roda.

Trak pikap moden buat masa sekarang semakin mahal memandangkan ia kini dipadankan dengan pelbagai perincian keselamatan dan keselesaan yang semakin baik. Jadi dengan penawaran trak pikap asas yang dihasilkan dengan tujuan utama untuk kegunaan kerja seperti IMV 0 ini mungkin akan memenuhi satu kehendak pasaran yang kini sudah lompong. Apa pendapat anda? Kongsikannya bersama kami pada ruang komen di bawah atau di laman-laman sosial kami.

GALERI: Toyota IMV 0 di Japan Mobility Show 2023

GALERI: Toyota Rangga Concept di Indonesia

GALERI: Toyota Tawaraw Concept di Filipina Concept

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required