Skoda jelaskan persamaan dan perbezaan antara kereta Rally2 Fabia RS dan Fabia produksi biasa

Skoda jelaskan persamaan dan perbezaan antara kereta Rally2 Fabia RS dan Fabia produksi biasa

Tidak seperti kategori tertinggi dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) iaitu Rally1 yang kini sudah pun menggunakan kerangka space frame yang sebenarnya langsung tiada kaitan dengan model produksi jalan raya, kategori satu tangga lebih bawah, WRC2 yang menggunakan undang-undang Rally2/R5 masih lagi menggunakan asas badan yang sama seperti model yang dijual di bilik pameran.

Jadi adakah model produksi yang bagus akan menghasilkan kereta rali yang kompetitif walaupun enjin, sistem pacuan dan juga suspensi yang digunakan adalah berlainan? Untuk itu, pengeluar automotif dari Republik Czech, Škoda menerangkan apa yang sama dan apa yang tidak sama antara dua kereta yang dibina dengan dua tujuan berbeza antara satu sama lain tersebut.

Untuk jentera Rally2 terbaharu dari Škoda Motorsport, ia dibina berasaskan dari model produksi Škoda Fabia generasi keempat dan diberi nama sebagai Skoda Fabia RS Rally2. Dengan platform MQB-AO tersebut, ia secara tidak langsung memberikan potensi prestasi yang lebih baik dan lebih kompetitif berbanding jentera rali Skoda Fabia Rally2 Evo sebelumnya.

Skoda jelaskan persamaan dan perbezaan antara kereta Rally2 Fabia RS dan Fabia produksi biasa

“Undang-undang untuk kategori kereta rali kami adalah jelas dan ia memerlukan badan kereta lumba sama dengan kereta produksi biasa. Satu-satunya pengecualian ialah kebenaran untuk mengembangkan kereta pada bahagian fender dan bampar. Kami boleh mengubahsuai spoiler dan kami boleh membina terowong untuk sistem pacuan semua roda pada bahagian lantai,” kata Aleš Rada, ketua teknologi kereta lumba Škoda Motorsport.

Menurut Škoda, berbanding model generasi sebelumnya, kerangka asas bagi model generasi keempat ini adalah lebih keras membolehkan ia menjadi kereta antara yang paling selamat dalam kelasnya. Fabia baharu ini juga menampilkan jarak roda yang lebih jauh, membolehkan ia mencapai keseimbangan dan pusat graviti lebih baik ketika dibangunkan sebagai kereta rali.

Skoda juga mendakwa perincian aerodinamik asas pada model jalan raya biasa juga memberikan kelebihan kepada jentera Fabia RS Rally2 ini. Salah satunya adalah rekaan liang udara pada bampar hadapan model produksi biasa dibawa terus pada kereta rali kerana ia mampu untuk menenangkan aliran udara yang menuju ke ruang roda hadapan.

Bagi menambahbaik lagi aerodinamik pada kereta rali ini, rekaan skup udara pada bumbung bukan hanya untuk menyejukkan pemandu dan juru arah dalam kabin, malah bentuknya turut membantu downforce dihasilkan oleh spoiler belakang yang direka lebih besar dari spoiler Fabia biasa.

Fabia RS Rally2 ini turut menerima cermin sisi yang lebih aerodinamik diperbuat dari gentian karbon, kunci mandatori untuk pintu hatch di belakang, semua cermin tingkap kaca diganti dengan cermin polikarbonat yang lebih ringan dan tidak boleh diturunkan serta diberikan liang udara dengan penutup gelangsar bersaiz kecil.

Untuk model produksi jalan raya paling berkuasa iaitu Škoda Fabia Monte Carlo, ia hanya dijana oleh enjin petrol 1.5 liter turbo TSI Evo empat-silinder menghasilkan 150 PS dan tork maksima 250 Nm. Namun bagi kereta rali Fabia RS Rally2, ia disumbat dengan enjin EA888 TSI yang diambil dari Skoda Octavia.

Skoda jelaskan persamaan dan perbezaan antara kereta Rally2 Fabia RS dan Fabia produksi biasa

Namun kapasiti enjin 2.0 liter turbo berkenaan diturunkan kepada hanya 1.6 liter bagi mematuhi undang-undang Rally2/R5 – sama seperti Proton Iriz Rally2 yang menggunakan enjin Proton Inspira yang dikecilkan kapasiti. Enjin EA888 1.6 liter tersebut menerima unit restrictor turbo berdiameter 32 mm mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh FIA, menghasilkan kuasa sekitar 289 hp dengan tork maksima 430 Nm.

Kuasa berkenaan dipindahkan ke kotak gear sequential 5-kelajuan (tanpa pedal penukar pada setereng, hanya tuil tangan biasa), dan dihubungkan kepada sistem pacuan semua roda – diberikan differential terkunci pada setiap gandar hadapan dan belakang, tanpa differential tengah dan tanpa sebarang sistem agihan tork aktif. Menurut Škoda Motorsport, nisbah gear rapat yang diberikan pada transmisi Fabia RS Rally2 ini masih membolehkan ia mencapai kelajuan maksima sekitar 200 km/j.

Untuk suspensi, kereta rali ini masih menggunakan konfigurasi Topang McPherson. Namun pada bahagian belakang yang kini turut menerima gandar untuk memacu roda, konfigurasi Torsion Beam asal telah diubah menggunakan sistem Topang McPherson.

Dalam hieraki model produksi Škoda, Fabia merupakan model Skoda yang paling kecil dan paling murah ditawarkan di bilik pameran. Namun dengan segala perubahan yang dibuat bagi dijelmakan sebagai kereta rali, Škoda Fabia RS Rally2 pula berharga sekitar 10-kali ganda lebih mahal, dan ia merupakan kereta paling mahal yang dijual oleh Škoda buat masa sekarang.

Ya, anda boleh membeli Škoda Fabia Rally2 ini dari Škoda Motorsport kerana ia dibangunkan menerusi program perlumbaan pelanggan seperti yang disyaratkan oleh FIA. Selain dari WRC, Škoda Fabia Rally2 ini juga boleh digunakan dalam Kejohanan Rali Eropah (ERC), Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) dan juga perlumbaan-perlumbaan rali peringkat nasional yang menggunakan regulasi homologasi dari FIA atau yang diluluskan oleh badan permotoran tempatan.

GALERI: Skoda Fabia RS Rally2

GALERI: Skoda Fabia generasi keempat

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required