Ford Ranger 2022 akan dilancarkan di Malaysia – pendaftaran minat dibuka, akan didedah pada 23 Julai

Pengedar rasmi Ford di Malaysia iaitu Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) secara rasmi telah pun membuka pendaftaran minat (ROI) terhadap model generasi baharu trak pikap Ford Ranger, menandakan pelancaran model berkenaan sudah semakin hampir.

Sekiranya anda berminat dengan trak pikap ini, pendaftaran minat boleh dibuat secara atas talian menerusi laman mikro yang disediakan oleh SDAC Ford pada PAUTAN INI. Pendaftaran ringkas tersebut hanya memerlukan anda mengisi maklumat seperti nama, nombor telefon, email dan nyatakan di mana lokasi anda.

Selepas mendaftar, anda akan mendapat keistimewaan sebagai antara orang terawal di Malaysia untuk melihat Ford Ranger generasi baharu ini, di mana SDAC bakal mendedahkannya di Pavilion Bukit Jalil pada 23 hingga 24 Julai nanti.

Jika anda berada diluar Lembah Klang, jangan risau kerana pendedahan yang sama akan dibuat oleh SDAC Ford di Queensbay Mall Pulau Pinang pada 3-7 Ogos, Toppen Shopping Centre JB pada 10-14 Ogos, Vivacity Megamall Kuching 7-11 September dan Suria Sabah Shopping Centre Kota Kinabalu pada 5-9 Oktober. Jadi jangan lupa untuk mendaftarkan minat anda untuk melihat trak pikap ini di lokasi yang telah ditetapkan.

Ford Ranger 2022 ini membuat kemunculan sulung globalnya di Thailand pada November 2021, kemudian dijual secara rasmi di negara tersebut pada bulan Mei lalu. Thailand kini menerima Ranger 2022 dalam varian XL, XLT, Sport, Wildtrak dan juga versi prestasi tinggi Ranger Raptor.

Kesemua model bukan Raptor kini dijana oleh enjin turbodiesel 2.0 liter empat-silinder EcoBlue, dalam dua varian talaan kuasa; 150 PS pada takat 3,500 rpm/350 Nm bermula 1,500 hingga 2,750 rpm dan 170 rpm pada takat 3,500 rpm/ 405 Nm bermula 1,750-2,500 rpm.

Ford Ranger 2022 akan dilancarkan di Malaysia – pendaftaran minat dibuka, akan didedah pada 23 Julai

Untuk versi transmisi manual, kotak gear gear MT88 yang baharu dibangunkan berkenaan datang dalam dua versi iaitu sama ada lima- atau enam-kelajuan. Manakala untuk versi automatik, ia masih menampilkan kotak gear 6R80 enam-kelajuan. Penawaran kotak gear ini adalah bergantung kepada varian, namun kotak gear automatik hanya ditawarkan pada varian XLT terpilih.

Bagi model Ranger Raptor pula, model generasi baharu ini menerima perubahan unit penjana yang signifikant, di mana ia kini dijana oleh enjin petrol 3.0 liter V6 EcoBoost yang sama seperti Ford Bronco Raptor. Enjin EcoBoost menghasilkan kuasa jauh lebih besar dari enjin turbodiesel generasi terdahulu, iaitu 397 PS pada takat 5,650 rpm dan tork maksima 583 Nm pada takat 3,500 rpm.

Di Thailand, model biasa Ford Ranger 2022 ini dijual pada harga bermula dari 554,000 baht (RM71k) hingga 943,000 baht (RM121k), manakala Ranger Raptor pula dijual pada harga 1,869,000 baht (RM233,804).

GALERI: Ford Ranger Wildtrak 2022

GALERI: Ford Ranger Sport 2022

GALERI: Ford Ranger XLT 2022

GALERI: Ford Ranger Raptor 2023