Mazda akan bawa dua model konsep baharu ke Tokyo

Mazda telah mengumumkan barisan kenderaan yang akan dipamerkan di Tokyo Motor Show 2017, dan ini termasuk dua model konsep baru, yang satu daripadanya dikata akan “menggambarkan produk generasi baru syarikat” manakala satu lagi “menunjukkan peribadi arah rekaan generasi seterusnya.”

Model konsep yang pertama dirujuk sebagai ‘Produk Konsep Generasi Seterusnya’, dan dari situ ia memberi gambaran kemungkinannya adalah rupa bagi Mazda 3 generasi seterusnya. Melihat kepada dua gambar teaser yang disiarkan, model konsep ini memang mempunyai bentuk seperti Mazda 3 hatchback, tetapi dengan garis bumbung yang lebih rendah dan muncung depan lebih tajam.

Walaupun gambar tersebut gelap, kita boleh melihat lampu utama model konsep ini adalah sangat berlainan berbanding Mazda 3 yang ada sekarang. Boleh dikatakan juga ia seperti mendapat inspirasi daripada MX-5, dan ruang di antara bonet dan lampu hadapan kini lebih rapat, mirip seperti CX-5 baru. Model konsep ini juga akan menggunakan SkyActiv-Vehicle Architecture dan enjin petrol Skyactiv-X.

Mazda akan bawa dua model konsep baharu ke Tokyo

Bagi model konsep berikutnya, ia dirujuk sebagai ‘Visi Rekaan Generasi Seterusnya’, dan disuntik dengan falsafah rekaan Kodo generasi seterusnya. Gambar teaser yang dikeluarkan oleh Mazda menunjukkan model ini menggunakan tetapan empat pintu, dengan bonet yang panjang dan bahagian belakang yang pendek. Ada juga motif rekaan yang seperti diambil daripada model konsep RX-Vision tahun lepas.

Selain dua model konsep ini, Mazda juga akan mempamerkan beberapa model edisi khas berasaskan model sedia ada sekarang di Tokyo Motor Show, termasuk Mazda 2 Noble Crimson dan MX-5 Red Top. Mazda CX-8 juga akan membuat penampilan waktu pameran itu, menyertai barisan model lain seperti Mazda 6, Mazda 3, CX-3 dan CX-5.