Proton eMas 7 kini mula dipasarkan di Trinidad & Tobago, menjadikan negara di kepulauan Carribean ini pasaran antarabangsa kedua bagi EV Proton berkenaan dan tiba tiga bulan selepas pengenalannya di Nepal. Dilancarkan di Malaysia pada Disember 2024, eMas 7 kini merupakan model ketiga Proton yang paling laris selepas Saga dan X50.
Rakan niaga Proton di sana ialah Ansa Motors yang bertindak sekali pengedar rasminya sejak 2013. Sempena dengan pelancaran eMas 7, Ansa turut memperkenalkan bilik pameran EV-nya di The City of Grand Bazaar.
eMas 7 bukanlah SUV pertama Proton yang dipasarkan di negara tersebut. X50 dan X90 telah mula dieksport ke sana tahun lalu. Setakat ini, terdapat 481 unit kenderaan Proton yang sudah berada di sana: kepulauan berkenaan mempunyai populasi penduduk sebanyak 1.4 juta orang. Angka berkenaan terdiri daripada pecahan seperti berikut: X50 (271 unit), X90 (141 unit) dan Saga (44 unit).
“Perjalanan Proton dengan eMas di pasaran negara tersebut adalah sesuatu yang penting. Ia mencerminkan kesungguhan kami untuk mempelopori penggunaan EV di sana serta menandakan langkah penting untuk perluasan ke pasaran antarabangsa. Ini juga menunjukan dengan jelas dedikasi Proton untuk membuka jalan bagi penggunaa EV di dalam portfolio eksport kami. Kami tidak sabar untuk memasarkan EV ini di Mauritius dan Singapura pula selepas ini,” jelas Pengarah Bahagian Jualan Antarabangsa Proton, Lim Meng Thong.
eMas 7 bagi pasaran Trinidad & Tobago dihadirkan dalam varian Premium, yang menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) 60.22-kWh bilah pendek Aegis oleh Geely, dan memberikan jarak perjalanan sejauh 410 km. Ia digerakkan oleh sebuah motor elektrik yang menjana 218 PS/320 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.1 saat.
Walaupun ketika ini unit yang dieksport merupakan unit CBU dari China, ia dihantar dari Malaysia. Hal ini akan diperhalusi nanti selepas kilang EV CKD di Tanjung Malim mula beroperasi pada hujung tahun ini. Bagaimanapun, pek CKD tetap datang dari Hangzhou, China.