
Selepas hampir dua tahun diperkenalkan pada peringkat global, model generasi kedua bagi kereta sport Mercedes-AMG GT dengan kod C192 kini telah tiba pada pasaran Malaysia. Kita menerima terus GT Coupe ini dalam varian paling berkuasa tanpa bantuan elektrifikasi iaitu Mercedes-AMG GT 63 4Matic+.
Oleh itu ia digerakkan dengan enjin M177 V8 4.0 liter dengan dua pengecas turbo yang ditala bagi menghasilkan kuasa 583 hp pada takat 5,500 hingga 6,500 rpm dan juga tork maksima 800 Nm bermula 2,500 hingga 5,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik sembilan kelajuan AMG Speedshift MCT 9G, dan kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem AWD 4Matic+. Ini membolehkan pecutan dari 0-100 km/j dicapai dalam masa hanya 3.2 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 315 km/j.
Sistem pacuan semua roda 4Matic+ yang dibekalkan pada GT ini mengagihkan tork antara gandar hadapan dan belakang secara bervariasi dari nisbah 50:50 sehingga boleh berubah kepada pacuan belakang sepenuhnya. Agihan dibuat menerusi klac yang dikawal secara elektromekanikal dan juga unit kawalan elektronik pintar matrix, yang dapat mengagihkan tork tersebut berdasarkan keadaan jalan raya dan kemahuan pemandu. Gandar belakang kereta sport ini juga dipadankan dengan sistem stereng dan juga LSD secara standard.

Walaupun rupa model generasi kedua ini kelihatan hampir sama dengan model sebelumnya, ia sebenarnya diasaskan dari platform baharu sepenuhnya, dikongsi bersama roadster Mercedes SL generasi baharu. Ia menampilkan konfigurasi suspensi double wishbone di hadapan dan belakang, bersama penyerap hentak adaptif dengan AMG Active Ride Control.
Model generasi baharu ini juga datang dengan bar anti-oleng separa-aktif yang dioperasikan dengan sistem hidraulik, mrmbolehkan gandar hadapan dinaikkan sehingga 30 mm. Manakala untuk brek, GT 63 ini diberikan cakera 390 mm dengan angkup enam omboh di hadapan dan juga cakera 360 mm bersama angkup omboh tunggal di belakang.
Menurut Mercedes-AMG, sistem brek pada GT ini direka semula dengan menampilkan pemasangan cakera dan angkup menggunakan pin khas bagi memberikan pakej yang lebih kecil dan menjimatkan ruang, seterusnya menjadikan ia lebih ringan dan memudahkan lagi untuk ia disejukkan, memberikan respon brek yang lebih cepat dalam keadaan jalan basah serta pembersihan pad brek yang lebih baik selepas membrek.

Dari segi saiz, GT generasi baharu ini menampilkan dimensi 4,728 mm panjang dan 1,984 mm lebar, 1,354 mm tinggi serta jarak roda sejauh 2,700 mm. Jadi ia adalah 182 mm lebih panjang, 45 mm lebih lebar, jarak roda 70 mm lebih jauh, tetapi 66 mm lebih tinggi.
Model pasaran Malaysia ini menerima lampu hadapan digital, spoiler belakang aktif, lampu belakang LED, diffuser pada bampar belakang, dan juga rim aloi forged AMG 21-inci. Ia juga datang dengan pakej AMG Carbon yang menampilkan beberapa perincian gentian karbon dan juga pakej AMG Night yang memberikan kemasan-kemasan gelap.
GT ini turut menerima sistem aerodinamik aktif Airpanel yang menampilkan bilah tersembunyi di sebalik liang udara bawah apron hadapan, dan juga di belakang liang udara atas. Bilah ini akan sentiasa tertutup bagi membolehkan udara mengalir ke bahagian bawah kereta bagi mengurangkan bahagian hadapan yang terangkat. Ia hanya akan terbuka untuk mengalirkan udara sekiranya ada komponen yang mula mencapai suhu tertentu untuk disejukkan.

Udara yang dialirkan ke bawah badan berkenaan akan melalui profil karbon yang ditimbang hanya dua kilogram, memberikan kesan venturi yang cukup untuk ‘menyedut’ bahagian hadapan kereta ini ke permukaan jalan sekitar 40 mm pada kelajuan 80 km/j, seterusnya memberikan cengkaman dan pengendalian lebih baik.
Dengan badan yang lebih panjang, AMG GT generasi kedua ini menampilkan tempat duduk belakang menjadikan ia sebuah GT 2+2. Ia menampilkan skrin sesentuh 11.9 inci dengan sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang diletak secara potret, panel instrumen digital serta menu seperti AMG Performance yang memberikan lima gaya paparan dan AMG Track Pace untuk digunakan di litar lumba.
Antara paparan yang boleh dipantau menerusi paparan AMG Performance termasuk jumlah kuasa dan tork yang sedang digunakan, agihan tork sistem AWD, suhu minyak dan bendalir, sudut roda hadapan dan belakang dan pelbagai lagi. Manakala AMG Track Pace pula memberikan lebih 80 data spesifik kenderaan dan juga 40 parameter boleh dipaparkan secara langsung menerusi skrin telemetri yang boleh dibahagikan kepada empat.
Kelengkapan lain yang diberi adalah termasuk tempat duduk AMG, roda stereng rata di bawah AMG Performance kemasan gentian karbon dan gentian mikro Microcut bersama pedal penukaran gear aluminium di belakangnya, sistem AMG Dynamics dengan enam mod, mod pemanduan AMG Dynamic Select iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+, Individual dan Race, di mana ia boleh dipilih menerusi suis putar pada roda stereng, serta pelbagai sistem bantuan pemanduan lain.
Mercedes-AMG GT 63 4Matic+ C192 2025 ini dijual pada harga atas jalan bermula RM 1,882,888. Ia datang dengan perlindungan waranti selama empat tahun tanpa had perbatuan.