Dalam pengumuman jualan bulan Mei yang diumum hari ini, Proton menyatakan bahawa sedan segmen-C terbaharunya yang dilancarkan pada hujung tahun lalu iaitu Proton S70 masih lagi merupakan model yang paling laris dalam kelasnya.
Menurut Proton, ia berjaya menyerahkan sebanyak 2,011 unit Proton S70 kepada pelanggan bulan lalu, naik 23% berbanding April 2024 yang mencatatkan jualan sebanyak 1,635 unit. Jadi untuk lima bulan pertama 2024, sebanyak 9,474 unit Proton S70 telah terjual, dan keseluruhan 9,583 unit telah diserahkan kepada pelanggan termasuk 109 unit yang diserahkan pada Disember 2023.
Proton S70 dilancarkan ke pasaran tempatan pada penghujung November 2023, dan ia merupakan sedan yang diasaskan dari platform B-segment Modular Achitecture (BMA) yang sama seperti SUV Proton X50. Walaupun dari bahagian luaran ia nampak sama seperti Geely Emgrand untuk pasaran China, Filipina dan beberapa negara Timur Tengah, S70 sebenarnya dibangunkan semula oleh Proton dengan pelbagai perubahan drastik.
Antaranya enjin 1.5L NA dan kotak gear CVT yang digantikan dengan enjin 1.5L tiga-silinder turbo yang lebih berkuasa dan transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan yang lebih responsif, ruang kabin yang lebih sesuai untuk pasaran Malaysia, talaan suspensi “Proton Ride Handling”, kelengkapan keselamatan lebih canggih dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dan pelbagai lagi.
Proton S70 2024 Executive
Proton S70 2024 Premium
Proton S70 2024 Flagship X
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.