Proton 2024 – bakal lancarkan X70 dan X50 facelift, kemaskini untuk Persona, Iriz & Saga, smart #3?

Proton 2024 – bakal lancarkan X70 dan X50 facelift, kemaskini untuk Persona, Iriz & Saga, smart #3?

Untuk tahun kelima berturut-turut, Proton sekali lagi telah mencatatkan pertumbuhan jualan tahunannya apabila 2023 melabuhkan tirai. Angka jualan 154,611 unit yang dicatatkan sepanjang tahun lalu dilihat 9.3% lebih tinggi dari 2022, dan ia menjadi rekod jualan tahunan terbaik pengeluar automotif nasional itu sejak 2012.

Untuk pilihan pelanggan, 2023 menyaksikan Proton melancarkan dua model baharu sepenuhnya iaitu SUV segmen-D Proton X90 (yang juga model pertama Proton dipadankan dengan sistem elektrifikasi) dan sedan segmen-C Proton S70, serta satu model edisi terhad iaitu Proton X50 R3 20th Anniversary Edition.

Ada juga model yang menerima kemaskini kecil seperti Proton Saga yang kini menggunakan kotak gear automatik empat kelajuan dari Aisin bagi menggantikan unit dari Hyundai sebelum ini, dan juga Proton X70 yang kini ditawarkan dengan varian 1.5 TGDi Premium X menjadikan jumlah varian SUV segmen-C tersebut meningkat kepada enam pilihan.

Jadi dengan 2023 menjadi tahun yang agak cemerlang buat Proton, apa agaknya yang akan ditawarkan oleh jenama ini pada 2024 bagi memastikan momentum tersebut dapat dikekalkan? Berikut merupakan beberapa model dari Proton yang kami jangkakan mungkin akan diperkenalkan tahun ini.

Proton X70 facelift MC2

Proton 2024 – bakal lancarkan X70 dan X50 facelift, kemaskini untuk Persona, Iriz & Saga, smart #3?

Unit prototaip ujian bagi Proton X70 facelift ini sudahpun dijumpai berkeliaran di atas jalan raya awam seawal Oktober tahun lalu. Sejak diperkenalkan buat kali pertama pada Disember 2018, X70 telah diberikan beberapa peningkatan, dan kali terakhir kemaskininya adalah pada model MC2 2022. Walau bagaimanapun, kemaskini-kemaskini berkenaan kebanyakkannya dari segi penawaran rangkaian kuasa, manakala sebahagian besar rupanya masih tidak berubah.

Pada unit ujian versi facelift yang telah dijumpai tersebut mendedahkan X70 bakal menerima penyegaran rupa yang lebih serius dengan mengenakan muka Geely Boyue facelift 2022. Perubahan tersebut termasuk lampu hadapan yang lebih nipis dan bersegi, fender hadapan berbeza bagi disesuaikan dengan lampu baharu, bonet hadapan yang lebih berotot dan juga bampar dengan kemasan liang udara yang nampak lebih lebar.

Unit ujian ini juga dilihat sudah mengenakan gril bercorak pin krom seperti elemen rekaan pada Proton X90 dan Proton S70. Menurut Proton, rekaan pin krom seperti pada model-model Mercedes-Benz tersebut sebenarnya diinspirasikan dari corak kain songket warisan melayu. Buat masa sekarang X70 menerima gril dengan rekaan infinite weave yang diilhamkan dari corak ukiran rumah tradisional melayu.

Proton 2024 – bakal lancarkan X70 dan X50 facelift, kemaskini untuk Persona, Iriz & Saga, smart #3?

Di belakang, ia masih menggunakan unit lampu kombinasi yang sama. Perubahan dijangka dibuat pada bampar menampilkan kemasan diffuser baharu kerana bahagian berkenaan telah ditutup sepenuhnya dengan pelekat penyamaran. Unit ujian prototaip yang dijumpai ini juga dilihat menggunakan unit rim yang sama seperti Boyue facelift 2022 di China.

Penawaran unit rangkaian kuasa mungkin sama dengan versi MC2 2022 di mana varian Standard, Executive dan Premium 2WD dijana dengan enjin 1.5 liter tiga-silider turbo dengan suntikan bahan api terus berkuasa 177 PS/255 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan.

Satu-satunya varian yang pacuan semua roda adalah varian 1.5 T-GDi Executive AWD, manakala varian tertinggi 1.8 Premium 2WD pula menerima enjin 1.8 liter turbo dengan suntikan bahan api terus berkuasa 184 PS/300 Nm, diganding dengan kotak gear DCT tujuh-kelajuan.

Prototaip yang diuji ini juga nampak hampir kepada versi produksi lengkap sebagai model pemanduan sebelah kanan. Mungkin ianya akan dilancarkan seawal separa pertama tahun ini?

Proton X50 facelift MC1

Proton 2024 – bakal lancarkan X70 dan X50 facelift, kemaskini untuk Persona, Iriz & Saga, smart #3?

Selain dari X70, unit ujian Proton X50 facelift juga sudah dilihat mula diuji bermula akhir tahun lalu. Walau bagaimanapun, prototaip ujian tersebut dilihat masih dalam bentuk peringkat paling awal iaitu dalam versi pemanduan sebelah kiri yang dibawa dari China. Dan asas model facelift ini jelas diambil dari Geely Binyue facelift (juga dikenali sebagai Binyue Cool) yang sudah pun diperkenalkan di sana pada tahun lalu.

Binyue Cool di China menerima rekaan yang lebih agresif serta perubahan agak besar pada bahagian hadapan dan belakang. Untuk muka, ia diberikan lampu utama baharu yang lebih nipis dan tajam, bersama gril hadapan dan gril bampar yang sangat besar dengan elemen mesh, memberikan imej seakan huruf-X persis model-model Lexus.

Unit prototaip awalan ini nampaknya masih mengenakan gril asal Binyue Cool bersama logo Geely yang disorok di sebalik pelekat penyamaran. Kemungkinan besar (seperti biasa) bahagian ini akan diberikan sentuhan Proton dengan signatur rekaan studionya di Shah Alam.

Manakala di belakang, lampu SUV kompak ini menampilkan rekaan yang lebih nipis, dan ia kini merentangi sepenuhnya pintu hatch belakang dengan perumah nombor pendaftaran telah dialihkan ke bawah.

Bampar juga direka semula dengan lebih garang, menampilkan reflektor yang kini diposisikan menegak dan lebih tinggi pada perumah berbentuk seperti liang ambilan udara. Empat tip ekzos pada bampar masih lagi dikekalkan, dengan diffuser yang direka semula untuk disesuaikan dengan imej baharu ini.

Sebahagian rupa kabin juga terdedah dalam foto intipan yang kami terima sebelum ini. Dapat dilihat jelas ia menerima perubahan besar pada papan pemuka di mana skrin instrumen digitalnya memberikan gaya paparan yang sama seperti pada Proton X90 serta ia bersambung dengan skrin infotainmen di tengah. Liang penghembus udara pada bahagian tengah juga nampak berbeza dari model sedia ada, manakala suis-suis kawalan gaya kekunci piano di bawahnya juga menerima rombakan rekaan yang besar.

Lakaran digital Proton X50 facelift oleh Theophilus Chin

Geely Binyue Cool 2022 di China kini sudahpun menggunakan enjin 1.5 liter empat silinder turbo berkuasa 181 hp. Namun untuk Proton X50 facelift 2024 kelak boleh dijangka ia akan masih dijana oleh enjin 1.5 liter tiga silinder turbo berkuasa 177 PS/255 Nm.

Ini kerana Proton baru sahaja melabur sejumlah RM1.8 bilion untuk kilang enjinnya di Tanjung Malim, Perak bagi memproduksi enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder tersebut bermula tahun lalu, dan menyatakan bahawa ia akan menjadi enjin utama bagi model-model baharunya selepas ini.

Proton Saga, Persona, Iriz 2024 MC?

Tahun ini model-model asli yang dibangunkan oleh Proton telah pun kehilangan salah satu anggotanya iaitu Exora, di mana produksinya telah pun dihentikan akhir tahun lalu. Manakala tiga lagi model iaitu Iriz, Persona dan Saga juga hanya menerima perubahan-perubahan kecil sejak 2022.

Bagi Saga MC2 yang diperkenalkan pada 2022, tahun lalu sedan segmen-A berkenaan diberikan perubahan kotak gear di mana transmisi 4AT yang dibekalkan oleh Hyundai sebelum ini telah digantikan dengan unit 4AT yang dibekalkan oleh Aisin. Selain itu tiada perubahan lain yang dibuat.

Manakala bagi Iriz dan Persona yang masing-masing telah diperkenalkan bermula 2014 dan 2016, kedua-duanya menerima versi facelift kali terakhir pada 2021 tetapi dipasarkan sebagai model 2022. Kami difahamkan Proton kini sedang membangunkan versi generasi baharu bagi model-model tempatan ini, namun ia sudah tentu tidak akan dilancarkan pada tahun ini.

Jadi mungkin Saga, Iriz dan Persona generasi sedia ada akan diberikan kemaskini lagi tahun ini bagi memastikan ia terus relevan dalam pasaran sebelum kemunculan model generasi seterusnya?

smart #3

Proton 2024 – bakal lancarkan X70 dan X50 facelift, kemaskini untuk Persona, Iriz & Saga, smart #3?

Proton New Energy Technology (Pro-Net) merupakan anak syarikat Proton yang mengendalikan pengedaran EV jenama smart di Malaysia, dan smart #1 adalah model pertama jenama itu yang dilancarkan di Malaysia pada November tahun lalu. Untuk 2024, syarikat berkenaan fokus untuk memenuhi tempahan #1 yang telah diterima sejak 2023, namun ada kemungkinan model kedua jenama kerjasama Geely dan Mercedes-Benz tersebut turut akan dilancarkan di sini pada tahun ini.

smart #3 telah pun didedahkan buat kali pertama di acara Auto Shanghai 2023. Ia masih diasaskan dari platform Sustainable Experience Architecture (SEA), namun menampilkan saiz yang lebih besar dari #1. Dengan platform tersebut membolehkan #3 ditawarkan dalam versi motor tunggal yang memacu roda belakang dan juga versi dua motor yang lebih berkuasa bagi memacu semua roda yang menerima lencana Brabus.

Bagi varian pacuan belakang, #3 menerima motor elektrik berkuasa 272 PS (268 hp or 200 kW), manakala versi Brabus pula menerima motor dua motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan 428 PS (422 hp or 315 kW). Dengan bateri nikel mangan kobalt oksida (NMC) berkapasiti 66kWj, #3 ini boleh bergerak sejauh 440 km dalam kitaran WLTP dengan satu cas penuh.

Dari kesemua model yang kami jangkakan akan diperkenalkan oleh Proton tahun ini, yang mana paling anda tunggu-tunggu? Kongsikan pandangan anda pada ruangan komen di bawah atau pada medium media-media sosial kami.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required