Chery Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro diperkenalkan di M’sia hujung Julai? Model CKD dipasang oleh Inokom?

Chery, pengeluar kereta China, dilaporkan kini berada dalam fasa terakhir rundingan pemasangan kontrak dengan Inokom bagi memasang modelnya di Malaysia. Ia dilaporkan oleh The Edge pada minggu lalu, dan penerbitan berkenaan turut berkata anak syarikat Sime Darby ini juga menetapkan pemasangan tempatan bagi model terpilih Jaguar Land Rover.

Disebut juga Chery akan memanfaatkan Inokom sebagai rakan pemasangan tempatan dengan pengenalan model CKD yang bakal dipasang di Kulim. Sebelum ini, pengeluar kereta tersebut juga berkata kilang pemasangan yang dipilih memiliki kapasiti sehingga 30,000 unit setahun untuk pemasangan kenderaan. Kilang pemasangan Inokom pula memiliki kapasiti sehingga 38,000 unit setahun.

Chery mengambil keputusan untuk kembali ke pasaran Malaysia pada tahun lalu, dan menjadikan SUV Tiggo 8 Pro dan Omoda 5 sebagai model ‘sulungnya’ di sini. Dirancang untuk memperkenalkannya pada suku kedua (Q2) tahun ini, kedua-dua model berkenaan telah pun dipertontonkan di sini pada akhir tahun lalu – disasarkan untuk memulakan produksi di sini pada akhir Jun, dengan pelancaran rasminya dijangka bermula akhir Julai ini.

Chery Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro diperkenalkan di M’sia hujung Julai? Model CKD dipasang oleh Inokom?

Tiggo 8 Pro merupakan SUV tujuh-tempat duduk yang diberikan enjin 2.0 liter empat-silinder TGDi pengecas turbo petrol untuk pasaran kita. Ia menawarkan kuasa 254 hp dan tork 390 Nm, dan enjin ini dipadankan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan. Chery berkata versi PHEV juga akan diperkenalkan di Malaysia pada tahun hadapan.

Bagi Omoda 5 pula, Malaysia bakal menjadi pasaran pemanduan sebelah-kanan pertama untuk SUV segmen-B ini. Di China, model tersebut ditawarkan dengan enjin 1.6 liter turbo petrol (194 hp/290 Nm) dengan DCT tujuh-kelajuan serta versi AWD 1.5 liter turbo petrol (154 hp/230 Nm) dengan CVT, sama dengan unit yang dipertontonkan di sini pada tahun lalu.

GALERI: Pra-tonton Chery Omoda 5 di Malaysia

GALERI: Pra-tonton Chery Tiggo 8 Pro di Malaysia